Thursday 31 May 2012

ALLAH itu dekat..

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Begitu juga kehidupan manusia. Tidak pernah sunyi daripada dugaan. Umpama pelangi yang punya pelbagai warna, begitulah ujian bagi setiap hamba. Ada yang diuji dengan ketaatan, kesakitan atau musibah. Ada juga perangkap yang menunggu kita menjadi mangsa.

Setiap yang bergelar hamba, pasti akan melalui waktu-waktu yang sukar, waktu yang diuji, waktu yang dilanda masalah. Tiada hamba yang tidak diuji, kerana kita bukanlah hamba yang sempurna, yag tidak dilanda dengan masalah. 
Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
Berkata murabbi saya, Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz, "Jiwa seorang hamba tidak pernah terlepas daripada ujian. Sama ada ujian itu berbentuk kesusahan atau kesenangan, semuanya adalah tanda bahawa itulah kasih sayang Ilahi."

Jadi suka atau tidak, mahu atau tidak, kita sebagai manusia yang berada di bawah aturan ALLAH ini akan menghadapi ujian dan cabaran, mehnah dan tribulasi. Kesukaran dan kesusahan pastinya akan wujud dalam kehidupan kita.

Setiap kali kesusahan tiba, kita akan terasa seperti diri kita terhadang oleh satu dinding yang tinggi dan besar. Kita tidak boleh terus, juga mustahil untuk kita berpatah balik. Ketika itu kita akan rasa tersepit, terhimpit dan dada kita akan menjadi sempit.

Itu dari segi pandangan lahiriah, tetapi hakikatnya, jika kita bertenang, kembali berfikir dengan rasional, maka kia akan melihat pada dinding itu terdapat satu pintu. Pintu yang akan membawa kita menembusi dinding itu dan meneruskan perjalanan kita.

Persoalannya kepada apakah pintu itu boleh ita terjemahkan jika merujuk dalam realiti kehidupan kita? Jika anda bertanya kepada saya, maka saya akan berkata bahawa pintu itu ialag taqarrub kepada ALLAH SWT, yakni mendekati ALLAH SWT.



Ya, apabila kita mendekati ALLAH SWT, nescaya ALLAH aan mencampakkan kemudahan dalam segenap urusan kita. Percaya atau tidak, apabila kita mendekati ALLAH, maka jiwa kita akan menjadi tenang. 
"Dengan mengingati ALLAH itu hati akan menjadi tenang." (Ar-Raad, 13)
Justeru, kita perlu kembali bermuhasabah, adakah kita telah berusaha untuk mendekati ALLAH SWT. Fitrah manusia perlu kepada ALLAH. Marilah kita mengajak diri kita untuk pulang kepada-NYA. Segala masalah, segala halangan dan cubaan itu ternyata satu gesaan lembut daripada ALLAH SWT untuk kita kembali mengingati-NYA.


Bagi mereka yang memang benar-benar yakin kepada ALLAH pula, apabila mereka diuji atau terhimpit dalam kesusahan, mereka pasti akan tetap tenang dan menghadapi ujian itu dengan tabah. ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Insyirah yang bermaksud, :
"Sesungguhnya selepas kesusahan itu akan wujud kesenangan, dan sesungguhnya selepas kesusahan itu wujud kesenangan."(Al-Insyirah, 5-6)
Marilah kita merenung sejenak perkara ini.Apabila kita susah, keluarga belum tentu lagi ada disisi kita. Hatta sahabat yang terbaik pun mungkin tidak sempat untuk membantu kita. Tetapi ALLAH.....
" Sesungguhnya ALLAH itu lebih rapat daripada urat nadi kamu."
DIA sentiasa bersama kita,
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat." (Al-Baqarah, 186)
Mendengar doa-doa kita,
 “Berdoalah kamu kepada-Ku, pasti aku akan mengabulkannya” (surah Ghafir: 60),
Apabila kita susah, ALLAH sahajalah satu-satunya penolong kita yang ampuh. Bersama kita bermuhasabah~ 


