Friday 29 June 2012

Sejuta Cinta untuk Ibunda


Ibumu telah mengandungmu didalam perutnya
selama sembilan bulan seolah-olah sembilan tahun
Dia bersusah payah ketika melahirkanmu 
yang hampir sahaja menghilangkan nyawanya
Dia telah menyusuimu dari susunya
Dia hilangkan rasa mengantuknya kerana menjagamu
Dia cuci kotoranmu dengan tangan kanannya
Dia utamakan dirimu atas dirinya serta atas makanannya
Dia jadikan pangkuannya sebagai ayunan bagimu
Dia memberikanmu semua kebaikan
Apabila kamu sakit atau mengeluh
Nampak darinya kesusahan yang luar biasa
dan panjang sekali kesedihannya
Dia keluarkan wang untuk membayar doktor yang mengubatimu
Seandainya dipilih antara hidupmu dan kematiannya,
maka dia akan meminta supaya kamu hidup. 
Betapa banyak kebaikan ibu,
sedangkan engkau balas dengan akhlak yang tidak baik.
Dia selalu mendoakanmu dengan taufiq,
baik secara sembunyi mahupun terang-terangan.
Tatkala ibumu memerlukanmu pada saat dia sudah tua,
engkau jadikan dia sebagai barang yang tidak berharga disisi mu.
Engkau kenyang dalam keadaan dia lapar.
Engkau puas dalam keadaan dia haus.
Dan engkau mendahulukan berbuat baik
kepada isteri dan anakmu daripada ibumu.
Dan engkau lupakan semua kebaikan yang pernah dia lakukan.
Dan rasanya berat atasmu memeliharanya
padahal adalah urusan yang mudah.
Dan engkau kira ibumu ada disismu umurnya panjang
padahal umurnya pendek
Engkau tinggalkan
padahal dia tidak punya penolong selainmu.
(Nukilan Imam Az-Zahabi didalam Al-Kabair) 

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
10 Syaaban 1433 Hijrah
29 Jun 2012

Saturday 23 June 2012

Sombongnya seorang nisa'...

Bismillahirrahmanirrahim. Sudah lama rasanya tidak meluangkan masa menulis dan mengupdate blog. Tugas sebagai tholibul ilm tidak lah mempunyai banyak masa terutama apabila berada di 'medan peperangan'. Terpaksa mengaulakan yang lebih utama dari yang utama.

Muslimah itu ibarat 'wardatul shauqah', ataupun mawar yang berduri yang mana hanya orang-orang tertentu sahaja yang dapat mendekatinya. Dan dengan langkah yang sebetulnya sahaja dapat mendekatinya. Silap langkah, maka boleh mengundang padah. Mana mungkin mawar yang tajam berduri itu sangat mudah disentuh oleh 'tangan-tangan' yang tidak berhati-hati.

Begitulah diibaratkan kepada kaum Hawa ini. Golongan ini sangat istimewa. Sangat terpelihara dari hujung rambutnya hinggalah hujung jari kakinya. Mereka ini perlu dipelihara sebaiknya, dilindungi sebaiknya, dan diberi penjagaan sebaiknya, supaya tidak menjadi 'mawar yang layu'. Maka untuk menjadi sesuatu yang mahal, yang berharga, perlulah kepada satu sifat atau sikap dalaman nisa' itu sendiri, bagi menjaga 'kualiti' dirinya. Sifat/sikap apa yang dimaksudkan?

Sombong. Ya. Sombong yang kena pada tempatnya. Atau lebih kepada bahasa anak muda zaman sekarang iaitu 'jual mahal'. Saya tidaklah ingin mengajak muslimah diluar sana kepada cara sombong yang seperti Raja Namrud yang sombong pada ALLAH. Bukan dengan cara itu. Seperti yang saya katakan, sombong yang kena pada asasnya, tempatnya.



Bagaimana sombong yang kena pada tempatnya? Saya fikir semua kaum Hawa sudah memahami akan apa yang saya cuba sampaikan dan maksudkan. Sombong pada yang bukan mahram dan pada perkara yang boleh melalaikan. Itu yang cuba dimaksudkan. 



"Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita"[HR. Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah] 
Sudah masyhur hadis ini dikalangan kaum Nisa' pada masa kini. Mungkin yang tidak pernah faham adalah kaum Adam itu sendiri. Yang tidak henti-henti melalaikan kaum Hawa. Berbalik pada isu sombongnya seorang nisa', sombong yang kena pada tempatnya. Sombonglah pada bukan mahram mu, sombonglah pada perkara-perkara yang cuba melalaikan mu.

