Sunday 29 January 2012

TAQWA

بسم الله الرحمن الرحيم


TAQWA..lima huruf yang menentukan sama ada kita bertuhankan ALLAH atau bertuhankan nafsu..Apa yang dikatakan taqwa..? Mari kita lihat dulu makna taqwa melalui ayat al Quran. Di dalam Kitab Minhajul Abidin, Imam Al-Ghazali menyenaraikan makna taqwa mengikut Al Quran:

  • Perasaan takut dan hebat.
    “Dan kepadaKulah kamu harus takut.”“Takutlah kamu pada hari dikembalikan kepada Allah.”
  • Bakti dan Tunduk.
    “wahai sekalian orang-orang beriman berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”
  • Membersih hati daripada dosa.
    “Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta taqwa kepada-nya  maka mereka adalah orang-orang yang beruntung.”
Jadi, kesimpulan ringkas erti taqwa melalui ayat Quran tersebut adalah taat, takut juga membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan.Mari kita lihat pula erti makna taqwa menurut Saidina Ali Karamallahuwajhah:

1) Takut pada ALLAH yang Maha Agung
2) Beramal dengan Al-Quran yang diturunkan
3) Redha dengan yang sedikit
4) Membuat persiapan menghadapi hari Akhirat/Kematian
(Sumber dari Kuliah Al-Fadhil Murabbi Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz)

Menurut para ulama' pula, taqwa itu bermaksud:

1) Melaksanakan semua perintah ALLAH SWT
2) Menjauhi segala larangan ALLAH SWT
3) Membenarkan dan mempercayai apa saja yang diberitakan dalam Al-Quran
4) Menjadi tabir pelindung antara diri sendiri dengan azab ALLAH

Boleh dibuat kesimpulan berdasarkan ketiga-tiga makna taqwa diatas, makna taqwa yang
boleh difahami umat Islam umumnya ialah MELAKUKAN SURUHAN ALLAH SWT, DAN
MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA. Faham maksud, sudah. Yang tinggal, hanya
menghayati dan mengaplikasikan maksud sebenar taqwa itu dalam diri.
Memang, agak sukar dalam menempuhi jalan taqwa ini bagi kita sebagai hamba.Perbualan antara Saidina Umar dan Ubai bin Kaab sudah cukup memberi gambaran jalan taqwa itu bukan jalan yang mudah.

Suatu hari Saidina Umar r.a pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang taqwa, “Apakah yang dimaksudkan tentang taqwa ya Ubai. Kata Ubai, “Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “Ya, saya pernah”. Kata Ubai, “Apakah yang engkau buat?”. Kata Umar, “ Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah”. Kata Ubai, “Itulah taqwa.”

Sesukar mana pun jalan taqwa ini, tapi hakikatnya kita memahami, bahawa taqwa itu SANGAT penting, sehingga menjadi pesanan wajib bagi khatib apabila mula berkhutbah.

Persoalannya, adakah kita sudah bertaqwa..??

Orang bertaqwa akan sentiasa memelihara dirinya daripada semua batas dan hukum-hukum agama. Segala yang wajib dan sunat akan dilaksanakannya. Manakala segala yang haram dan makruh akan ditinggalkannya. Bukan itu sahaja malah, mereka sangat berpada-pada dengan segala yang halal kerana takut dihisab (diperhitungkan di akhirat kelak). Ini selaras dengan kata-kata Saidina Ali: 
“Aku sangat berhati-hati dengan dunia kerana haramnya diazab, halalnya dihisab.”
Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya. Dan Allah lah sebaik-baik pemelihara. Dalam erti kata yang lain, dengan bertaqwa seseorang telah mengambil Allah sebagai Pemelihara dalam kehidupan dunia dan akhiratnya. Rasulullah saw bersabada: “Ihfazillah, Yah fazka" (Peliharalah Allah, maka Allah akan memelihara kamu)

Islam hanya pada agama tidak menjamin seseorang Islam itu sudah bertaqwa. 
Walaupun masih mengakui Islam, tetapi ramai diantara kita tidak meletakkan Islam sebagai landasan pemikiran dan tindakan. Al Quran telah menegaskan, jaminan kejayaan hanya untuk para muttaqin. Firman Allah: 
Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang bertaqwa.”(Al-Hujurat: 13) 

Kita sendiri yang mengetahui, dimana tahap ketaqwaan kita pada yang Maha Esa. Sama ada tinggi, atau rendah, atau hanya ibarat tin kosong, yang luarannya dihias dengan cantik, indah, namun hakikatnya KOSONG..(Peringatan buat diri yang lemah)

Orang bertaqwa itu ialah orang yang menjauhi (menjaga dirinya) daripada syikrik, dosa-dosa besar dan kejahatan (dosa-dosa kecil.”
(Ibn Abbas) 
 والله اعلم

No comments:

Post a Comment