Sunday 26 February 2012

Kalaulah perempuan itu tahu..


"Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”. 
"Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap haridengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan."
"Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki. "

Berikut adalah beberapa mafhum hadis yang berkaitan dengan kelebihan perempuan berbanding lelaki. Dilihat pada hadis tersebut, sudah boleh digambarkan, bahawa kedudukan perempuan ini sangat istimewa berbanding lelaki. Perempuan, tahukah kalian bahawa kalian itu sangat mahal.? Ketahuilah, secara jujurnya makhluk yang saya sayangi di dunia ini adalah perempuan. Tahukah kalian mengapa saya menyayangi kalian.? Atau kalian tidak menyedari mengenai keistimewaan kalian.?

Tiada lelaki yang dilahirkan selain dari rahim seorang ibu melainkan Nabi Adam a.s. Manakala manusia lain, semuanya dilahirkan dari rahim seorang ibu. Termasuklah sultan, perdana menteri, tentera, pegawai, rakyat biasa dan lain-lainnya. Saya juga dari seorang rahim perempuan. Tiada manusia yang dilahirkan hebat melainkan hanya manusia biasa. Namun kebiasaannya manusia-manusia hebat dilahirkan oleh ibu yang hebat disisi mereka.

Mengapa pula saya tidak menyayangi perempuan? Mengapa pula saya tidak mengambil berat mengenai perempuan? Sedangkan dari rahim mereka lahirnya pewaris-pewaris masa hadapan.! Sekiranya saya membiarkan perempuan rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka, maka saya sedang membiarkan masa hadapan dunia ini hancur, gelap dan hitam.


Sekiranya perempuan yang mengendong masa hadapan dunia selama sembilan bulan sepuluh hari ini rosak, maka apa yang akan terjadi pada masa hadapan dunia.? Mustahil saya tidak menyayangi perempuan. Tiadalah yang saya harapkan, melainkan perempuan juga menyayangi diri mereka dan menjaga peribadi mereka daripada perkara yang ALLAH larang dan murka.

Kerana sayang jugalah, saya akan terluka apabila melihat perempuan-perempuan berkeliaran tanpa menutup aurat. Kerana sayang jugalah, saya akan tercedera apabila melihat ada perempuan-perempuan tidak menjaga maruah mereka dan berpeleseran bersama lelaki tanpa segan-silu. Kerana sayang jugalah, saya akan terasa apabila melihat perempuan-perempuan menayangkan akhlak buruk mereka. Kerana sayang jugalah, saya akan tercucuk dengan perempuan yang tiada rasa malu terhadap diri mereka sendiri.

Kalaulah perempuan itu tahu bahawa mereka kunci kepada nasib dunia pada masa hadapan. Mereka bakal ibu dan isteri. Ibu kepada anak dan isteri kepada sang suami. Nyatakan pada saya bagaimana mereka ini tidak memberi kesan kepada kepada dunia? Semestinya kesan yang terhasil adalah kesan yang besar, wahai perempuan.

Sudah wujud dalam sejarah, kerajaan yang hebat jatuh kerana seorang perempuan. Sudah wujud dalam sejarah, seorang abid yang wara' jatuh kerana seorang perempuan. Sebab itu saya sangat menyayangi perempuan dan sering memikirkan mereka. Adakah mereka memikirkan diri mereka sendiri?

Maksud sayang saya, adalah hendak bersama di dalam syurga. Kalau tidak mahu masuk syurga bersama saya, cukuplah kalian mempunyai keinginan untuk masuk ke syurga dengan diri kalian, wahai perempuan. Jagalah diri, persiapkan peribadi. Kalian pemegang masa hadapan dunia.

Kalaulah kalian tahu betapa sejuknya mata ini melihat perempuan-peremuan yang berakhlak. Kalaulah kalian tahu betapa senangnya jiwa ini melihat perempuan-perempuan yang pemalu. Kalaulah kalian tahu betapa seronoknya kalbu ini melihat perempuan-perempuan yang menutup aurat. Kalaulah kalian tahu betapa tenangnya diri ini melihat perempuan-perempuan yang menjaga batas pergaulan.