"ALLAH Maha Benar dan janji-NYA benar. DIA tidak akan menguji kita kecuali sesuai dengan kesanggupan diri. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat kita selain ALLAH Yang Maha Berkuasa? Maka, andai sesekali diuji, usah cepat mengalah. Mohonlah kepada-NYA. Moga rahmat dan hidayah-NYA sentiasa memayungi keberkatan perjalanan kehidupan kita." -(Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz)


~ Kembara Cahaya Ilahi ~
10 Rejab 1433 Hijrah
31 Mei 2012 

Tuesday 22 May 2012

Berhati-hati ketika bercakap

Sempat bersama Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz pada Jumaat lalu di Hulu Kelang. Kuliah yang menyentuh mengenai tohmahan seorang 'ustaz mat malaya' mengenai RASULULLAH SAW. Apa yang dikatakan sangat tidak logik, tidak berdalil, dan dianggap menghina, terutama menyentuh mengenai kehidupan peribadi RASULULLAH SAW. Penulis kongsikan hujah dan dalil yang dijawab semula oleh Murabbi mengenai tuduhan 'ustaz' tersebut.



Ini jawapan dan dalil yang dikemukakan Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz.

1) Ada 'orang' yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW sebelum dilantik menjadi Nabi, Baginda sama macam mamat-mamat dikampung, tiada keistimewaan. Ini jawabnya :

~) Sila rujuk kitab 'Kelebihan Rasulullah SAW' yang dikarang oleh As-Syeikh Izzudin Abdul Aziz, yang diterjemah oleh Ustaz Abdul Basit Abdul Rahman muka surat 8. Surah Al-Anbiyaa' ayat 107, "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam." 

Dalil dari hadis hasan dan sahih, Hadith; 
“Para Sahabat bertanya, `Ya Rasulullah, bilakah wajibnya Kenabian engkau?’ Baginda menjawab, “Sejak saat ketika Adam masih dalam keadaan antara ruh dan jasad.” - riwayat Tirmidzi 

2) Ada yang mengatakan, ketika Nabi Muhammad SAW ingin dilahirkan, ibunya Aminah langsung tidak mengetahui bahawa yang dimengandungkan itu adalah bakal Nabi. Ini jawabnya :

~) Sila rujuk kitab 'Kerasulan Nabi Muhammad SAW' intisari dari Sirah Nabawiyyah karangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, m/s 24-25, m/s 52-53. 

Dalil dari hadis Ibn Al Jauzi : Aminah telah berkata ketika beliau mengandung Rasulullah s.a.w “Saya tidak merasakan saya ini sedang hamil, juga tidak merasa berat seperti yang dirasakan oleh semua wanita yang sedang hamil, namun saya merasa syak wasangka kerana haid saya tidak datang, setelah itu datanglah seseorang kepadaku pada waktu ku dalam keadaan tidur dan terjaga lalu dia berkata:”Apakah engkau merasakan bahawa dirimu sedang hamil? Aku menjawab: Tidak tahu. Dia berkata lagi: "Sesungguhnya kamu telah mengandungkan bayi yang akan menjadi pemimpin dan nabi umat ini, waktu itu adalah hari Isnin"

Dalil dari Al-Quran iaitu dalam surah Toha ayat 38-40: iaitu kisah ibu Nabi Musa, "Tatkala Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya" dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu."Tatkala saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu: "Mahukah aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?" Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang tenteram hatinya dan supaya ia tidak berdukacita. 

