Tuesday 5 June 2012

Cinta dan Pelajaran? Mana satu?




Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengarang sebuah kitab yang sangat masyhur iaitu Fiqh Al-Awlawiyat atau Fiqh Keutamaan yang membicarakan perihal hal-hal yang utama yang perlu didahulukan dan yang mana tidak perlu didahulukan. Fiqh Al-Awlawiyat mengajak kita tentang kaedah meletakkan sesuatu perkara kena dengan kedudukan dan kewajarannya. Bermakna, ia memberi ruang untuk kita mengutamakan sesuatu perkara yang lebih besar daripada perkara yang kecil, sesuatu yang lebih penting kepada yang kurang penting dan mengerjakan sesuatu perara yang jelas berbanding perkara yang kurang jelas.


Penulis ingin kongsikan pada entri kali ini mengenai perkara mana yang lebih perlu kita utamakan, iaitu antara CINTA atau PELAJARAN. Penulis yakin, bahawa ramai anak-anak muda yang selalu dibelenggu dengan masalah seperti ini, tidak terkecuali penulis sendiri. Namun semua perkara didalam dunia ini, ada jawapannya. Apabila ditanya kepada Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz mengenai tentang hal ini, murabbi ada jawapannya tersendiri. Saya kongsikan bersama apa yang disarankan murabbi saya, Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz mengenai cinta dan pelajaran.


"Berbalik kepada persoalan yang dihadapi oleh golongan pelajar seperti ini, saya mengesyorkan agar memilih dan mengutamakan pelajaran berbanding berjuang dialam percintaan. Bukankah pelajaran lebih menjamin masa hadapan berbanding percintaan yang belum tentu berakhir dijinjang pelamin.? Namun, saya tidak melarang jika ada pelajar yang ingin bercinta semasa belajar. Apa yang ingin saya tekankan, apakah mereka mampu mengawal perasaan cinta itu. Begitu juga, apakah mereka mampu mengimbangkan diantara pelajaran dalam masa yang sama memelihara hubungan cinta? 
Itulah tuntutan dan persoalan yang perlu dijawab dengan jujur. Sekeping hati tidak boleh berada didalamnya satu, dua, tiga empat perkara sekaligus. Ketika ada perasaan orang lain yang lebih berhak dijaga, hati tidak mampu diisi dengan perasaan lain. Begiulah sifat hati kita. Oleh sebab itu, saya katakan bahawa bukannya saya tidak bersetuju jika ada yang ingin bercinta sambil belajar. Cuma saya inginkan kepastian, adakah mereka mampu mengawal pelajaran agar tidak terjejas? Mereka harus jelas bahawa buruk risikonya jika perasaan cinta tidak mampu dikawal hingga menjejaskan pelajaran. 
Benar. Saya bimbang jika ada yang terjejas pelajaran hanya disebabkan cinta. Saya bimbang kalau ada yang musnah masa hadapan hanya kerana cinta merosakkan pemikiran. Sedangkan jika dibandingkan keutamaan diantara cinta dan pelajaran, semua orang mampu menjawabnya. Ya. Sekiranya belum jelas dan kabur mengenai halatuju, nilailah dengan neraca yang jujur dan bertanggungjawab. Jujurlah dengan diri sendiri, ke manakah halatuju yang sedang dilalui untuk masa hadapan kelak. Begitu juga, apaah mereka yakin dengan kedudukan ketika ini, mereka mampu menjamin masa hadapan yang baik?
Andai mereka merasakan bahawa masih belum mampu melihat masa hadapan yang cerah, nasihat saya, bersabarlah. Tidak rugi andai masa selama tiga atau empat tahun yang perlu digunakan menimba ilmu, dilazati dan dinikmati sebenar-benarnya. Manfaatlah sebaiknya untuk memastikan kejayaan dapat diraih. Impikanlah masa hadapan yang baik selepas tamat belajar kelak.Ya. bersabarlah untuk tempoh selama yang sepatutnya dilakukan kita diminta untuk belajar. Janganlah menghampakan hati ibu bapa yang menaruh harapan tnggi untuk melihat kita berjaya didalam pelajaran. Utamakanlah harapan dan permintaan mereka. 
Selepas tamat pengajian, cari dan dapatkanlah pekerjaan yang bagus. Kemudian, jika ingin bercinta dan berkahwin, silakanlah. Apa yang lebih penting ketika ini adalah mengutamakan perasaan orang yang sepatutnya diutamakan. Kebimbangan saya ada asasnya. Saya bimbang jika dicampuradukkan diantara keutamaan belajar dengan bercinta, ia akan mewujudkan sikap main-main didalam diri. Sikap begini akhirnya hanya akan merugikan diri sendiri dan masa hadapan yang sepautnya dicipta penuh gemilang. 
Inilah seruan saya kepada golongan pelajar. Utamakanlah pelajaran. Dahulukanlah untuk mencapai apa yang anda impikan dalam pelajaran dan pekerjaan. Biarlah cinta datang kemudian. Namun jika ada dalam kalangan  anda yang tetap ingin menyulam cinta sambil belajar, saya tidak menyalahkan. Cuma pesan saya, jagalah tatasusila dan hukum hakam agama. Janganlah menjadikan hubungan cinta sebagai tiket untuk melakukan maksiat. Ingat ya.!"

Itulah, pesanan dan nasihat dari murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-HAfiz, yang sehingga hari ini, tersemat didalam fikiran penulis. Semoga ALLAH sentiasa merahmati dan memanjangkan umur murabbi.

# Utamakan Yang Lebih Utama # 



~ Kembara Cahaya Ilahi ~
16 Rejab 1433 Hijrah
05 Jun 2012

No comments:

Post a Comment