Jika ada yang cuba mendekati, dengan cara yang salah, yang kurang manis, maka sombongkan lah diri mu. Mahalkan diri mu. Supaya 'title' mawar berduri itu selayaknya anda terima. Bukanlah lagi mawar yang berduri, sekiranya anda adalah muslimah yang suka melayan tanpa mengira batasnya, suka bersifat 'terbuka' tanpa mengira mana yang perlu 'ditutup'.
"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."[HR. Muslim]

Perhiasan yang indah dan terbaik itu perlulah selari dan selaras dengan sifatnya yang bergelar yang terindah dan terbaik. Begitu juga buat wanita solehah. Namun kaum Adam juga harus mengetahui dan menyedari, bahawa sombongnya seorang nisa' itu ada sebabnya, ada keperluannya. Bukan saja-saja mereka menyombongkan diri, bukan saja-saja mereka menjual mahal. Semua itu adalah bagi memelihara akan diri mereka yang sangat istimewa. Juga bagi menjauhkan diri dari sifat tidak malunya kita, wahai kaum Adam yang cuba mendekati seindah-indah perhiasan.
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, "Hendaklah mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, ... "
[Surah An-Nur (24): 31]
Sombongkan lah diri, mahalkan lah diri, bagi menjaga dan memelihara harga dan maruah diri mu, wahai muslimah~
"Wanita yang suka melayan lelaki tidak sesuai dijadikan isteri" - Ustaz Azhar Idrus 
~ Kembara Cahaya Ilahi ~
03 Syaaban 1433 Hijrah
22 Jun 2012 

Wednesday 13 June 2012

Hati Seorang Mukmin

Hati manusia itu perlu sentiasa diberi makan, dimandikan, dibersihkan dan diperiksa akan sebarang cacat cela. Pelbagai cara yang dapat dilakukan, untuk mengubat hati. Menyingkap semula kata-kata ulama',

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Saya kongsikan dengan sahabat-sahabat, lagu yang sangat meruntun jiwa, yang dari dulu saya hayati dan dengari tidak jemu-jemu. Mungkin sedikit sebanyak boleh melembutkan hati yang penuh titik-titik hitam tu. 



Mengalirlah air mata mukmin.
Atau mengalir air mata hatinya.
Bila mengingati Tuhannya.

Malunya hati mukmin.
Bila mengenangkan..
Rahim dan Rahman..
Tuhan...

Remuk redam hatinya bila teringat...
Qahar dan Jabbarnya.
Resah gelisah jiwanya melakukan dosa
Sedih hatinya lalai dengan Tuhannya..

Kemudian sedar semula
Tidak tentu rasa hatinya..
Bila terbuat kesalahan dan kesilapan..

Hati mukmin tidak pernah tenang dengan tuhannya.
Tenang dengan dunianya
Jiwanya bergelombang dengan Tuhannya
Bagaikan lautan tak pernah tenang

Kalau bukan kerna kewajipan
Tentu mereka bersendirian
Membawa diri berkelana bersama tuhan

"Air mata itu, benda yang berharga. Limpahkanlah ia di tempat yang bermanfaat. Air mata itu, benda yang berharga. Adalah baik jika ia mengalir menangisi dosa-dosa kita." 

Selamat Melembutkan Hati.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
23 Rejab 1433 Hijrah
13 Jun 2012

Tuesday 5 June 2012

Cinta dan Pelajaran? Mana satu?




Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengarang sebuah kitab yang sangat masyhur iaitu Fiqh Al-Awlawiyat atau Fiqh Keutamaan yang membicarakan perihal hal-hal yang utama yang perlu didahulukan dan yang mana tidak perlu didahulukan. Fiqh Al-Awlawiyat mengajak kita tentang kaedah meletakkan sesuatu perkara kena dengan kedudukan dan kewajarannya. Bermakna, ia memberi ruang untuk kita mengutamakan sesuatu perkara yang lebih besar daripada perkara yang kecil, sesuatu yang lebih penting kepada yang kurang penting dan mengerjakan sesuatu perara yang jelas berbanding perkara yang kurang jelas.


Penulis ingin kongsikan pada entri kali ini mengenai perkara mana yang lebih perlu kita utamakan, iaitu antara CINTA atau PELAJARAN. Penulis yakin, bahawa ramai anak-anak muda yang selalu dibelenggu dengan masalah seperti ini, tidak terkecuali penulis sendiri. Namun semua perkara didalam dunia ini, ada jawapannya. Apabila ditanya kepada Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz mengenai tentang hal ini, murabbi ada jawapannya tersendiri. Saya kongsikan bersama apa yang disarankan murabbi saya, Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz mengenai cinta dan pelajaran.


"Berbalik kepada persoalan yang dihadapi oleh golongan pelajar seperti ini, saya mengesyorkan agar memilih dan mengutamakan pelajaran berbanding berjuang dialam percintaan. Bukankah pelajaran lebih menjamin masa hadapan berbanding percintaan yang belum tentu berakhir dijinjang pelamin.? Namun, saya tidak melarang jika ada pelajar yang ingin bercinta semasa belajar. Apa yang ingin saya tekankan, apakah mereka mampu mengawal perasaan cinta itu. Begitu juga, apakah mereka mampu mengimbangkan diantara pelajaran dalam masa yang sama memelihara hubungan cinta? 
Itulah tuntutan dan persoalan yang perlu dijawab dengan jujur. Sekeping hati tidak boleh berada didalamnya satu, dua, tiga empat perkara sekaligus. Ketika ada perasaan orang lain yang lebih berhak dijaga, hati tidak mampu diisi dengan perasaan lain. Begiulah sifat hati kita. Oleh sebab itu, saya katakan bahawa bukannya saya tidak bersetuju jika ada yang ingin bercinta sambil belajar. Cuma saya inginkan kepastian, adakah mereka mampu mengawal pelajaran agar tidak terjejas? Mereka harus jelas bahawa buruk risikonya jika perasaan cinta tidak mampu dikawal hingga menjejaskan pelajaran. 
Benar. Saya bimbang jika ada yang terjejas pelajaran hanya disebabkan cinta. Saya bimbang kalau ada yang musnah masa hadapan hanya kerana cinta merosakkan pemikiran. Sedangkan jika dibandingkan keutamaan diantara cinta dan pelajaran, semua orang mampu menjawabnya. Ya. Sekiranya belum jelas dan kabur mengenai halatuju, nilailah dengan neraca yang jujur dan bertanggungjawab. Jujurlah dengan diri sendiri, ke manakah halatuju yang sedang dilalui untuk masa hadapan kelak. Begitu juga, apaah mereka yakin dengan kedudukan ketika ini, mereka mampu menjamin masa hadapan yang baik?
Andai mereka merasakan bahawa masih belum mampu melihat masa hadapan yang cerah, nasihat saya, bersabarlah. Tidak rugi andai masa selama tiga atau empat tahun yang perlu digunakan menimba ilmu, dilazati dan dinikmati sebenar-benarnya. Manfaatlah sebaiknya untuk memastikan kejayaan dapat diraih. Impikanlah masa hadapan yang baik selepas tamat belajar kelak.Ya. bersabarlah untuk tempoh selama yang sepatutnya dilakukan kita diminta untuk belajar. Janganlah menghampakan hati ibu bapa yang menaruh harapan tnggi untuk melihat kita berjaya didalam pelajaran. Utamakanlah harapan dan permintaan mereka. 
Selepas tamat pengajian, cari dan dapatkanlah pekerjaan yang bagus. Kemudian, jika ingin bercinta dan berkahwin, silakanlah. Apa yang lebih penting ketika ini adalah mengutamakan perasaan orang yang sepatutnya diutamakan. Kebimbangan saya ada asasnya. Saya bimbang jika dicampuradukkan diantara keutamaan belajar dengan bercinta, ia akan mewujudkan sikap main-main didalam diri. Sikap begini akhirnya hanya akan merugikan diri sendiri dan masa hadapan yang sepautnya dicipta penuh gemilang. 
Inilah seruan saya kepada golongan pelajar. Utamakanlah pelajaran. Dahulukanlah untuk mencapai apa yang anda impikan dalam pelajaran dan pekerjaan. Biarlah cinta datang kemudian. Namun jika ada dalam kalangan  anda yang tetap ingin menyulam cinta sambil belajar, saya tidak menyalahkan. Cuma pesan saya, jagalah tatasusila dan hukum hakam agama. Janganlah menjadikan hubungan cinta sebagai tiket untuk melakukan maksiat. Ingat ya.!"

Itulah, pesanan dan nasihat dari murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-HAfiz, yang sehingga hari ini, tersemat didalam fikiran penulis. Semoga ALLAH sentiasa merahmati dan memanjangkan umur murabbi.

# Utamakan Yang Lebih Utama # 



~ Kembara Cahaya Ilahi ~
16 Rejab 1433 Hijrah
05 Jun 2012