Juga dalil dari Surah As-Saff, ayat 6: "Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibn Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"

3) Ada yang mengatakan Nabi dilahirkan dalam keadaan bersunat, bersujud, diangkatkan jari, dan mendakwa kisah ini adalah kisah 'scoby-doo by-doo'. Ini jawabnya :

~) Sila rujuk kitab 'Keistimewaan Rasulullah SAW' karangan Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki m/s 192-193, yang mengemukakan dalil hadis, Baginda bersabda: “Di antara kemuliaan yang diberikan ALLAH SWT kepadaku adalah, aku dilahirkan dalam keadaan sudah dikhitan, kerana itu tidak ada orang yang melihat aurat (kemaluan) ku.” (HR At-Thabrani, Abu Nuaym, al-Khatib dan ibn Asakir). 
Lupakah kamu dengan irhas para-para Nabi? Terdapat 17 nabi lain yang dilahirkan dalam keadaan berkhatan menurut Ibnu Qayyim

4) Ada yang mengatakan Rasulullah SAW ketika sama macam budak-budak kampung yang lain. Ini jawabnya:

~) Sila rujuk kitab 'Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW' karangan Haji Zainal Ariffin Bin Abbas yang mengemukakan dalil hadis daripada Saidina Ali Bin Abi Talib "Saya tidak pernah terdetik untuk melakukan perbuatan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat jahiliah melainkan dua kali. Namun Allahmelindungi saya daripada melakukannya. Kemudian saya tidak pernah lagi terniat untuk melakukannya sehingga Allah memuliakan saya dengan risalah ini."

Juga dalil dari Surah Ad-Dhuha, ayat 6-8, "Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungi(mu). Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, (3) lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan. " Nabi anak yatim, tetapi bukan seperti anak-anak yatim yang lain.

5) Ada yang mengatakan tidak boleh panggil Saiyidina. Ini jawabnya:

~) Sila rujuk kitab '41 Kelebihan Nabi Muhammad SAW' m/s 18, Allah tidak pernah memanggil Nabi Muhammad SAW dengan nama Muhammad, tetapi Allah memanggil dengan panggilan yang mulia, 'ya ayyuhan nabi, ya ayyuharrasul'. Berbeza dengan para nabi yang lain, Allah memanggil nama, dalil surah Hud, ayat 48 (Nabi Nuh), surah As-Sad ayat 26 (Nabi Daud), surah Maryam ayat 7 (Nabi Zakaria) surah Maryam ayat 12 (Nabi Yahya)

6) Ada yang mengatakan bahawa tidak perlu menyambut maulid Nabi, kerana kerja Maulid ini tidak pernah sudah. Ini jawabnya:

~) Sila rujuk kitab 'Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW' m/s 309-310. Dalil dari surah Maryam ayat 15, yang ditujukan kepada Nabi Yahya, "Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).", ayat 33 "Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan, dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)". Kedua-dua dalil ini menunjukkan mengucapkan salam sejahtera adalah baik. 

7) Jika ada yang bertanya adakah Nabi pernah menyambut maulid atau tidak, ini jawabnya:

~) Sila rujuk kitab 'Sirah An-Nabawiyyah' karangan Prof. Asy Syaikh Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki m/s 64-65 membicarakan Rasulullah SAW membesarkan hari kelahiran Baginda. Dalil dari hadis : "menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menjadi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku."



Dan ini pula adalah rujukan kitab yang dijadikan rujukan bagi menjawab pernyataan video diatas, semoga bermanfaat untuk kita jadikan rujukan bagi mengenali RASULULLAH SAW.

1) Kisah Kerasulan Nabi Muhammad SAW (Sirah Nabawiyyah) - Karangan Dr. Aidh Al-Qarni
2) Keistimewaan Rasulullah SAW- Karangan Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki
3) 41 Kelebihan Rasulullah SAW - Karangan Syeikh Izzudin Abdul Salam
4) Sirah Rasulullah SAW- Karangan Syeikh Muhammad (Terbitan Pustaka Salam)
5) Sejarah Lengkap Rasulullah SAW- Karangan Abdul Mus'ab
6) Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW- Karangan Haji Zainal Abidin
7) Sirah An-Nabawiyyah- Karangan yang diterjemah Prof. Syed Alawi Al-Makki
8) 10 Hari Kebesaran Islam- Karangan Rusydi Ramli (Percetakan Zafar)

Buat alim ulama', golongan yang berilmu, berhati-hati didalam mengeluarkan kenyataan. Kadang-kadang kita merasakan apa yang dikatakan itu tidak salah, tetapi hakikatnya telah menghina akan orang lain.
" Saya bab hina Nabi, memang saya akan marah " -Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz

~kembara cahaya ilahi~
01 Rejab 1433 Hijrah
22 Mei 2012

Friday 18 May 2012

Buat muslimah yang berpurdah..



