Wednesday 26 December 2012

Hamba yang tidak bersyukur


Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi, hingga ke hari ini dan saat ini ALLAH masih mengurniakan umur dan peluang untuk aku terus bernafas dan memberi aku peluang untuk terus bertaubat dengan dosa yang aku lakukan. Walaupun aku terus menerus melakukan dosa, ALLAH SWT masih terus mengurniakan rezeki, nikmat dan segalanya. ALLAH. Betapa Engkau Sangat Maha Pengasih YA ALLAH! Aku malu untuk menghadap di hadapan-MU dengan segala dosa ku!

Beberapa hari yang lalu, tiba detik yang menandakan aku selangkah, selangkah dan selangkah menghampiri kepada kematian. Detik itu mengingatkan kepada aku bahawa selama ini umurku hanya dihabiskan dengan perkara yang sia-sia, malah mengkufuri akan nikmat yang ALLAH kurniakan.
Ya ALLAH, masih layakkah aku untuk mengharap akan syurga-MU yang indah itu?


"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."[Luqman : 20]
Sangat cemburu melihat akan kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh, yang berjaya menawan Kota Constantinople pada usia yang muda.
Sangat cemburu melihat akan kecekalan Imam Syafie rhm yang sangat tekun menimba ilmu hingga layak untuk memberi fatwa ketika usia masih muda.
Sangat cemburu melihat Saidina Ali bin Abi Talib, Usmanah bin Zaid, Abdullah Ibn Umar, Ibn Abbas, Saidatina Aisyah dan beberapa nama besar lain, daripada kalangan sahabat Rasulullah saw yang menempa nama dan memberi sumbangan besar ketika usia muda.

Sangat-sangat jauh ibarat langit dan bumi dibandingkan dengan apa yang telah aku lakukan sepanjang usia muda ku.
Tiada langsung sumbangan buat agama dan bangsa sendiri. Sangat memalukan.
Memang layak digelar si penghabis oksigen dimuka bumi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Jangan jadi seperti ku, yang hanya pandai menangisi, tetapi tidak mahu koreksi.
Peluang telah diberi, tetapi masih seronok sendiri.
Masih tidak mahu perbaiki diri.
Alangkah rugi, wahai hamba yang tidak mensyukuri nikmat yang diberi.

"Usia muda adalah masa yang punya semangat untuk beramal. Oleh itu, manfaatkanlah dengan sebaik-baiknya. Janganlah disia-siakan. Jika engkau masih berada di usia muda, maka janganlah katakan, 'jika sampai usia tua, baru aku akan beramal.'"
Pesanan seorang hamba ALLAH yang aku tidak endah-endahkan.

# Jangan jadi seperti ku, jadilah lebih baik 100 kali ganda dari ku. #

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
12 Safar 1434 Hijrah
26 Disember 2012

Saturday 15 December 2012

Munajat mu seindah nama mu.


Ya ALLAH, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala apa yang boleh memesongkan diri daripada MU, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau. 
Tuhanku! Bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan MU 
Tuhanku! Tiada ku dengar suara binatang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser,tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi,tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman,tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keesaan MU dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai MU. 
Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyiknya.Yang tinggal hanya Rabi'ah yang banyak kesalahan di hadapan MU.Maka Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada MU.
Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan MU.Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang dalam dan kerana kebesaran kesucian MU, ombak di laut bertepukan. 
Engkaulah Tuhan yang sujud kepada NYA malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi MU dengan takdir kerana Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa. 
Wahai Tuhanku! Malam akan pergi dan siang pula akan mengganti.Wahai malangnya diri!Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah?
Demi kemuliaan MU,jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku diatasnya.
Demi kemuliaan MU, jika Engkau menghalauku daripada pintu MU itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak dari situ kerana hatiku sangat cinta kepada MU.
Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan MU supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku dari MU. 
Kekasihku tidak menyamai kekasih lain.Tiada selain DIA di dalam hatiku mempunyai tempat manapun.Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun.Akan tetapi DIA tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun. 
Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api, hati yang mencintai MU dan lisan yang menyebut MU dan hamba yang takut kepada MU? 
Jika aku menyembah MU kerana takut api nerakaMu maka bakarlah aku di dalamnya!Dan jika aku menyembah MU kerana tamak kepada syurga MU, maka haramkanlah aku daripadanya!Tetapi jika aku menyembah MU kerana kecintaanku kepada MU, maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah MU yang Maha Besar & Maha Mulia itu.

Indah nya kalam munajat mu, seindah nama mu.
Tiada langsung 'makhluk' di hati mu, selain Yang Maha Menakluk.
Malam mu menjadi saat pertemuan yang indah bersama si DIA, meluah rasa kasih dan rindu.

Rabi'ah binti Ismail al-Adawiyah.
Semoga aku dapat mengikut langkah mu, menjadi perindu dan pencinta yang sejati.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
01 Safar 1434 Hijrah
15 Dis 2012