Friday 14 September 2012

Jujur dan Ikhlas kita pada-NYA




Memahami akan tuntutan sebenar Ikhlas

Apabila kita berbicara mengenai ikhlas. Maka ia tidak lari mengenai soal hati. Malah ianya sangat berkait rapat dengan hati. Kerana ikhlas ini akan lahirnya dari hati. Ikhlas adalah salah satu amalan hati. Ianya berada di baris hadapan permulaan dari amal-amal hati. Asbab diterimanya sesuatu amalan tersebut adalah bergantung pada ikhlas. Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas? 

" Tidak ada noda yang mencampuri suatu amal, seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri sendiri sama ada secara jelas mahupun tersembunyi, kerana menghendaki harta rampasan, syahwat, kedudukan, harta benda, supaya dihormati atau disanjungi oleh orang ramai, tidak ingin dicela, mengambil kesempatan di hadapan orang-orang tertentu, menyimpan rasa dengki yang tersembunyi, melayani rasa dengki yang tidak kelihatan, kesombongan yang terselubung atau kerana alasan-alasan lain yang tidak terpuji, yang intinya menghendaki selain Allah SWT dengan suatu amal, siapa pun dan apa pun "
(Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam, Dr. Yusuf al-Qardhawi)
Seberapa ikhlas dan jujur kita dalam mengabdikan diri pada ALLAH?

Hati saya terketuk disaat mendengar kata-kata tarbiah dari Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz apabila membicarakan megenai kisah seorang panglima perang, Qutaibah dan seorang alim ulama, Silah. 

" Apabila Silah hendak menunaikan solat malam, dia akan mengambil pakaiannya yang berharga 1000 dinar lalu mewangikannya dan berkata, 'ALLAH, sesungguhnya Engkau Zat yang Maha Indah, dan Engkau menyukai keindahan. Sesungguhnya aku memakai pakaian ini, hanya kerana Mu semata-mata Ya ALLAH.' Lalu dia pun memakainya pada waktu malam dan apabila tiba waktu siang disimpannya pakaian itu.
Waktu dia nak solat malam seorang-seorang, pakaiannya berharga 1000 dinar. Tuan-tuan 1000 dinar bukan 1000 ringgit. Dinar ialah wang emas. Jangan tuan-tuan faham 100 dinar seperti 1000 ringgit. Beza nilainya. Apabila tibanya malam, dia akan memakai pakaian 1000 dinar, lalu dia berkata, 'Ya ALLAH, aku memakai pakaian yang cantik ini, semata-mata untuk Mu Ya ALLAH.' Ini yang dinamakan zuhud, ikhlas. Apabila siang menjelang, pakaian itu disimpan, dia pergi berperang. Bila habis berperang tibanya malam, dia sujud pada ALLAH, dia buang baju perang, dia pakai balik baju cantik , untuk Mu Ya ALLAH.
 Namun kita terbalik. Bila pergi keluar cantik-cantik, bila sembahyang hodoh-hodoh. Kain pelikat yang sudah empat hari tak basuh itulah pakaian sembahyang. Kain telekung yang sudah 2 bulan tak basuh itulah pakaian sembahyang. Kain telekung yang cantik, yang bersulam-sulam disimpan didalam almari. Kain pelikat yang cantik-cantik disimpan didalam almari, yang dipakai sekarang kain pelikat yang buruk-buruk. Kopiah pun tidak dipakai bila sembahyang dirumah. Tapi pergi masjid pakai kopiah, bila duduk dirumah tak pakai kopiah, macam mana cerita. Datang ke masjid pakai baju cantik-cantik, duduk dirumah pakai baju pagoda bila sembahyang. Apa cerita kita ini? Zuhud dan ikhlas dimana nya?
Sepatutnya dirumah wangi-wangi, kita nak sembahyang. Sebab apa? Sebab dirumah kita sembahyang seorang-seorang. Lagi ALLAH lihat kita betul-betul. Sewaktu kita solat seorang-seorang, ALLAH akan lihat kita secara berseorang. Namun apabila kita bersolat secara beramai-ramai, ALLAH akan melihat kita secara beramai-ramai. Sewaktu kita solat secara berseorangan, sewaktu itulah kita ingin berhadapan dengan kekasih. Aku ingin berjumpa dengan kekasih, maka aku hendak persembahkan sebaik-baiknya. Ini yang kita patut fikirkan...."
Kita bertuhankan Manusia atau ALLAH? 