Wahai perempuan, tidakkah kalian memandang diri kalian itu mahal? Maka jangan murahkan. Siapkan dirimu untuk menggoncang masa hadapan dengan keimanan dan ketaatan. Bukan dengan kehancuran dan kerosakan. Sungguh, saya merayu disini. Agar kalian mencintai diri sendiri.

# ummi, adalah perempuan yang paling saya sayang dalam dunia ini.

~Kembara Cahaya Ilahi~
04 Rabiul Akhir 1433 Hijrah

26 Februari 2012

Thursday 16 February 2012

Result = Hubungan Dengan ALLAH SWT

Alhamdulillah. Keputusan exam tempoh hari sudah pun diketahui, walaupun x mencapai target, tetapi tetap bersyukur dengan apa yang diperolehi. Kerana saya tahu, keputusan yang saya terima bersesuaian dengan usaha yang saya kerahkan sepanjang sem1 lalu. Namun, sedih dan kecewa itu tetap ada dalam hati, kerana keputusan itu melambangkan hubungan saya dengan SI DIA..mengapa saya berkata begitu.?

kerana bagi saya, kejayaan sangat berkait rapat hubungan kita dengan Yang Maha Pencipta. Apa kunci kedisiplinan diri? Jawapannya HUBUNGAN DENGAN ALLAH SWT.

Bagaimana hendak berjaya? Jawapannya HUBUNGAN DENGAN ALLAH SWT.

Ya.itulah yang saya maksudkan.segala-galanya bertitik tolak pada hubungan kita dengan ALLAH SWT.
Bukanlah hubungan dengan ALLAH, adalah kita duduk di atas sejadah semata dan mengurung diri di dalam masjid sepanjang masa. Hubungan dengan ALLAH adalah bermaksud kita merasai kewujudan ALLAH setiap masa, setiap tempat, setiap ketika. Kita rasa tidak terlepas daripada-Nya, kita rasa dekat dengan-Nya, dan kita rasa ALLAH Maha Tahu apa yang dilakukan oleh kita. 
" tahniah. anta berjaya jaga hubungan anta dengan ALLAH SWT "
itulah ucapan tahniah yang saya ucapkan kepada sahabat2 yang berjaya mendapat result yang cemerlang.ya.saya mengaku.saya cemburu.kerana mereka berjaya menjaga hubungan mereka dengan ALLAH sebaiknya.tidak seperti saya, yang hanya 'cukup2 makan' menjaga hubungan dengan Pencipta saya.

Cara mendekatkan diri dengan ALLAH SWT :

1) Melalui amalan
2) Melalui zikir
3) Melalui doa
~ Kuliah Andai Aku Pergi Dulu, Murabbi Al-Fadhil Ustaz Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz ~

 Mungkin ada cacat celanya cara saya berhubungan dengan ALLAH antara tiga2 kaedah itu. Mungkin kurang zikirnya, mungkin kurang amalannya, mungkin di doanya, atau mungkin KETIGA-TIGANYA. Atau saya sendiri yang tidak amanah dengan taklif yang diberi pada saya, sebagai seorang tholibul ilm'. Terlalu enjoy, masih berasa selesa, dan masih leka dengan matlamat sebenar. Tidak mengapa. Saya redha seandainya ini adalah titik muhasabah untuk saya kembali kepada landasan yang betul.

Kepada yang berjaya, teruskan menjaga hubungan kamu dengan ALLAH SWT sebaik-baiknya,
Kepada yang kurang berjaya, tidak mengapa, tetapkan niat baru, usaha yang lebih, koreksi diri, dan kembali pada landasan yang 'lurus'.


