Thursday 29 November 2012

Semoga ALLAH sentiasa merahmati Murabbi.



Hari ini, 28 Nov 2012, bersamaan 15 Muharram 1434 Hijrah, merupakan ulangtahun kelahiran guru yang saya kasihi dan sayangi, Sohibul Fadhilah Murabbi Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz yang ke 40. Alhamdulillah, ALLAH terus memberi kekuatan pada Murabbi untuk terus giat berdakwah, menyampaikan ilmu di serata Malaysia tanpa kenal erti penat lelah dan tunduk mengalah.

Teringat saya, saya mula mengenali beliau ketika saya berumur 16 tahun, ketika saya berada di Tingkatan 4. Saya mula tertawan hati dengan uslub dakwah yang dibawa Murabbi ketika menyampaikan Slot Klinik Solat di surau tempat kediaman saya. Ketika itu saya diajak oleh ibu bapa saya untuk ke klinik solat tersebut yang berlangsung selama 3 hari. Pada mulanya saya menolak ajakan kedua ibu bapa saya, tetapi takdir ALLAH, saya menerima ajakan kedua ibu bapa saya dan ALLAH telah mempertemukan saya dengan seorang ustaz yang saya kira ada sesuatu yang istimewa dengan ustaz ini ketika itu.

Selepas itu saya terus tertarik dan sentiasa punya perasaan 'nak pergi lagi dan lagi' untuk mengutip ilmu dari Ustaz Mohammad Kazim Elias. Bermula detik itu, saya mengenali Ustaz dengan lebih rapat, selalu ziarah ke pondoknya di Manjoi, dan selalu mengikuti beliau ke kuliah-kuliah nya. Hingga ke hari ini, alhamdulillah, sudah 4 tahun saya menuntut ilmu dengan beliau, banyak ilmu dan pengalaman yang saya perolehi darinya.

Betul kata orang-orang dahulu, jauh perjalanan luas pengalaman.
Pelbagai pengalaman menarik dan tidak juga yang pahit yang saya perolehi selama menuntut ilmu dengan Murabbi.

Pernah satu ketika, Murabbi sangat diterima dan disukai para jemaah di mana-mana sahaja.
Pernah satu ketika, Murabbi dibuang, ditendang kesana kemari oleh para jemaah yang taksub pada politik.
Pernah satu ketika, Murabbi disantau, disihir orang sehingga mengambil masa yang agak lama untuk berubat.
Pernah satu ketika, Murabbi dihina, dicaci ketika menyampaikan ceramah, hanya kerana orang-orang yang jumud pemikirannya.
Pernah satu ketika, Murabbi dilakukan seperti bola, hari ini dipanggil ceramah, namun minggu hadapannya dibuang oleh ajk masjid.
Pernah satu ketika, Murabbi diserang bertalu-talu dengan mesej dan panggilan yang saya sendiri sebak jika mengingatnya.

Tetapi,
Murabbi terus dengan kerja dakwahnya.
Murabbi terus kuat dan tabah menghadapinya.
Murabbi teruskan kerja seperti biasa.
Murabbi tidak termakan dengan caci maki.
Murabbi tidak mengeluh dan bersedih dengan ujian ALLAH.
Murabbi terus tersenyum dengan ujian besar yang dihadapi.
Murabbi terus mengajar dengan jiwa dan hati yang lapang.


Kerana itu, saya sangat mengagumi Murabbi, yang sangat tabah dan sabar jiwanya, sesuai dengan namanya yang dipetik dari ayat 134 surah Al-Imran, 

"Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 134)."
Terima kasih yang tak terhingga kepada Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz atas :

segala ilmu yang dicurahkan
segala kata nasihat dan kata hikmah buat motivasi diri
segala masa melayan karenah anak murid yang jahil dengan pelbagai soalan diaju
segala perhatian yang diberi
segala doa yang dipohon

Hanya ALLAH SWT sajalah yang layak membalas segala kudrat, usaha, dan segalanya kepada Ustaz.
Semoga ALLAH terus mengurniakan kekuatan kepada Ustaz untuk terus berdakwah.
Semoga ALLAH melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada Ustaz dan keluarga.
Terima kasih atas segala-galanya.

Ikhlas dari anak murid yang jahil dan menyusahkan.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
15 Muharram 1434 Hijrah
29 Nov 2012

No comments:

Post a Comment