Saturday, 7 April 2012

Redha akan kehilangan..




Manusia itu sifatnya berubah-ubah, dimana kadang-kala pendirian dirinya tidak tetap, mengikut situasi dan waqi' yang dihadapi seseorang itu. Tetapi itu tidaklah menjadi sesuatu yang luar biasa kerana manusia ini hanyalah HAMBA yang BIASA, yang imannya tidak tetap dan berbeza dengan para anbiya'. Perkara itu sudah sedia maklum buat semua hamba.

Cuma kadang kala kita perlu melihat, apa yang terjadi yang tidak menyebelahi kita, dari sudut pandang HAKIKAT. Dimana didalam dunia ini, tiada yang kekal, semuanya akan musnah, akan pergi, akan hilang, tidak bersifat kekal. Kerana manusia ini sukar sebenarnya menerima hakikat yang berlaku kepada dirinya. Alangkah indahnya sekiranya kita memahami erti redha itu sendiri.

Redha berasal dari kata radhiya-yardha yang bererti menerima suatu perkara dengan lapang dada tanpa merasa kecewa ataupun tertekan. Sedangkan menurut istilah, redha berkaitan dengan perkara keimanan yang terbahagi kepada dua iaitu, redha Allah kepada hamba-Nya dan redha hamba kepada Allah

”Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya.” (QS 98: 8).

Semua yang bernyawa di dunia ini, akan merasai mati. Semua yang bersifat cantik, akan hilang. Semua yang bersifat kukuh, akan musnah. Begitulah hakikat sebuah kehidupan. Tidak ada yang kekal, kerana semuanaya berada dalam percaturan Yang Maha Kekal, ALLAH SWT. Dari zaman dahulu kala, hingga lah yang akan datang, tidak ada yang kekal didunia ini. 

Sayang mana pun anda pada seseorang, cinta tinggi mana pun anda pada seseorang, dia tetap akan pergi, meninggalkan apa yang ada didunia, kerana apa? Kerana itulah hakikat kehidupan, yang perlu diterima oleh semua hamba yang bergantung harap pada redha-NYA semata-mata.

Betapa tinggi dan hebatnya kasih sayang dan cinta para sahabat kepada Rasulullah SAW, namun Baginda tetap meninggalkan umatnya. Namun keimanan dan kebergantungan para sahabat pada ALLAH SWT, para sahabat redha dengan pemergian Baginda, walaupun dengan hati yang sangat berat. Ini kerana para sahabat memahami, kasih sayang dan cinta mereka terhadap Baginda, tidak dapat menandingi kasih sayang dan cinta ALLAH SWT terhadap kekasih-Nya.

"Aku takjub dengan perihal orang yang beriman.. Semuanya ada kebaikan.. Tidak ada suatu kebaikan pun kecuali ianya untuk orang yang beriman.. Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur.. Maka itu baik baginya.. Apabila diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar.. Maka itu juga baik baginya.." ( Imam Muslim. )

Marilah kita menjadi orang yang beriman, yang mana sentiasa redha dengan segala ketentuan dan kehendak Yang Maha Mengatur, dengan dada yang lapang, dan berjiwa besar. Semua kehendak dan ketentuan-Nya, adalah yang terbaik, tidak ada yang terbaik daripada apa yang diberikan oleh Allah SWT.

Allah SWT sentiasa ada bersama hamba-hambaNYA, yang sentiasa redha akan ujian yang DIA berikan. Sama ada kita merasainya ataupun tidak, itu saja persoalannya. Terimalah hakikat, kehilangan itu pasti berlaku dalam perjalanan setiap hamba yang ingin meraih cinta ALLAH.

Sahabat,
Semua yang hadir, akan pergi jua. 
Dan yang pergi, tidak akan kembali.

~Kembara Cahaya Ilahi~
15 Jamadil Awal 1433 Hijrah
07 April 2012

No comments:

Post a Comment