Wednesday 26 December 2012

Hamba yang tidak bersyukur


Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi, hingga ke hari ini dan saat ini ALLAH masih mengurniakan umur dan peluang untuk aku terus bernafas dan memberi aku peluang untuk terus bertaubat dengan dosa yang aku lakukan. Walaupun aku terus menerus melakukan dosa, ALLAH SWT masih terus mengurniakan rezeki, nikmat dan segalanya. ALLAH. Betapa Engkau Sangat Maha Pengasih YA ALLAH! Aku malu untuk menghadap di hadapan-MU dengan segala dosa ku!

Beberapa hari yang lalu, tiba detik yang menandakan aku selangkah, selangkah dan selangkah menghampiri kepada kematian. Detik itu mengingatkan kepada aku bahawa selama ini umurku hanya dihabiskan dengan perkara yang sia-sia, malah mengkufuri akan nikmat yang ALLAH kurniakan.
Ya ALLAH, masih layakkah aku untuk mengharap akan syurga-MU yang indah itu?


"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."[Luqman : 20]
Sangat cemburu melihat akan kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh, yang berjaya menawan Kota Constantinople pada usia yang muda.
Sangat cemburu melihat akan kecekalan Imam Syafie rhm yang sangat tekun menimba ilmu hingga layak untuk memberi fatwa ketika usia masih muda.
Sangat cemburu melihat Saidina Ali bin Abi Talib, Usmanah bin Zaid, Abdullah Ibn Umar, Ibn Abbas, Saidatina Aisyah dan beberapa nama besar lain, daripada kalangan sahabat Rasulullah saw yang menempa nama dan memberi sumbangan besar ketika usia muda.

Sangat-sangat jauh ibarat langit dan bumi dibandingkan dengan apa yang telah aku lakukan sepanjang usia muda ku.
Tiada langsung sumbangan buat agama dan bangsa sendiri. Sangat memalukan.
Memang layak digelar si penghabis oksigen dimuka bumi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Jangan jadi seperti ku, yang hanya pandai menangisi, tetapi tidak mahu koreksi.
Peluang telah diberi, tetapi masih seronok sendiri.
Masih tidak mahu perbaiki diri.
Alangkah rugi, wahai hamba yang tidak mensyukuri nikmat yang diberi.

"Usia muda adalah masa yang punya semangat untuk beramal. Oleh itu, manfaatkanlah dengan sebaik-baiknya. Janganlah disia-siakan. Jika engkau masih berada di usia muda, maka janganlah katakan, 'jika sampai usia tua, baru aku akan beramal.'"
Pesanan seorang hamba ALLAH yang aku tidak endah-endahkan.

# Jangan jadi seperti ku, jadilah lebih baik 100 kali ganda dari ku. #

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
12 Safar 1434 Hijrah
26 Disember 2012

No comments:

Post a Comment