Yang bergelar hamba itu sinonim dengan sifat lalai, pelupa, sering khilaf dan tidak sempurna. Maka hamba itu perlu selalu diberi peringatan, teguran sebagai peringatan dan mengingatkan semula apa yang telah hamba itu lupakan. 
firman ALLAH: "berilah peringatan, sesungguhnya memberi peringatan itu memberi manfaat kpd orang-orang beriman"
Apabila satu teguran itu dilemparkan, maka akan ada tiga golongan yang wujud. Pertama, kumpulan yang akan menerima teguran itu. Jika mereka berada bukan ditempat pesalah pun, mereka akan mendengar teguran itu dan mengambil manfaatnya. Kedua, kumpulan yang tidak kisah langsung. Seperti tidak mendengar apa-apa sahaja gayanya, langsung tidak dipedulikan. Dan kumpulan yang ketiga, kumpulan yang lebih ekstrim, iaitu kumpulan yang akan membaling teguran itu ke arah lain, dan menyalahkan si penegur pula.

Entri saya kali ini, khas untuk golongan muslimah yang berniqab/berpurdah, yang mana saya memandang golongan ini sangat istimewa, sangat berharga, sangat mulia, dan pelbagai sangat lagi. Sebelum saya melemparkan teguran yang ikhlas dari hati nurani saya yang faqir dan kerdil malah jahil ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat dan muslimah diluar sana, untuk bersama-sama berlapang dada, menpositifkan pemikiran kita, dan mengambil ibrah dari apa yang diperkatakan.

Saya tidak mahu membicakan soal hukum, kerana saya bukanlah ahlinya, malah tidak layak membicarakan soal hukum-hakam didalam islam.Bukan juga bukan mahu mengkritik secara keras, tetapi hanya sapaan/teguran 'sayang', yang mana kerana tidak lain hanyalah kerana saya sayang akan insan yang bernama perempuan.

Bukan niat untuk merendahkan golongan-golongan muslimah yang berpurdah/berniqab, bukan juga mahu menyalahkan golongan ini, dan bukan juga hanya mahu bersifat pandang sebelah mata, atau menutup mata pada golongan muslimah yang lain. Tetapi niat saya hanya satu, hanya kerana saya sayang akan kaum Hawa.

Muslimah berpurdah/berniqab, peliharalah akhlak dan maruah anda sebaik-baiknya. Kerana anda adalah ikon agama pada muslimah-muslimah yang lain diluar sana. Anda dijadikan qudwah, contoh kepada muslimah yang lain, kerana anda adalah golongan terpilih, dalam kalangan yang terpilih. Anda sangat istimewa, kerana diberi kelebihan dan kekuatan yang lebih oleh ALLAH SWT, berbanding muslimah yang tidak berpurdah/berniqab.

Namun berhati-hatilah, berwaspadalah dalam setiap pergerakanmu, setiap tingkah-laku mu, setiap tutur kata mu, setiap pergaulanmu, setiap bicara mu. Yang mana semuanya dinilai oleh golongan yang 'biasa-biasa' diluar sana. Saya berbicara kerana saya telah lama memerhati akan trend, budaya atau amalan yang saya rasakan perlu diberi penekanan mengenainya.

Laman sosial, terutamanya Facebook kini tidak terkecuali golongan muslimah yang berniqab/berpurdah yang melayarinya, dan mengisi masa lapang dengannya. Namun segala perkara yang kurang pemeliharaannya, akan mengundang kepada kerosakan, malah sehingga satu tahap, akan timbulnya fitnah pada diri. Golongan muslimah yang berpurdah/berniqab, kembalilah koreksi diri mu, untuk apa anda berpurdah/berniqab, sekiranya gambar-gambar anda berniqab/berpurdah itu menjadi tatapan umum, malah menjadi cover kepada timeline Facebook anda. Saya tidak kisah sekiranya rakan-rakan FB anda hanya muslimah sahaja, namun boleh mengundang fitnah sekiranya rakan-rakan FB rata-ratanya golongan muslimin.