‎" manusia bukan dinilai pada sijil, sijil hanyalah sekeping kertas. Yang dinilai ialah hati, budi, aqal dan akhlak "
~ Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz ~

~Kembara Cahaya Ilahi~
24 Rabiul Awal 1433 Hijrah
16 Februari 2012

Tuesday 14 February 2012

Hari Pencemar Cinta



Ya. Tarikh yang dinanti-nantikan oleh pasangan kekasih diseluruh dunia telah tiba. Tarikh ini amat bermakna bagi pasangan kekasih, sebagai tarikh mereka membuktikan kasih dan cinta kepada pasangan masing-masing. Ramai yang memilih tarikh ini sebagai tarikh bersejarah mereka, tidak kiralah untuk yang pertama kali dating, untuk melamar dan sebagainya.Perayaan yang datangnya dari agama lain, akhirnya disambut dan menjadi ikutan oleh masyarakat dunia, tidak terkecuali di Malaysia.

Cuma pertanyaan saya pada pasangan kekasih yang menjadikan hari tersebut adalah hari bermakna buat mereka, adakah Hari Valentine itu cinta.? Hari kekasih.? Bagi saya, tarikh ini adalah hari yang mencemarkan erti cinta sebenar, dalam erti kata lain, Hari Pencemar Cinta..

Valentine itu sendiri muncul daripada nama seorang paderi Kristian. Jika begitu, adakah boleh seorang Islam menyambut Hari Valentine? Maka jawapan saya dari dulu hingga sekarang tetap sama, iaitu TIDAK BOLEH. Saya tidak tahu apa yag meracuni pemikiran seseorang yang beragama Islam itu sekiranya dia berkata BOLEH menyambutnya. Kita boleh menghormati orang agama lain yang menyambutnya, tetapi TIDAK untuk kita yang beragama Islam. Hari Valentine merupakan hari yang hanya membuka pintu kemungkaran, kemaksiatan yang dasyat. Hubungan lelaki dan perempuan yang tidak terkawal yang akhirnya mengheret kepada keruntuhan moral, akhlak, dan AGAMA.

Cinta, pada saya ianya amat suci, bersih dan menyenangkan.Malah memberikan ketenangan, kelembutan dan kelapangan. Dengan cinta kepada ALLAH, kita masih diberi peluang untuk bertaubat, disamping diberi nikmat yang tidak terkira banyaknya. Dengan cinta kepada Rasulullah SAW, kita hari ini dapat meneguk nikmat iman dan islam perahan keringat dan darah Baginda. Dengan cinta dan kasih sayag ibu bapa, hari ini kita dapat hidup membesar menjadi seorang manusia. Dengan cinta dan kasih sayang guru, kita hari ini dapat berdiri dimana kita berdiri.

Cinta atara dua kekasih yang bersih adalah tidak denagn melaksanakan apa yang ALLAH larang, menjaga segala hukum hakam agama.Manusia yang tidak berada asta jalan cinta yang betul, tidak akan memahami keagungan cinta ini, dan kemahalannya. Berbalik kepada Hari Valentine@Hari Pencemar Cinta, merosakkan cinta yang sebenar, menghapusakn kebersihan yag ada didalamnya, dan diisi dengan perkara yang tidak bermakna. Nantikan sembilan bulan dari sekarang, maka lahirlah baka-baka pencemar cinta di Malaysia. Pertanyaan saya, kepada pasangan kekasih diluar sana, inikah hari kekasih atau hari bermakna buat anda untuk meluahkan rasa cinta.? Maka saya percaya, cinta mengikut pemahaman kalian sangat hina.

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Al-Isra' 17:32)

Islam mendidik kita bercinta dengan cinta yang bersih. Bercinta atas paksi keimanan. Bercinta denagn lunas-lunas dan peraturan yang telah ditetapkan. Saya tidak faham. apakah maksud cinta yang difahami oleh pasangan-pasangan kekasih ini dan tidakkah kamu berfikir akan zuriat kamu selepas ini.? kalian bercinta atas sebab apa sebenarnya? Main-main? Sampai bila kita ingin mengotorkan dan mencemarkan cinta?

#Sekiranya anda mengakui anda mengasihi  Rasulullah SAW, jauhkan dan elakkan diri anda terlibat dengan Hari Valentine ini. Jika tidak, sungguh, anda telah mengecewakan 'KEKASIH SEJATI' sebenar anda.


