Tuesday 31 January 2012

Asset ke Syurga atau Neraka..,

 
بسم الله الرحمن الرحيم




Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)


Benar kata Al-Fadhil Ustaz Don dalam video diatas, jarang-jarang sekali kita mendengar hadis ini diceritakan dengan bersungguh-sungguh dan diberi penekanan mengenainya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita sudah diberi suntikan atau 'ketukan' daripada Ustaz Don mengenai tuntutan sebenar hadis diatas. Apa yang ingin saya kongsikan dalam post kali ini adalah peranan atau tanggungjawab kita, sebagai anak kepada ibu bapa kita.


Jika nak dihitung mengenai pengorbanan seorang ibu dan ayah pada anak-anaknya, memang tidak akan habis penghitungannya. Tetapi jika nak dihitung pengorbanan anak pada ibu dan ayah, memang sedikit sangat perhitungannya. Kadang-kadang kita sebenarnya lupa, jasa dan pengorbanan ibu dan ayah kepada kita menyebabkan apabila sudah meningkat dewasa, banyak perbuatan dan tutur kata kita yang sememangnya tidak layak diterima oleh orang yang SANGAT perlu kita hormati. Mungkin kita lupa, pengorbanan ibu dalam bersusah payah melahirkan kita.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]



Jika mahu diceritakan tentang ayat-ayat yang menuntut kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa, memang sangat banyak didalam kitab suci Al-Quran. Sama ada kita mengambil pelajaran atau tidak, itu persoalan yang perlu dijawab pada diri masing-masing. Mari kita tanya pada diri, seandainya kedua ibu bapa aku sudah meninggal dunia, apakah aku ini sebagai asset kedua ibu bapa ku untuk ke syurga, atau pun neraka (nauzubillah)..

Video yang dipaparkan diatas sudah cukup untuk kita mengambil ibrah dalam kita memuhasabah diri. " Aku belajar tinggi-tinggi, tapi boleh ke aku bawak mak bapak aku masuk ke syurga yang tinggi tahapnya..? " "Aku belajar diluar negara, tapi boleh ke aku uruskan jenazah mak ayah aku bila dorg sudah meninggal..??" Tanya diri kita masing-masing, boleh atau tidak..??! 

Sudah cukup soleh/solehah kah kita untuk mendoakan kedua orang tua kita..? Teringat kata-kata Murabbi Ustaz Mahfuz yang menceritakan title anak soleh mengikut pandangan ilmu tasawuf. Katanya, " nak jadi anak soleh, solat tahajjud setahun tak boleh tinggal...!! " Bukan senang bukan untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Tetapi, ingin menjadi anak yang soleh/solehah bukan satu perkara yang mustahil, hanya perlu kepada persoalan sama ada 'nak atau tak nak'. 

Sekarang kita lihat dan koreksi kembali diri kita, adakah sudah boleh kita menguruskan jenazah ibu bapa kita, adakah kita sudah bersedia untuk memandikan jenazaha ibu bapa kita, adakah  kita sudah bersedia untuk menjadi imam untuk solat jenazah pada kedua ibu bapa kita apabila mereka sudah meninggal dunia..? Jika kita belum bersedia, anda rasa kita sudah tergolong atau belum dalam golongan 'anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapa'..? Anda tahu jawapannya didalam lubuk hati masing-masing....


 والله اعلم

Sunday 29 January 2012

TAQWA

بسم الله الرحمن الرحيم


TAQWA..lima huruf yang menentukan sama ada kita bertuhankan ALLAH atau bertuhankan nafsu..Apa yang dikatakan taqwa..? Mari kita lihat dulu makna taqwa melalui ayat al Quran. Di dalam Kitab Minhajul Abidin, Imam Al-Ghazali menyenaraikan makna taqwa mengikut Al Quran:

  • Perasaan takut dan hebat.
    “Dan kepadaKulah kamu harus takut.”“Takutlah kamu pada hari dikembalikan kepada Allah.”
  • Bakti dan Tunduk.
    “wahai sekalian orang-orang beriman berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”
  • Membersih hati daripada dosa.
    “Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta taqwa kepada-nya  maka mereka adalah orang-orang yang beruntung.”
Jadi, kesimpulan ringkas erti taqwa melalui ayat Quran tersebut adalah taat, takut juga membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan.Mari kita lihat pula erti makna taqwa menurut Saidina Ali Karamallahuwajhah:

1) Takut pada ALLAH yang Maha Agung
2) Beramal dengan Al-Quran yang diturunkan
3) Redha dengan yang sedikit
4) Membuat persiapan menghadapi hari Akhirat/Kematian
(Sumber dari Kuliah Al-Fadhil Murabbi Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz)

