Saturday 17 November 2012

Hijrah : Detik Perubahan


Alhamdulillah. Setinggi-tinggi syukur dan puji ke hadrat ilahi kerana masih memberi kesempatan kepada kita hingga ke hari ini untuk terus bernafas dalam jiwa hamba, merasai kenikmatan iman dan islam, diberi kekuatan untuk terus beribadah kepada-NYA sehingga masuk ke tahun 1434 Hijrah. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW dan juga para sahabat, atas usaha dan perit sakit Baginda dan sahabat dalam menyebarkan Islam, sehingga hari ini kita terus dapat merasai dan menikmat keindahan Islam itu sendiri. 

Tidak semua orang ALLAH SWT kurniakan nikmat yang tak ternilai nilainya, hanya orang-orang yang tertentu sahaja yang dapat merasai nikmat yang ALLAH SWT kurniakan, kerana itu kita wajib untuk bersyukur dan terus bersyukur dengan pemberian-NYA.

Tahun Baru Hijrah, Tahun untuk terus dekat pada-NYA.

Kita terus diberi nikmat dan peluang, untuk terus beribadah kepada ALLAH. Tahun demi tahun terus berlalu, tahun baru hijrah silih berganti, dan umur kita juga terus meningkat dan berkurang. Dalam erti lain, kita masih diberi peluang untuk bertaubat, dan meningkatkan amal.

' Aku hidup pagi ini kerana banyaknya dosa aku semalam, lalu Allah bagi kesempatan dan peluang untuk aku bertaubat. '(Al-Imam Al-Ghazali)
Alangkah ruginya, jika kita masih terus berada ditakuk lama, tidak punya rasa mahu berubah, tidak punya rasa mahu meningkatkan apa yang kurang, tidak punya rasa mahu perbaiki amal, iman. Rugi, Sangat rugi!

Memaknakan erti Hijrah dalam kehidupan.


Ramai orang yang hanya sekadar memaknakan Hijrah itu dari segi amalan. Iaitu dari segi doanya, majlis baca yaasinnya. Saya tidak mengatakan bahawa itu salah dan tidak kena pada caranya, tetapi berapa ramai yang memaknakan pengertian Hijrah itu dalam kehidupan seharian mereka?

Cukup sudah kita membazirkan tahun-tahun yang dulunya. Mari kita perbaiki semula niat kita, amalan kita dengan cara memaknakan erti Hijrah itu dalam kehidupan kita. Jangan hanya mengerti dan melafazkan Hijrah dibibir, tanpa ada praktikal dan usaha untuk mempraktikkannya.

Moga saya dan sahabat semua diberi kefahaman dan kekuatan, untuk membawa erti Hijrah itu dalam kehidupan seharian.

Maal Hijrah, juga detik permulaan.

Maal Hijrah bukan sahaja detik pertambahan, detik peningkatan, malah ianya juga adalah detik permulaan. Detik permulaan bagi golongan-golongan yang seperti saya, yang sudah menghabiskan Hijrah yang lalu dengan penuh perkara sia-sia, perkara yang melalaikan.

Mari kita jadikan Maal Hijrah 1434 ini sebagai satu detik permulaan untuk kita berubah, untuk kita sedar dan kecapi makna erti sebenar kita dijadikan didunia ini. Mari kita semua membuka 'buku baru', menutup segala 'buku buruk' yang lalu. Cukuplah kita ini hanya digelar 'hamba yang menghabiskan oksigen' dimuka bumi, tanpa membawa erti apa-apa, tanpa menyumbang apa-apa untuk dunia yang kekal lagi abadi nanti.

"Aku tidak pernah rasa sedih ketika matahari terbenam kecuali kerana aku risau umurku ini makin meningkat tapi amalku masih belum bertambah.."-[Imam Al-Ghazali]
Berhijrahlah, dari yang buruk, kearah yang lebih baik.
Berhijrahlah, dari yang malas, kearah yang rajin.
Berhijrahlah, dari yang suka membuang masa, kepada yang suka penuhi masa dengan beribadah.
Berhijrahlah, dari yang toleh/tolehah, kepada yang soleh/solehah.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11
Mari, kita menjadi Hamba yang diredhai, bukan yang tak kenang budi!

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
03 Muharram 1434 Hijrah
17 November 2012

No comments:

Post a Comment