Seperti kata-kata Murabbi di atas, cuba kita sama-sama merenung, sebenarnya selama ini kita bertuhankan manusia atau ALLAH SWT? Jika kita bertuhankan manusia, maka benarlah kata murabbi. Apabila dengan manusia, segala-galanya kita mahukan selengkap mungkin, sebaik mungkin, sesempurna mungkin. Kita tidak akan bersifat sambil lewa, tidak ambil kesah, sekiranya kita benar-benar ikhlas dalam bertauhidkan ALLAH SWT. 

Saya mengambil pendekatan satu analogi, yang mana sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Cuba bayangkan, sekiranya satu pasangan kekasih ini mahu ber'dating'. Maka si boyfriend dan si girlfriend akan mempersiapkan diri se'perfect' yang mungkin. Iyalah, mahu jumpa kekasih lah katakan. Si girlfriend akan menghabiskan berjam lamanya untuk menyiapkan diri sebelum berjumpa teman lelakinya. Namun apabila mahu bersolat, cuba kita bandingkan, perbezaan dari segi pemakaian dan juga masa yang kita peruntukkan dalam menyiapkan diri untuk keluar ber'dating' berbanding ber'dating' dengan kekasih abadi, ALLAH SWT.
" Keinginan agar orang lain mengetahui keistimewaan yang ada pada dirimu adalah bukti dari ketidaktulusan penghambaan mu." (Al-Hikam, Syeikh Ibnu Athaillah)
Di saat kita ingin bersolat secara berjemaah di masjid. Maka kita akan memakai pakaian yang cantik, wangi, kopiah akan dipakai dengan baik. Namun apabila kita solat secara sendirian, seperti kata Murabbi, kopiah tidak dipakai, malah kain pelikat yang dipakai juga sudah 4 hari tidak dibasuh. Mengapa berlakunya 'double standard' dalam kita menghambakan diri pada Nya? Ini kerana soal ikhlas, soal hati kita. 

ALLAH kekasih hati yang abadi.

Kita akui, apabila kita mempunyai kekasih, kita akan cuba mahu memberikan segala yang terbaik buat kekasih kita. Kita cuba mengembirakan hatinya,jauh sekali untuk bersifat menghampakan dirinya. Begitu juga pada yang berhak, iaitu ALLAH SWT. Di saat kita merendahkan dahi bersujud dihadapan ALLAH, tergamakkah kita dengan hanya berpakaian kusut-masai, berbau hapak, serba serbi tidak lengkap berjumpa dengan Kekasih yang Agung? 

Agak-agaknya apakah anggapan  Kekasih Yang Agung melihat kita berkeadaan sedemikian? Agak-agaknya adakah pembelaan dan kasih sayang yang terbalas dengan cara kita mempersembahkan diri dihadapan ALLAH SWT? Kita sendiri mengetahui akan jawapannya...

Mari wahai yang berjiwa Hamba ALLAH.
Kita sama-sama perbetulkan cara kita, sifat kita, amalan kita.
Segala yang terbaik, hanya untuk Yang Terbaik, yakni ALLAH Taala.

Ikhlaskan hati, jujur pada diri.
Semua hanya untuk yang satu, Kekasih Hati, ALLAH SWT.


" Lenyapkan pandangan makhluk terhadap diri mu dengan pandangan ALLAH kepada mu. Dan lupakanlah perhatian mereka terhadap mu, kerana engkau sedar bahawa ALLAH memperhatikan mu. " (Al-Hikam, Syeikh Ibnu Athaillah)

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
27 Syawal 1433 Hijrah
14 September 2012

No comments:

Post a Comment