Menurut para ulama' pula, taqwa itu bermaksud:

1) Melaksanakan semua perintah ALLAH SWT
2) Menjauhi segala larangan ALLAH SWT
3) Membenarkan dan mempercayai apa saja yang diberitakan dalam Al-Quran
4) Menjadi tabir pelindung antara diri sendiri dengan azab ALLAH

Boleh dibuat kesimpulan berdasarkan ketiga-tiga makna taqwa diatas, makna taqwa yang
boleh difahami umat Islam umumnya ialah MELAKUKAN SURUHAN ALLAH SWT, DAN
MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA. Faham maksud, sudah. Yang tinggal, hanya
menghayati dan mengaplikasikan maksud sebenar taqwa itu dalam diri.
Memang, agak sukar dalam menempuhi jalan taqwa ini bagi kita sebagai hamba.Perbualan antara Saidina Umar dan Ubai bin Kaab sudah cukup memberi gambaran jalan taqwa itu bukan jalan yang mudah.

Suatu hari Saidina Umar r.a pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang taqwa, “Apakah yang dimaksudkan tentang taqwa ya Ubai. Kata Ubai, “Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “Ya, saya pernah”. Kata Ubai, “Apakah yang engkau buat?”. Kata Umar, “ Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah”. Kata Ubai, “Itulah taqwa.”

Sesukar mana pun jalan taqwa ini, tapi hakikatnya kita memahami, bahawa taqwa itu SANGAT penting, sehingga menjadi pesanan wajib bagi khatib apabila mula berkhutbah.

Persoalannya, adakah kita sudah bertaqwa..??

Orang bertaqwa akan sentiasa memelihara dirinya daripada semua batas dan hukum-hukum agama. Segala yang wajib dan sunat akan dilaksanakannya. Manakala segala yang haram dan makruh akan ditinggalkannya. Bukan itu sahaja malah, mereka sangat berpada-pada dengan segala yang halal kerana takut dihisab (diperhitungkan di akhirat kelak). Ini selaras dengan kata-kata Saidina Ali: 
“Aku sangat berhati-hati dengan dunia kerana haramnya diazab, halalnya dihisab.”
Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya. Dan Allah lah sebaik-baik pemelihara. Dalam erti kata yang lain, dengan bertaqwa seseorang telah mengambil Allah sebagai Pemelihara dalam kehidupan dunia dan akhiratnya. Rasulullah saw bersabada: “Ihfazillah, Yah fazka" (Peliharalah Allah, maka Allah akan memelihara kamu)

Islam hanya pada agama tidak menjamin seseorang Islam itu sudah bertaqwa. 
Walaupun masih mengakui Islam, tetapi ramai diantara kita tidak meletakkan Islam sebagai landasan pemikiran dan tindakan. Al Quran telah menegaskan, jaminan kejayaan hanya untuk para muttaqin. Firman Allah: 
Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang bertaqwa.”(Al-Hujurat: 13) 

Kita sendiri yang mengetahui, dimana tahap ketaqwaan kita pada yang Maha Esa. Sama ada tinggi, atau rendah, atau hanya ibarat tin kosong, yang luarannya dihias dengan cantik, indah, namun hakikatnya KOSONG..(Peringatan buat diri yang lemah)

Orang bertaqwa itu ialah orang yang menjauhi (menjaga dirinya) daripada syikrik, dosa-dosa besar dan kejahatan (dosa-dosa kecil.”
(Ibn Abbas) 
 والله اعلم

Saturday 28 January 2012

Maqasid Hidup sebagai Hamba

بسم الله الرحمن الرحيم

Maqasid adalah tujuan, atau matlamat sesuatu perkara. Semua benda yang ada didunia, ada maqasid2 nya tersendiri, termasuklah kita sebagai hamba ALLAH. Bila cerita tentang matlamat atau tujuan hidup kat dunia ni, teringat ana pada zaman budak2 (zaman jahil) dulu. Bila ditanya dan sembang2 kosong dengan sahabat2 mengenai matlamat hidup masing2, berbagai-bagai jawapan yang keluar dari bibir yang pantas mengeluarkan bait-bait percakapan tanpa aqal memikirkan terlebih dahulu.
"Aku nak jadi kuat kat dunia ni..."
"Aku nak jadi kaya, nak belajar tinggi-tinggi, nak berjaya..."