Hakikat, fitrah manusia itu yang mana kaum Adam akan tertarik kepada kaum Hawa. Kita tidak boleh mengubah akan hakikat tersebut. Saya percaya, golongan yang berpurdah/berniqab ini akan menjadi tumpuan oleh kaum Adam, dan saya juga percaya, ukhti diluar sana juga akui akan perkara ini. Jika tidak percaya, lihatlah friend request anda sekarang, berapa ramai muslimin yang berminat untuk menambah anda sebagai rakan, berbanding muslimah.

Saya tidak mahu membicarakan soal hukum untuk meletakkan gambar anda di Facebook, atau dimana-mana sahaja, kerana saya bukan ahlinya yang layak untuk membicarakan soal hukum, perkara itu perlu dirujuk pada alim ulama', untuk mendapat penjelasan. Saya juga tidak berniat untuk melanggar atau menganggu privasi/hak masing-masing, untuk meletakkan gambar berpurdah/berniqab anda, tetapi saya ingin anda kembali muhasabah, apakah ertinya sekiranya ASALNYA kecantikan itu dilindungi, namun tetap menjadi TATAPAN UMUM. Peliharalah sebaik-baiknya, kerana kecantikan itu adalah hak suami mu sahaja.
Alangkah sedihnya, sekiranya menjadi fitnah pada diri. Pernah satu komen yang dilihat di laman sosial yang merujuk pada kumpulan muslimah yang berpurdah/berniqab. 
"Alah, yang berpurdah pon boleh letak gambar besar2. posing macam2 gaya. xkan kami xboleh." 
Kerana itu saya mengatakan, bahawa anda dijadikan contoh, teladan dan juga ikutan kepada golongan yang 'biasa-biasa'. Setiap perkara yang anda lakukan, akan dinilai oleh masyarakat. Saya berasa sedih, sekiranya tuduhan-tuduhan dan fitnah dilemparkan kepada golongan berpurdah/berniqab ini. Kerana bagi saya, anda adalah golongan yang istimewa.

Ambillah manfaat, sekiranya ianya bermanfaat. Ambillah ia sebagai ibrah, sekiranya ada ibrah disebalik teguran diatas. Tidak berniat menyalahkan ukhti-ukhti yang berpurdah/berniqab, hanya berkata benar, dari hati yang tulus ikhlas. Bukan bermakna penulis adalah yang sempurna, malah lebih faqir, jahil dan kerdil. Penulis tahu, bukan senang untuk memenuhi hati semua pihak, namun penulis hanya memegang pesanan murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz, 
" Tuan-tuan nak puaskan hati semua orang? Idok le.. Tetapi kita pegang satu. Selagi apa yang kita buat betul, jalan. "
Teguran itu, tandanya sayang, dan melambangkan kita ini diberi perhatian.

~kembara cahaya ilahi~
26 Jamadil Akhir 1433 Hijrah
18 Mei 2012


Saturday 12 May 2012

Arju dan 'Amal.


Dalam meniti kehidupan yang cukup mencabar, sesekali menuntut agar kita berhenti sejenak. Bukan berhenti daripada melakukan apa-apa, cuma cukuplah sekadar untuk muhasabah akan diri ini. Sudah terlalu jauhkah diri  kita ini daripada ALLAH?

Kita ini adalah hamba, yang tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat. Setiap masa, kita sentiasa terbuka melakukan kesalahan. Namun disebalik semua itu, masih ada ruang yang tersedia untuk kita kembali. Ya, cuba kita renungi sejenak, apakah kita ini benar-benar kembali kepada ALLAH?



"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21) 

Hari ini kita dapat melihat realiti kehidupan, yang mana semakin ramai yang kembali mencari TUHAN. Dari golongan artis, hinggalah orang biasa. Namun didalam semua itu, tidak dapat membawa kita melihat kepada 2 perkara yang cukup penting dan besar sebenarnya.