~ Kembara Cahaya Ilahi ~
21 Rabiul Awal 1433 Hijrah
14 Februari 2012

Saturday 11 February 2012

Asalnya seorang perompak...!

Asalnya seorang ahli maksiat, perompak, dan penyamun. Namun apabila mendengar kalimah ALLAH, sinar hidayah menusuk kalbunya lantas sedar akan kesilapannya dan bertaubat kepada ALLAH. MasyaALLAH., indahnya perjalanan hidupnya yang diakhiri dengan husnul khatimah..

Beliau adalah Abu 'Ali al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas`ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbu`iy al-Khuraasaani.
 Al-Fudhail bin ‘Iyadh dulunya seorang penyamun yang menghalang orang-orang di daerah antara Abu Warda dan Sirjis. Dan sebab taubat beliau adalah kerana beliau pernah terpikat dengan seorang wanita, maka tatkala beliau tengah memanjat tembok kediaman wanita tersebut untuk  melaksanakan hasratnya terhadap wanita tersebut, tiba-tiba saja beliau mendengar seseorang membaca ayat:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِيْنَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوْبُهُمْ لِذِكْرِ اللهِ وَماَ نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلاَ يَكُوْنُوا كَالَّذِيْنَ أُوْتُوا الْكِتاَبَ مِنْ قَبْلُ فَطاَلَ عَلَيْهِمُ اْلأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوْبُهُمْ وَكَثِيْرٌ مِنْهُمْ فاَسِقُوْنَ
“Belumkah datang waktunya bagi orang –orang yang beriman untuk tunduk hati mereka guna mengingat Allah serta tunduk kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang –orang yang sebelumnya telah turun Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras, dan kebanyakkan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Al Hadid: 16).

Selepas beliau mendengar ayat tersebut, beliau terus berkata: “Tentu saja wahai Rabbku. Sungguh telah tiba saatku (untuk bertaubat).” Maka beliau pun kembali, dan pada malam itu ketika beliau tengah berlindung di balik runtuhan bangunan, tiba-tiba  di sana ada sekelompok orang yang sedang berjalan. Sebahagian mereka berkata: “Kita jalan terus,” dan sebahagian yang lain berkata: “Kita jalan terus sampai pagi, kerana biasanya Al-Fudhail menghalang kita di jalan ini.” Maka beliau pun berkata: “Kemudian aku merenung dan berkata: ‘Aku menjalani kemaksiatan-kemaksiatan di malam hari dan sebahagian dari kaum muslimin di situ ketakutan kepadaku, dan tidaklah Allah mengiringku kepada mereka ini melainkan agar aku berhenti (dari kemaksiatan ini). Ya Allah, sungguh aku telah bertaubat kepada-Mu dan aku jadikan taubatku itu dengan tinggal di Baitul Haram’.”

Beliau wafat di Makkah pada bulan Muharram tahun 187 H dan dikebumikan di Jannatul Ma'ala. SubhanALLAH, indahnya pengakhiran hidup Al-Fudhail ibn Iyadh. Benar kata murabbi, " kita tidak boleh menilai seseorang itu ketika hayatnya, tetapi pengakhiran hayatnya..siapa kita untuk menjadi juri menghukum seseorang..mungkin diakhir hayatnya dia sempat bertaubat "

Saya tinggalkan post ini dengan kata-kata mutiara dari Al-Fudhail Ibn Iyadh. Semoga bermanfaat kepada kita semua..


"Kamu menutup pintumu dan menurunkan tabirmu dan berasa malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Al-Quran yang ada di dadamu dan tidak malu kepada Allah yang Maha Besar yang tidak ada sesuatu yang dapat bersembunyi dariNya."

”Barangsiapa yang hendak mencari teman tanpa cacat, pasti dia tidak akan menemukan teman dan akan hidup tanpa teman.”

“Kosongkan hatimu dari yang lain kecuali rasa takut dan tangismu kepada Allah swt. Jika keduanya sudah bersarang di hatimu, maka takut dan tangis itu akan membentengimu dari melakukan maksiat dan menjauhkanmu dari api neraka.”

“Jika kamu merasa begitu berat untuk menunaikan qiamullail dan berpuasa di siang hari, maka ketahuilah, sesungguhnya dirimu telah terbelenggu oleh dosa dan maksiat yang kamu perbuat.”

"Sesungguhnya amalan jika telah ikhlas tapi benar maa tida diterima (oleh Allah SWT). Demikian sebaliknya, jika amalan tersebut telah benar tapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima (oleh Allah SWT) sampai menjadi ikhlas dan benar. Sedangkan yang dimaksudkan amal yang ikhlas adalah yang dilakukan kerana Allah SWT dan yang dimaksudkan dengan amalan yang benar adalah jika dilakukan sesuai dengan sunnah (Rasulullah SAW)"

"meninggalkan amal kerana manusia termasuk riya' adapun beramal kerana manusia termasuk perbuatan syirik"

Kamu jangan merasa rendah diri kerana menempuh jalan yang benar walaupun sedikit orang yang menempuhnya, dan kamu jangan tertipu dengan bathil walaupun ramai orang yang mengamalkannya"

"Manusia paling berdusta adalah mereka yang mengulangi perbuatan dosa yang pernah dilakukannya. Manusia paling bodoh adalah mereka yang menunjukkan amal kebajikannya. Manusia yang paling dekat dengan Allah adalah mereka yang paling takut kepadaNya. Manusia tidak akan sempurna sehingga agamanya mampu mengalahkan nafsunya. Dan manusia tidak akan binasa sehingga nafsunya mengalahkan agamanya."

‎" Di kala matahari terbenam, aku bergembira kerana aku dapat menyambut malam untuk berdua-duaan dengan Tuhan. Di kala matahari terbit, aku bersedih kerana banyak orang datang menemuiku. Hatiku bersedih ketika fajar terbit kerana siang dengan segala penyakitnya sudah datang. "

Thursday 9 February 2012

10 Wasiat As-Syahid Imam Hasan Al-Banna



1. Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekali pun.

2. Bacalah al-Qur'an, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara-perkara yang baik, amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.

4. Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan mengecam sesebuah; dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Ikhwan Muslimin yang ditemui walaupun dia tidak meminta saudara berkenalan dengannya… asas gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri, ringkaskanlah pelaksanaannya.


" Wahai ikhwan, perlengkapkanlah dirimu dengan mendapat tarbiyah yang sahih dan pengalaman serta ujian yang terperinci. Ujilah para bakal pejuang dengan amal yang kuat, yang banyak, yang tidak disukai oleh mereka, yang membebankan mereka dan pisahkanlah mereka dengan hawa nafsu dan kebiasaan mereka agar mereka tahu apa itu HAKIKAT PERJUANGAN..."

~ As-Syahid Imam Hasan Al-Banna ~

Monday 6 February 2012

Sambutan Maulidur Rasul : Bidaah, Muhasabah & Dakwah

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, syukur sgt2 ALLAH beri kesempatan kepada saya untuk menghadiri Sambutan Maulidur Rasul di Pusat Pendidikan Al-Barakah pagi tadi. Pelbagai agenda yang bermanfaat diadakan pada pagi tadi semata-mata untuk memperingati Junjungan Mulia kita Nabi Muhammad SAW. Entri kali ini bukanlah untuk menceritakan mengenai perjalanan program yang saya hadiri pagi tadi, tetapi untuk membawa perubahan fikrah  umat Islam apabila menjelangnya Maulidur Rasul setiap tahun. Ya, seperti biasa yang kita ketahui, perkara yang akan timbul apabila datangnya Maulidur Rasul, adalah isu bidaah membidaah antara satu sama lain. Setuju dengan saya.?

Saya juga percaya sahabat-sahabat sudah lali dengan perkataan tersebut apabila datangnya hari-hari yang agung dalam Islam. Akan timbul perkara ini terutama para alim ulama' yang tidak henti-henti mem'bidaah'kan antara satu sama lain. Masing-masing mengeluarkan hujah dan dalil masing-masing sehingga kesucian dan kemuliaan hari-hari yang mulia itu sudah hilang 'seri' nya. Bukanlah saya ingin mengeluarkan dalil dan hujah yang saya pegang mengenai perkara ini, namun ini hanyalah sekadar secebis pandangan dari hamba yang dhoif mengenai ilmu agama dari sudut pandang sisi hamba Allah yang 'jahil'..


