Saturday 17 March 2012

Masa hadapan yang lebih jauh..



Kerjaya, keluarga atau harta.
Ingin kerja apa? Ingin berkahwin dengan siapa? Ingin rumah atau kereta yang bagaimana?
Mungkin itu antara persoalan yang timbul, apabila kita membangkitkan soal masa hadapan. Cuma yang membezakan dalam kalangan kita adalah, siapa yang memandang masa hadapan yang lebih jauh, iaitu akhirat.

Manusia yang memandang masa hadapan, ialah manusia yang terbaik. Apabila dia memandang masa hadapan, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya dengan sebaiknya. Jika berhajat menjadi juruterbang, maka dia akan merancang sebaiknya supaya cita-citanya ke 'langit' itu tercapai. Jika dia berhajat untuk mempunyai kereta idamannya, maka dia akan merancang sebaiknya supaya dia berjaya mendapat kereta idamannya. Hendak masuk ke universiti yang disukai, maka dia akan bersungguh-sungguh memenuhi kelayakan yang dituntut oleh universiti tersebut.



Segala yang diinginkan pada masa hadapan, maka akan adanya perancangan dan usaha yang sebaiknya untuk memenuhi hajat masa hadapan itu. Maka disini letaknya kepentingan membuka mata untuk memandang bahawa akhirat adalah masa hadapan kita yang hakiki. Mengapa? Apabila kita memandang akhirat sebgai masa hadapan yang hakiki, maka kita akan merancang dengan teliti.

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-Ankabut, 64)
Kita sudah maklum, akhirat ini mempunyai dua cabang pengakhiran. Satu syurga, satu neraka. Neraka anda celaka, syurga anda bahagia . Saya yakin, semua orang tidak mahu celaka. Semua orang hendak bahagia. Semua orang suka bahagia selama-lamanya. Bagi manusia yang beriman, dan memandang bahawa akhirat  sebagai masa hadapannya, maka dia akan takut dirinya terjerumus ke lembah celaka, maka dia akan berhajat untuk ke syurga.


Persoalan utama, berapa ramai yang memandang akhirat sebagai masa hadapan kehidupannya? Hakikat hari ini, kita telah dipisahkan. Agama hanya dikatakan di masjid-masjid sahaja, pada musim tertentu. Apabila bicara soal akhirat, maka akan ada 'suara sumbang' yang mengatakan kita ini mundur, kolot. Islam tidak bersifat demikian.

Lupakah kita dengan rukun iman yang kita pegang selama ini. Beriman kepada ALLAH adalah permulaan keimanan kita dalam islam. Manakala akhirat adalah destinasi terakhir kita dalam perjalanan keimanan ini. Apabila kita bermula dengan beriman kepada ALLAH, maka kita wajib mengharapkan akhirat. Apabila kita memandang akhirat dan apa yang disediakan ALLAH kepada kita disana, di situlah kita merancang apa yang hendak kita lakukan dengan keimanan kita pada ALLAH tadi, hinggalah kita mencapa akhirat.



Hari ini, tidak demikian. Akhirat kita lontarkan di satu sudut yang jauh. Kita tidak bersedia untuknya. Orang yang tidak berdisiplin bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang pengotor bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang tidak adil bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang suka bergaduhan, suka menyakitkan hati orang lain bukanlah ciri pengejar akhirat. Orang yang berakhlak buruk, suka mencarut, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat.


Pengejar akhirat, akan memisahkan dirinya daripada kejahatan, keburukan dan hidupnya akan bahagia dengan ketenangan. Tidakkah manusia melihat? Akhirat perlu kita letakkan sebagai matlamat masa hadapan kita, cita-cita utama kita, agar kehidupan kita terbentuk dengan baik.Apabila akhirat menjadi cita-cita utama kita, ia akan mencakupi segalanya. Apa yang manusia rugikan diatas dunia ini jika dia pengejar akhirat? Tiada. Modal akhirat untuk akhirat adalah dunia.Pengejar akhirat, kehidupannya di dunia adalah kehidupan yang baik.

~Kembara Cahaya Ilahi~
24 Rabiul Akhir  1433 Hijrah
17 Mac 2012

No comments:

Post a Comment