Pertama, ialah arju, manakala yang kedua ialah 'amal. Arju membawa makna mengharap kepada ALLAH, perkataan yang membawa maksud pengharapan dan sebuah perasaan untuk masuk ke dalam syurga dan senang apabila berada di alam kubur kelak.

Manakala 'amal pula ialah cita-cita. Ada yang menyebut sebagai 'thulul amal, yang membawa maksud panjang angan-angan. Ya. inilah sebenarnya perasaan yang ingin dan perlu dimiliki supaya kita boleh masuk ke dalam syurga. Itulah perasaan yang menghadirkan rasa kasih dan sayang kepada ALLAH. Perasaan yang mengharapkan ALLAH mencurahkan rahmat dan sayang-NYA kepada kita, hamba-Nya.


Namun cabarannya adalah bagaimana kita ingin menikmati perasaan arju? Jawapannya adalah kita melakukan amalan, maka barulah kita boleh berasa arju. Jika kita hendak masuk syurga tanpa amalan dan dengan hanya melakukan maksiat, itu lah namanya 'amal.


"Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami."
Ada orang yang sering melakukan maksiat, tetapi inginkan syurga. Ini adalah konsep yang salah. Maka itulah namanya 'amal. Bagi mendapat arju, mesti diselangi dengan ibadat. Menunaikan solat, taat dan takut kepada ALLAH SWT, maka nescaya datanglah pengharapan. Maka akan timbul perasaan untuk berdoa, " YA ALLAH, masukkan lah aku kedalam syurga Mu ya ALLAH.! "

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)
Malangnya, apa yang timbul dalam kalangan masyarakat hari ini hanyalah 'amal, yakni panjang angan-angan. Penulis mengajak sahabat-sahabat bayangkan, bagaimana seorang hamba itu ingin masuk syurga sekiranya masjid tidak pernah dihadiri? Bagaimana mungkin ingin masuk syurga sekiranya tidak pernah membaca Al-Quran? Bagaimana kelak kita ingin mendapat syafaat Rasulullah SAW, jika selawat kepada Baginda pun kita tidak amalkan?


Penulis juga sering 'thulul amal, hakikatnya~

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
20 Jamadil Akhir 1433 Hijrah
12 Mei 2012

Saturday 5 May 2012

Apa kata ulama' mengenai CINTA sebelum NIKAH ?





Semua pekara yang kita lakukan, perlu berlandaskan hukum syara', tidak boleh lari dari Al-Quran dan Al-Hadis, barulah kita ini dipanggil 'hamba'. Sama juga mengenai isu perasaan, hati, emosi, naluri atau  apa sahaja mengenai kehidupan kita didunia. Soal cinta, remaja terutamanya sibuk bercintan-cintun sana sini, sehingga terabai tanggungjawab hakiki. Tahukan makna cinta itu sendiri? Tahukan hukum bercinta itu sendiri? Tahukan batas-batas bercinta itu sendiri?

Islam bukan agama melarang, tetapi mengawal. Kaedah fiqh yang disebut " sadduzara'ie ", iaitu menutup pintu kerosakan, adalah jalan yang terbaik, yang Islam anjurkan. Disini kita berbicara soal cinta, yang mana suka untuk saya kongsikan dengan sahabat, pandangan ulama' muktabar, Prof. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengenai pandangan dan nasihatnya, mengenai CINTA. 



Tidak Bercampur Kecuali Atas Dasar Urusan

Mari kita teliti poin-poin penting yang boleh kita amalkan dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.

2. Wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.

3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang).

4. Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.

5. Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.

6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.

7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.

8.  Mengelakkan diri daripada khalwat.


“Bercinta secara halal itu halal. Bercinta secara haram itu haram."                (Al-Imam Hassan Al-Banna)



Pesanan Pengerusi Majlis Ulama Sedunia  Tentang ‘Bercinta’

Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Mufti global, berkata,
1.  Saya ingin tegaskan apa yang selalu saya katakan, bahawa saya tidak memuji apa yang dikatakan oleh sebahagian orang tentang pentingnya bercinta sebelum menikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat. (Beliau lebih memilih perkataan 'tidak memuji' berbanding meletakkan 'hukum' samada 'haram' atau 'makruh' dsb boleh jadi kerana beliau meraikan pendapat orang yang pelbagai terhadap maksud 'bercinta'.)

2. Ramai orang yang memulai cara bercinta ini dengan cara yang tidak benar dan adil, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan pembicaraan yang tidak jelas dan seringkali dilakukan oleh anak muda ketika mengalami waktu kosong atau bosan.

3. Pacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh sebahagian remaja puteri, dan ini biasanya sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri.

4. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudian ketagihan. Awalnya bergurau tapi akhirnya serius.

5. Banyak situasi seperti ini berdampak kepada hal-hal yang tidak terpuji. Apatah lagi apabila dilakukan di tempat-tempat gelap, didalangi perasaan dan hawa nafsu, ditambah dengan godaan syaitan.

6.  Dalam keadaan seperti ini, remaja putera dan remaja puteri boleh terjerumus dalam kesalahan dan kenistaan, sebab keduanya bukanlah malaikat yang suci, dan juga bukan para Nabi yang maksum.

7. Lebih dari itu, kadang-kadang pacaran dilakukan oleh dua pihak yang tidak serasi dalam status sosial dan pendidikannya, sehingga keduanya dipisahkan oleh dinding pemisah dan tentangan yang menghalangnya tanpa berakhir dengan pernikahan. Dalam keadaan seperti ini, hati akan hancur berkeping-keping dan jiwa tertekan.

8. Saya melihat cara terbaik untuk menikah adalah cara yang dilakukan oleh masyarakat Muslim Arab sebelum Barat memerangi kita. Iaitu memilih calon pasangan hidupnya dengan tenang setelah merisik keperibadian calon masing-masing.

9.  Perkara yang sesuai dirisik ialah: adakah sesuai antara keduanya dan kemungkinan akan berhasil menikah jika dilihat dari kemampuannya secara psikologi, kematangan akal, kemampuannya secara ekonomi, dan keadaan sosialnya, serta tidak ada penghalang yang akan menghambat pernikahannya dari salah satu pihak, atau keluarganya atau adat tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain sebagainya.

10.  Jika sudah merisik, seorang pemuda hendaklah dengan berani (gentlemen) datang mengetuk pintu rumah calonnya untuk menemui keluarganya. Si pemuda melihat calonnya dan wanita itu melihatnya tanpa mengetahui bahawa pemuda itu berminat kepadanya. Hal ini tidak lain untuk menjaga perasaannya, jika pemuda itu tidak tertarik kepadanya dan dia belum mendapat tempat di hatinya.

11.  Apabila kapak telah menancap di kepala, pada saat itu keluarga hendaklah melihatnya dengan bijaksana dan penuh hikmah dan tidak semena-mena dengan pendapat mereka dan menolak orang yang melamarnya tanpa sebab.

12. Keluarga atau walinya hendaklah mengamatinya dengan baik, sebagaimana yang dianjurkan oleh hadis Nabi, “Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling menyintai kecuali pernikahan.” (HR Ibnu Majah dan al-Hakim). Atau nikah adalah cara yang paling tepat untuk mengatasi hubungan cinta kasih ini, yang berhujung pada asmara dan kerinduan antara hati lelaki dan perempuan.

13. Yang paling diperhatikan dalam Islam dari pihak suami atau orang yang melamarnya adalah agama dan akhlak, dan keduanya merupakan faktor terpenting dalam keperibadian seseorang muslimah. (Fatawa Mua’sirah, ibid, juz. 2, hal. 348-349).

Baca dengan mata hati, bukan dengan mata kepala.

~ kembara cahaya ilahi ~
13 Jamadil Akhir 1433 Hijrah
05 May 2012