Tuesday 13 November 2012

ALLAH SWT sentiasa mengingatkan kita


Jika kita sentiasa perhatikan akan perjalanan hidup kita, maka kita akan sedar dan perasan, bahawa kita ini sentiasa diperingatkan oleh ALLAH Taala untuk kembali kepada DIA. Sentiasa diperingatkan. Tetapi kita sebagai hamba yang jauh dari NYA, tidak menyedari akan peringatan yang DIA berikan kepada kita.

Kita hanya mengambil sambil lewa, buat endah tak endah. Kerana apa? Kerana hati kita sudah terhijab untuk menerima peringatan dari ALLAH SWT, menyebabkan kita langsung tidak sedar akan peringatan yang diberikan. Peringatan ALLAH SWT didatangi dengan pelbagai bentuk.

Kadang kala ALLAH kurniakan ujian, untuk mengingatkan kita.
Kadang kala ALLAH takdirkan bencana kepada kita, untuk mengingatkan kita.
Kadang kala ALLAH datangkan kesempitan wang, bala penyakit, untuk mengingatkan kita.

Kerana itu saya mengatakan jika kita memerhatikan segala perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita, pasti kita sedar, apakah yang ALLAH SWT sedang 'berbicara' dengan kita. Soalnya hanya kita sedar atau tidak, itu sahaja.

Saya lebih suka untuk menfokuskan mengenai KEMATIAN, kerana saya menyedari, bahawa kematian adalah satu perkara yang ALLAH ingatkan kepada hamba-NYA setiap hari dan setiap masa, dengan cara mengambil nyawa salah seorang dari hamba-NYA yang terpilih, tidak kira masa, saat, minit atau jam.

Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfa`atan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan (nya).[Yunus:49]

ALLAH SWT sentiasa mengingatkan hamba-NYA, untuk bersiap sedia menghadapi kematian, yang tidak kira masa akan menjemput siapa sahaja yang telah ditakdirkan, namun sifat hamba yang sentiasa dikalahkan dengan hawa nafsu, sentiasa mengalihkan perhatian kepada perkara keseronokkan, perkara yang melalaikan, tanpa mahu mengambil perhatian sedalam-dalamnya mengenai peringatan ALLAH ini.

Berlarilah kita. Sejauh dan sekuat mana yang kita boleh berlari daripada kematian. Namun ALLAH itu lebih Maha Mengetahui. Sejauh mana kita cuba mengelak, dan berlari, kematian tetap akan datang menjemput kita. Tidak kira sama ada kita sudah bersedia menerimanya ataupun tidak.
Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan".[Al-Jumuah:8]

Hari ini ALLAH telah memilih sahabat kita, saudara kita, adik beradik kita, mak dan ayah kita, sehingga lah satu masa, akan tiba jua masa kita. Dalam kata lain, kita ini sebenarnya hanyalah 'penunggu masa'. Penunggu masa untuk dijemput oleh Yang Maha Kekal. 
"Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."[Al-Munafiqun:11]

Benar, kematian itu memberi peringatan. Peringatan kepada yang masih hidup. Peringatan yang sangat-sangat berguna, untuk yang masih hidup untuk menghidupkan semula hati, menghidupkan semula iman, berusaha menambah amal kebaikan, berusaha menyibukkan diri menambah saham-saham untuk ke akhirat sana. Kematian itu memberi peringatan kepada kita, untuk berhenti seketika dari kesibukkan dunia, kelalaian   kita sekian lama tehadap NYA, agar bersedia sebelum tiba masa kita, agar kita kembali memalingkan wajah ke arah hakikat kehidupan yang abadi di akhirat sana.

Kita hanya sibuk memantapkan ilmu duniawi, tanpa memikirkan amal ukhrawi.
Kita hanya sibuk terhadap akademik, tanpa memikirkan amal yang tidak dipraktik.
Kita hanya leka dengan kelalaian dunia, tanpa bersiap sedia untuk akhirat sana.
Kita hanya sibuk dengan cinta yang belum pasti, tanpa memberi cinta pada Yang Maha Mencintai.

Dan apabila sampainya saat ALLAH memanggil, barulah jiwa hamba yang lalai mahu terhantuk dan tersedar untuk kembali taat pada si DIA. Maka kerana itu ALLAH sentiasa datangkan petanda kepada hamba-hambaNYA, sebagai peringatan, pengajaran buat kita.
(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, ‘Ya Rabbku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang shalih terhadap yang telah aku tinggalkan.’ Sesungguhnya itu adalah dalih yang diungkapkan saja. Dan di hadapan mereka ada ‘barzakh’ sampai pada hari mereka dibangkitkan (Al-Mu’minun:99-100).

Sungguh, kematian itu sangat mengingatkan kita. Bukan auta, tetapi fakta. Agar kita terus merebut ganjaran pahala ketika didunia, buat bekal disana. Selagi nafas tidak terhenti , ayuh kita mantapkan amal kita, tambahkan bekal kita, laburkan untuk saham akhirat kita. Semoga kita semua mendapat keredhaan dari ALLAH SWT.
"Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu tetapi mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah." (Riwayat At-Tirmidzi)

# Aku yang sentiasa lupa, yang sudah tiada masa #
~ Kembara Cahaya Ilahi ~

28 Zulhijjah 1433 Hijrah
13 November 2012 

No comments:

Post a Comment