Antara jawapan yang keluar dari buah fikiran hamba yang jahil. Dengan mudah membelakangkan ayat ALLAH dalam Al-Quran. Seperti yang dinyatakan tadi, semua perkara ada tujuan dan matlamatnya tersendiri. Jadi apa tujuan atau matlamat hidup kita di dunia..? Betul kata orang, pengalaman mematangkan kita. Tahun demi tahun, alhamdulillah, pencarian erti sebenar hidup mencapai sasarannya.

Sampai satu ketika di universiti, satu halaqah ilmu yang di sentuh seorang ustaz mengenai matlamat hidup seorang mukmin. Ditanya ustaz mengenai matlamat dan tujuan hidup setiap orang yang hadir, berbagai jawapan yang diterima ustaz. Antara jawapan yang mendapat tumpuan adalah dari seorang sahabat yang memberi jawapan matlamat/tujuan hidupnya..


" ermm., kalau kat dunia, saya nak berjaya dalam pelajaran dan berjaya capai cita-cita..untuk akhirat pulak, saya nak cari keredhaan ALLAH dan masuk syurga, ustaz.. "

Jawapannya sangat cantik apabila kita sebagai hamba yang jahil  mendengarnya, termasuk ana. Tapi bagi golongan yang berilmu, ada cacat celanya pada jawapan yang diberikan sahabat ana itu. Apa yang dijawab ustaz ialah,

 "kamu telah membahagikan hidup kamu kepada dua, iaitu untuk dunia dan akhirat. Fahaman sekular telah masuk ke dalam fikrah kamu menyebabkan kamu memisahkan agama dalam matlamat hidup kamu.."

Menusuk ke telinga ana apabila mendengar penjelasan dari ustaz. Selama ini ana juga berfikiran sebegitu, nauzubillah..selama ini ana berfahaman sekular. Memang tidak syak lagi kenapa ana susah untuk mendapat keberkatan dalam semua perkara yang ana buat. Matlamat dan tujuan hidup ana sudah lari dari landasannya. Astagfirullah..Lantas ustaz menjernihkan suasana hadirin yang hadir dan membetulkan maqasid hidup hadirin yang hadir dengan mengemukakan dalil yang kuat dari surah Al-Baqarah dan surah Ad-Dzariyat..


 وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah. Berkata mereka : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalam nya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau ? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.(Al-Baqarah, 30)

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan seluruh jin dan seluruh manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu“. (QS : Adz Dzariyat [51] :56).

Itulah jawapannya. Tidak lain tidak bukan diamanahkan untuk menjadi khalifah dimuka bumi dan tunduk beribadat kepadanya. Itulah maqasid sebenar kita sebagai hamba. Mana mungkin kita hidup dimuka bumi dengan membelakangkan Pencipta kita. Sejauh mana kita mengembara didunia, setinggi mana pangkat yang kita pegang, setinggi mana ilmu yang kita ada, kita tidak akan pernah lari dari dua tujuan asas kita hidup dimuka bumi ini, sebagai khalifah dan beribadat kepadaNya. Rancanglah sebaik-baik cita-cita yang kita inginkan dan ingin kita capai didunia, tetapi jangan lupa tujuan dan matlamat asas kita sebagai hamba mengapa kita diciptakan...

 والله اعلم







 

Langkah pertama...


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah..
Niat yang terbuku dalam hati selama ini dapat diluahkan juga..Terhasil jugak satu blog yang sangat2 banyak kekurangannya.Oleh kerana kali pertama berjinak-jinak dengan dunia blog ni, banyaklah kekurangannya yang perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa. InsyaALLAH akan ditingkatkan usaha.

Merujuk pada perkataan pertama yang di 'bold' kan selepas perkataan memuji ALLAH, semua yang dilakukan dalam dunia ni, disertakan dengan niat. cuma yang membezakan ialah niat tersebut adalah lillahi taala atau sebaliknya. sangat2 beruntung orang yang  melakukan pekerjaannya semua kerana ALLAH Taala..pasti banyak ganjaran yang dia perolehi..Teringat pada hadis yang sangat masyhur dan menjadi hafalan dan sebutan para2 daie, :

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Timbul dalam fikiran, tertanya-tanya pada diri, apakah yang dapat aku sumbangkan pada agama aku. Mungkin  blog yang diwujudkan dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat dengan SEDIKIT ilmu yang ada, disamping melatih diri menjadi daie walaupun dalam alam maya. Hanya mengharapkan keredhaan dan cahaya hidayah dari Nya untuk menebus kembali salah silap yang dulu. Semoga ALLAH memelihara dan menetapkan niat yang terbuku dalam hati. insyaALLAH.~


Tujuan aku hanya mahu memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. KepadaNya jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.(Hud: 88)
 والله اعلم