Rasulullah bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya orang yang paling utama bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”(Hadis riwayat al-Tirmidzi).

sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.”
(Hadis riwayat Ahmad).





Program Maulidur Rasul pada pagi tadi seperti biasa dimulakan dengan perarakan
disekeliling kampung yang diikuti  dengan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.
Seluruh penduduk kampung Manjoi yang hadir dari adik sekecil 6 tahun sehinggalah ayahanda dan bonda yang sudah berumur bersemangat berselawat kepada Rasulullah SAW. Adakah ini perkara bidaah..? Hadis diatas rasanya cukup untuk kita memahaminya...





Apa yang paling menarik perhatian saya adalah sekumpulan anak-anak muda yang berbaju kuning yang mungkin sebaya dengan saya atau lebih muda yang bersama-sam dalam perarakan maulidur rasul pada pagi tadi. Namun mereka lebih 'segak' berarak dengan motor dan fixie mereka sambil berselawat. MasyaALLAH. Jarang sekali nak tengok anak-anak muda yang bersama-sama berkonvoi sambil melaungkan kalimah memuji Rasulullah SAW. Terfikir sejenak, 'mungkin ini yang dikatakan pendekatan dakwah bil hikmah' yang dapat menarik kumpulan motor dan fixie tersebut. Cuba sahabat-sahabat bayangkan, sekiranya tiada perarakan Maulidur Rasul yang dibuat di Manjoi pagi tadi, agak-agak anak-anak muda ini berda di mana.? apa yang mereka buat.? Jika ditanya mungkin pelbagai jawapan yang dapat diluahkan. Yang pastinya jawapan tersebut 'kurang enak' didengar..adakah dengan mengajak anak-anak muda yang bermotor dan kumpulan basikal fixie berselawat dikatakan bidaah..?





Slot ceramah juga diadakan sempena sambutan Maulid di Al-Barakah dimana penceramah yang sangat berkarisma iaitu Al-Fadhil Ustaz Husam Bin Badaruddin (anak mufti Kedah) yang banyak berkongsi ilmu dengan para hadirin. Antaranya mengenai hak muslim antara muslim yang lain, pesanan Imam Hassan Al-Banna mengenai solat dan banyak lagi. Agak mengejutkan saya sekiranya ceramah sempena maulidur rasul juga dicop bidaah..





Majlis diakhiri dengan alunan selawat dan salam keatas Baginda Nabi Muhammad SAW yang dipimpin oleh Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz bersama adik-adik kecil dari sekolah KAFA Al-Barakah. SubhanaALLAH, adik-adik kecil juga mampu berselawat dengan beberapa alunan lagu memuji Rasulullah SAW, bagaimana dengan kita yang sudah besar panjang..? adakah adik-adik kecil ini berselawat juga diaktakan bidaah..?

Seperti yang saya katakan tadi., ini hanyalah sekadar secebis pandangan dari hamba yang dhoif mengenai ilmu agama dari sudut pandang sisi hamba Allah yang 'jahil'. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan saya mengenai hal ini kerana masing-masing mempunyai pegangan, dalil dan hujah masing-masing.

Mungkin sedikit sebanyak boleh mengubah fikrah 'golongan-golongan tertentu' yang masih menganggap sambutan Maulid ini bidaah...

" Segala yang bidaah akan membawa kepada kesesatan, dan semua kesesatan akan membawa ke neraka. Adakah menyambut Maulidur Rasul membawa kita ke neraka..? Nauzubillah.." (Ustaz Don Daniyal)

" kalau ada yang kata sambut maulid nabi tu bidaah, tanya pada tuan yang cakap tu, kalau taun sambut hari lahir tuan, tak bidaah..? kalau tuan sambut ulangtahun perkahwinan tuan, tak bidaah..? " (Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz)


 والله اعلم

Friday 3 February 2012

Orang-orang hebat..,

بسم الله الرحمن الرحيم

Baru habis dengar kuliah murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz yang bertajuk 'Hamba Allah Yang di Uji' tadi, tertarik dengan apa yang diceritakan oleh murabbi dalam kuliahnya mengenai orang-orang yang hebat dalam Islam. Mungkin boleh dijadikan sedikit perkongsian disini..

Siapakah yang hebat/mulia..? (Mengikut urutan)


1) Nabi Muhammad SAW

2) Nabi Ibrahim a.s
3) Nabi Musa a.s
4) Nabi Isa a.s
5) Nabi Nuh a.s
6) Para Nabi yang tergolong dalam 25 Nabi yang menjadi Rasul selain nabi diatas
7) Para Nabi yang tidak diutuskan menjadi Rasul
8) Para Malaikat


Diikuti 10 orang biasa yang hebat-hebat selain Para Nabi dan Malaikat :

(Mengikut urutan)
1) Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a
2) Saidina Umar Al-Khattab
3) Saidina Uthman Bin Affan
4) Saidina Ali Bin Abi Talib
5) Talhah Bin Abdullah
6) Zubair Al-Awwam
7) Abdurrahman Bin Auf
8) Saad Bin Abi Waqas
9) Zaid Bin Zayid
10) Abu Ubaidah Al-Jarrah


Di khabarkan pula oleh Imam Al-Maturidi, orang yang hebat imannya selepas 10 orang biasa diatas adalah :

(Mengikut urutan)
1) 313 orang yang terlibat dalam Peperangan Badar Al-Kubra
2) Orang yang terlibat dalam Peperangan Uhud
3) Orang yang terlibat dalam Ba'iah Ridhwan
4) Semua sahabat-sahabat Nabi
5) Orang yang mengikut sahabat-sahabat Nabi
6) Orang yang mengikut pengikut sahabat-sahabat Nabi sehinggalah Hari Kiamat


Itulah sekadar perkongsian yang sempat di'take note', semoga bermanfaat untuk semua. Suka untuk saya kongsikan kata-kata Murabbi diakhir kuliahnya.,

"kita ni berada di nombor berapa..? Siapa kita nak lawan Saidina Abu Bakar, nak pertikai Saidina Uthman..? macam mana kita nak tandingi iman Talhah, Zubair, kalau kita sembahyang pon boleh main-main, nak derma seringgit pon susah. fikir-fikirkan tuan-tuan...."
~Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz~

 والله اعلم

Wednesday 1 February 2012

Mujahadah itu pahit, kerna Syurga itu manis..


Mujahadah
Aduhai diriku yang lemah
Adakah engkau sedang bermujahadah?
Sesungguhnya engkau luput dari zikrullah
Runtunan nafsu nyata memusnah
Harapanmu untuk istiqamah

Mujahadah
Aduhai diriku yang lemah
Apakah engkau sedang bermujahadah?
Melawan bisikan syaitan yang sentiasa istiqamah
Siang dan malam tiada pernah mengalah
Membisikkan hatimu sampai engkau punah
Sampai maksiat berani engkau terjah
Larangan Tuhan berani engkau sanggah

Mujahadah
Aduhai diriku yang lemah
Engkau tewas dalam mujahadah
Engkau malas untuk mujahadah
Engkau alpa dari mujahadah
Engkau sisihkan mujahadah
Itulah sebabnya engkau terus kalah

Mujahadah
Wahai diriku yang lemah
Insafilah nyawamu bukan bertambah
Sakit sakaratul dekat sudah
Bila lagi engkau ingin taubat nasuha?

Mujahadah
Engkaulah kunci dalam hidup yang penuh rencah
Nafsu, iblis & syaitan datang dari semua arah
Semuanya dapat  engkau tepis dengan mudah
Kerana engkau terus istiqamah
Mujahadah yang tidak pernah lelah
Bersama zikrullah yang tiada noktah!

Ayuh bermujahadahlah wahai diriku yang lemah!!!


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Al-’Ankabut [29:69]
 Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”