Sunday 26 February 2012

Kalaulah perempuan itu tahu..


"Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”. 
"Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap haridengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan."
"Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki. "

Berikut adalah beberapa mafhum hadis yang berkaitan dengan kelebihan perempuan berbanding lelaki. Dilihat pada hadis tersebut, sudah boleh digambarkan, bahawa kedudukan perempuan ini sangat istimewa berbanding lelaki. Perempuan, tahukah kalian bahawa kalian itu sangat mahal.? Ketahuilah, secara jujurnya makhluk yang saya sayangi di dunia ini adalah perempuan. Tahukah kalian mengapa saya menyayangi kalian.? Atau kalian tidak menyedari mengenai keistimewaan kalian.?

Tiada lelaki yang dilahirkan selain dari rahim seorang ibu melainkan Nabi Adam a.s. Manakala manusia lain, semuanya dilahirkan dari rahim seorang ibu. Termasuklah sultan, perdana menteri, tentera, pegawai, rakyat biasa dan lain-lainnya. Saya juga dari seorang rahim perempuan. Tiada manusia yang dilahirkan hebat melainkan hanya manusia biasa. Namun kebiasaannya manusia-manusia hebat dilahirkan oleh ibu yang hebat disisi mereka.

Mengapa pula saya tidak menyayangi perempuan? Mengapa pula saya tidak mengambil berat mengenai perempuan? Sedangkan dari rahim mereka lahirnya pewaris-pewaris masa hadapan.! Sekiranya saya membiarkan perempuan rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka, maka saya sedang membiarkan masa hadapan dunia ini hancur, gelap dan hitam.


Sekiranya perempuan yang mengendong masa hadapan dunia selama sembilan bulan sepuluh hari ini rosak, maka apa yang akan terjadi pada masa hadapan dunia.? Mustahil saya tidak menyayangi perempuan. Tiadalah yang saya harapkan, melainkan perempuan juga menyayangi diri mereka dan menjaga peribadi mereka daripada perkara yang ALLAH larang dan murka.

Kerana sayang jugalah, saya akan terluka apabila melihat perempuan-perempuan berkeliaran tanpa menutup aurat. Kerana sayang jugalah, saya akan tercedera apabila melihat ada perempuan-perempuan tidak menjaga maruah mereka dan berpeleseran bersama lelaki tanpa segan-silu. Kerana sayang jugalah, saya akan terasa apabila melihat perempuan-perempuan menayangkan akhlak buruk mereka. Kerana sayang jugalah, saya akan tercucuk dengan perempuan yang tiada rasa malu terhadap diri mereka sendiri.

Kalaulah perempuan itu tahu bahawa mereka kunci kepada nasib dunia pada masa hadapan. Mereka bakal ibu dan isteri. Ibu kepada anak dan isteri kepada sang suami. Nyatakan pada saya bagaimana mereka ini tidak memberi kesan kepada kepada dunia? Semestinya kesan yang terhasil adalah kesan yang besar, wahai perempuan.

Sudah wujud dalam sejarah, kerajaan yang hebat jatuh kerana seorang perempuan. Sudah wujud dalam sejarah, seorang abid yang wara' jatuh kerana seorang perempuan. Sebab itu saya sangat menyayangi perempuan dan sering memikirkan mereka. Adakah mereka memikirkan diri mereka sendiri?

Maksud sayang saya, adalah hendak bersama di dalam syurga. Kalau tidak mahu masuk syurga bersama saya, cukuplah kalian mempunyai keinginan untuk masuk ke syurga dengan diri kalian, wahai perempuan. Jagalah diri, persiapkan peribadi. Kalian pemegang masa hadapan dunia.

Kalaulah kalian tahu betapa sejuknya mata ini melihat perempuan-peremuan yang berakhlak. Kalaulah kalian tahu betapa senangnya jiwa ini melihat perempuan-perempuan yang pemalu. Kalaulah kalian tahu betapa seronoknya kalbu ini melihat perempuan-perempuan yang menutup aurat. Kalaulah kalian tahu betapa tenangnya diri ini melihat perempuan-perempuan yang menjaga batas pergaulan.



Wahai perempuan, tidakkah kalian memandang diri kalian itu mahal? Maka jangan murahkan. Siapkan dirimu untuk menggoncang masa hadapan dengan keimanan dan ketaatan. Bukan dengan kehancuran dan kerosakan. Sungguh, saya merayu disini. Agar kalian mencintai diri sendiri.

# ummi, adalah perempuan yang paling saya sayang dalam dunia ini.

~Kembara Cahaya Ilahi~
04 Rabiul Akhir 1433 Hijrah

26 Februari 2012

2 comments:

  1. keep it up. doakan kami sntiasa. terima kasih atas p'ingatan yg sgt b'hrga ini

    ReplyDelete
  2. insyaALLAH.
    doakan juga kaum Adam yang sering lalai ini ~

    ReplyDelete