Saturday 18 August 2012

Meraikan kemenangan fitrah


Alhamdulillah. Setinggi-tinggi syukur pada ALLAH, kerana masih memberi peluang dan ruang untuk terus bernafas sehingga ke akhir Ramadhan kali ini. Tidak ternilai kiranya, segala nikmat yang ALLAH kurniakan kepada hamba-hambaNYA didalam bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan sudah meninggalkan kita.

Bulan yang dahulunya sangat-sangat kita nantikan, telah meninggalkan kita. Sama ada kita masih berpeluang berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang atau tidak, ianya jawapan yang tidak mampu dijawab. Kerana itu Ramadhan yang telah berlalu, sekiranya kita tidak bersama disisinya, kesilapan yang besar telah kita lakukan. Ramadhan itu bersifat 'limited edition', yang mana keistimewaannya tidak dapat kita kecapi dan rasai didalam bulan yang lain.

Benar kata orang kebanyakkan, sesuatu yang berharga itu hanya akan kita rasai dan hargai saat ianya pergi, hilang. Begitu juga dengan Ramadhan, apabila tiba 10 malam yang terakhir, perasaan cinta terhadap Ramadhan baru berputik. Kini, perasaan itu hanya tinggal kenangan, kenangan yang indah saat dan detik istimewa dengan kekasih yang pergi bakal kembali, Ramadhan.

Berjayakah tarbiah Ramadhan selama 30 hari?

Mari kita muhasabah diri, berjayakah waktu yang singkat selama 30 hari yang kita lalui bersama-sama Ramadhan, membentuk akan ibadah kita, akhlak kita? Adakah perubahan yang berlaku ke atas diri kita, sama ada dari segi ibadahnya, perangainya, percakapannya. Persoalan itu dapat kita jawab didalam diri sendiri, apabila kita berhadapan dengan 'musuh' sebenar selama 11 bulan yang akan datang. Persediaan dan latihan yang telah kita lalui akan teruji, disaat kita berhadapan dengan musuh yang nyata, selama 11 bulan yang mendatang. 


Semoga kita sama-sama beristiqamah dalam meneruskan momentum Ramadhan, walaupun Ramadhan yang kita kasihi telah meninggalkan kita.

Bersama meraikan kemenangan fitrah.


Syawal telah menjelma, maka medan mujahadah yang telah kita lalui, telah sampai ke kemuncaknya, iaitu Hari Raya Eidul fitri. ‘Eidul Fitri bermaksud perayaan fitrah. Disambut meraikan mereka yang bertungkus lumus didalam medan Ramadhan, sebagai simbol bahawa mereka berjaya keluar daripadanya dalam keadaan dosa telah dibersihkan, seperti mana yang dijanji ALLAH SWT.

Namun timbulnya persoalan, adakah kita termasuk didalam golongan yang dimaksudkan 'meraikan kemenangan' itu? Sesuai dan selayaknya kah kita untuk meraikan kemenangan yang mana hanya layak bagi orang-orang yang sedaya upaya berusaha ingin mencapai kemenangan yang bermakna? Kita sahaja yang mampu memberikan jawapan, adakah kita layak atau tidak bersungguh dalam meraikan Hari Raya Eidilfitri.

Di kesempatan yang ada, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidilfitri buat semua sahabat follower dan pembaca blog yang tidak seberapa ini.
Ampun dan maaf andai ada tulisan saya yang difikirkan sebagai menguris hati, mengutuk atau mengata golongan-golongan tertentu.
Saya hanya manusia biasa, lagi faqir dan jahil.
Semoga ALLAH menerima amalan saya, dan sahabat-sahabat semua.
Taqabbalallahu minna wa minkum.
Kullu 'am wa antum bi khair.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
01 Syawal 1433 Hijrah
18 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment