Friday 23 November 2012

Merebut pahala dan amalan Hari 'Asyura



Hari Asyura
 merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram.
Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Beberapa amalan yang disyariatkan pada 10 Muharram termasuklah iaitu Puasa Hari 'Asyura.
Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).
Sepertimana hadis Rasulullah SAW mengenai fadhilat puasa 'Asyura iaitu dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu. Maka mari kita merebut peluang yang ada untuk membersihkan jiwa dan hati dari dosa kita yang banyak pada ALLAH SWT.
Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)

Imam Ibnu Qayyim berpandangan terdapat tiga kaedah melaksanakan puasa hari ‘Ashura iaitu:-

1. Berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram, atau
2. Berpuasa 9 dan 10 Muharram, atau
3. Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Pada zaman Rasulullah s.a.w, ketika mana baginda berada di Madinah, baginda mendapati kaum yahudi berpuasa pada hari tersebut. Lalu Ibn Abbas r.a dan beberapa sahabat berkata kepada baginda:
“Ini adalah hari raya bagi mereka, iaitu ketika Allah menyelamatkan nabi Musa a.s dan kaumnya lalu menenggelamkan Firaun. Justeru mereka berpuasa sebagai tanda bersyukur mereka berpuasa. “Kemudian baginda s.a.w bersabda: ‘Aku lebih utama kepada (Musa) berbanding mereka’. Maka baginda pun berpuasa begitu juga para sahabatnya”(HR Bukhari)
Namun demikian, terdapat sebahagian sahabat nabi yang kurang selesa bukan disebabkan disuruh berpuasa namun ia juga merupakan tarikh keramaian bagi kaum Yahudi dan Nasrani seperti yang disebutkan sebelum ini. Maka baginda s.a.w bersabda daripada Ibn Abbas r.a:
“Pada tahun hadapan jika aku masih hidup kita akan berpuasa pada hari yang sebelumnya yakni  9 Muharram.”(HR Muslim)
Beberapa sejarah 10 Muharram yang dinukilkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:

+ Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
+ Diterima taubat Nabi Adam a.s.
+ Dicipta Adam a.s.
+ Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
+ Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
+ Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
+ Selamat Nabi Ibrahim daripada api Namrud.
+ Selamat Musa dan pengikutnya.
+ Lemas Firaun.
+ Dilahirkan Nabi Isa a.s.
+ Diangkat Nabi Isa kelangit.
+ Diangkat Nabi Idris ke langit.
+ Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
+ Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
+ Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
+ Nabi Yaakub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
+ Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
+ Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
+ Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.

Selamat Berpuasa Hari 'Asyura

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
10 Muharram 1434 Hijrah
23 November 2012

No comments:

Post a Comment