Mati. Satu perkataan yang paling ditakuti oleh kebanyakkan manusia didunia ini. Bahkan orang Islam itu sendiri, tidak ramai yang suka membicarakan soalnya, tambahan apabila dunia sudah meraja dihatinya.
"Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(H.R. Abu Daud)
Ya. Apabila kita sudah terlalu cintakan dunia, maka kita akan takut kepada mati. Takut segala kesenangan kita didunia ini akan terputus, takut segala harta didunia tidak boleh diguna dan diurus, takut memikirkan segala dosa yang bertimbun, takut memikirkan azab seksa yang bakal melunjur. Namun, mati siapakah yang boleh ditangguh?
"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.." (Al-Anbiyaa', 35)
Jika diperhatikan, menjauhkan diri dari membicarakan soal kematian adalah satu tindakan yang kurang bijak, kerana sejauh mana pun kita melarikan diri, mati tetap akan menemui kita. Itu adalah sunnatullah yang tidak dapat kita nafikan dan lari daripadanya.
"Orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya.."
Sebuah kata-kata yang mahsyur yang bermaksud, orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya supaya mati dalam kebaikan. Dan tidak membiarkan kehidupannya berjalan begitu sahaja tanpa dia berusaha untuk mengisi dengan kebaikan. Anda bijak atau tidak.?
Hidup dan mati adalah dua perkara yang berbeza. Ketika kita masih hidup, pelbagai perkara dapat kita lakukan mengikut kehendak kita, sehinggakan jika berbuat dosa, masih mempunyai peluang untuk bertaubat. Sebaliknya mati pula ialah penutup dan pemutus segala-galanya. Mati memutuskan hubungan kita dengan keluarga, menghentikan amal-amal kita, menutup pintu taubat kita dan menutup harapan kita untuk membetulkan segala salah silap kita.
Rasulullah SAW bersabda :"Tiga perkara yang tidak akan putus dari seorang anak adam selepas kematiannya ialah amal jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa dari anak yang soleh. "
Tiga amal ini sahaja yang akan memenuhkan kantung pahala kita, walaupun setelah kita mati. Selagi mana tiga perkara itu berjalan dan terus digunakan, kita akan mendapat pahala seperti kita berbuat amalan tersebut ketika masih hidup.
Kita melihat bahawa hidup dan mati itu sangat berkait rapat. Bagi mereka yang menjadikan ALLAH sebagai destinasi, maka dia akan melihat bahawa mati ini sesuatu perkara yang besar. Biasanya bagi mereka yang meletakkan ALLAH sebagai destinasi, mereka akan mempersiapkan diri. Mereka diciptakan istimewa, maka mereka hendak berdiri dihadapan ALLAH juga dalam keadaan yang sangat istimewa.
"Kehidupan ini ibarat musafir yang berteduh sebentar dibawah sepohon pokok, apabila letihnya hilang, dia kembali meneruskan perjalanannya."
Hidup ini sebentar, mati juga sebentar. Mati lebih sebentar daripada hidup. Tetapi kehidupan selepas mati itulah yang kita bicarakan disebalik perkataan 'mati' itu. Sebab itulah mati itu dipandang berat. Kematian itu ada dua jenis:
1) Husnul Khotimah (penamat yang baik)
2) Su'ul Khotimah (penamat yang buruk)
Jika anda, cara mati yang mana yang anda idam-idamkan? Hidup itu memang, tetapi masti itu PASTI.
Ayuh, kita merancang kematian kita.!
~ kembara cahaya ilahi ~
07 Jamadil Akhir 1433 Hijrah
29 April 2012
No comments:
Post a Comment