Sunday, 29 April 2012

Ayuh.! Kita rancang kematian..!





Mati. Satu perkataan yang paling ditakuti oleh kebanyakkan manusia didunia ini. Bahkan orang Islam itu sendiri, tidak ramai yang suka membicarakan soalnya, tambahan apabila dunia sudah meraja dihatinya.

"Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". 
(H.R. Abu Daud) 

Ya. Apabila kita sudah terlalu cintakan dunia, maka kita akan takut kepada mati. Takut segala kesenangan kita didunia ini akan terputus, takut segala harta didunia tidak boleh diguna dan diurus, takut memikirkan segala dosa yang bertimbun, takut memikirkan azab seksa yang bakal melunjur. Namun, mati siapakah yang boleh ditangguh? 

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.." (Al-Anbiyaa', 35)

Jika diperhatikan, menjauhkan diri dari membicarakan soal kematian adalah satu tindakan yang kurang bijak, kerana sejauh mana pun kita melarikan diri, mati tetap akan menemui kita. Itu adalah sunnatullah yang tidak dapat kita nafikan dan lari daripadanya.

"Orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya.."

Sebuah kata-kata yang mahsyur yang bermaksud, orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya supaya mati dalam kebaikan. Dan tidak membiarkan kehidupannya berjalan begitu sahaja tanpa dia berusaha untuk mengisi dengan kebaikan. Anda bijak atau tidak.?


Hidup dan mati adalah dua perkara yang berbeza. Ketika kita masih hidup, pelbagai perkara dapat kita lakukan mengikut kehendak kita, sehinggakan jika berbuat dosa, masih mempunyai peluang untuk bertaubat. Sebaliknya mati pula ialah penutup dan pemutus segala-galanya. Mati memutuskan hubungan kita dengan keluarga, menghentikan amal-amal kita, menutup pintu taubat kita dan menutup harapan kita untuk membetulkan segala salah silap kita.

Rasulullah SAW bersabda : 
"Tiga perkara yang tidak akan putus dari seorang anak adam selepas kematiannya ialah amal jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa dari anak yang soleh. " 

Tiga amal ini sahaja yang akan memenuhkan kantung pahala kita, walaupun setelah kita mati. Selagi mana tiga perkara itu berjalan dan terus digunakan, kita akan mendapat pahala seperti kita berbuat amalan tersebut ketika masih hidup.


Kita melihat bahawa hidup dan mati itu sangat berkait rapat. Bagi mereka yang menjadikan ALLAH sebagai destinasi, maka dia akan melihat bahawa mati ini sesuatu perkara yang besar. Biasanya bagi mereka yang meletakkan ALLAH sebagai destinasi, mereka akan mempersiapkan diri. Mereka diciptakan istimewa, maka mereka hendak berdiri dihadapan ALLAH juga dalam keadaan yang sangat istimewa.

"Kehidupan ini ibarat musafir yang berteduh sebentar dibawah sepohon pokok, apabila letihnya hilang, dia kembali meneruskan perjalanannya."

Hidup ini sebentar, mati juga sebentar. Mati lebih sebentar daripada hidup. Tetapi kehidupan selepas mati itulah yang kita bicarakan disebalik perkataan 'mati' itu. Sebab itulah mati itu dipandang berat. Kematian itu ada dua jenis:


1) Husnul Khotimah (penamat yang baik)
2) Su'ul Khotimah (penamat yang buruk)


Jika anda, cara mati yang mana yang anda idam-idamkan? Hidup itu memang, tetapi masti itu PASTI. 
Ayuh, kita merancang kematian kita.!


~ kembara cahaya ilahi ~
07 Jamadil Akhir 1433 Hijrah
29 April 2012

Sunday, 22 April 2012

Cintailah ALLAH, nescaya hidup menjadi indah.!





Post kali ini adalah mengenai CINTA, yang mana semua orang suka akan perasaan CINTA. Tetapi bukan cinta antara makhluk, yang ingin saya nukilkan, tetapi CINTA yang sangat-sangat indah, iaitu cinta antara MAKHLUK dan PENCIPTA.

Ada orang mengatakan bahawa cinta ini ibarat garam dalam makanan. Jika tiada garam, maka makanan menjadi tawar dan kurang rasanya. Jika terlebih garam pula, maka makanan akan menjadi masin, dan menjadi tidak sedap. Maka garam perlu digunakan sebaiknya, supaya makanan menjadi sedap, lagi menyelerakan.


Pendapat saya juga begitu, mengenai cinta. Hidup kita sebagai hamba, jika tiada cinta, maka hidup kita tidak bermakna. Hidup kita akan menjadi 'tawar', kosong dan membosankan. Cinta, jika berlebihan, mka cinta akan memusnahkan diri. Namun jika cinta itu dikawal, disalurkan ditempat yang betul, maka hidup akan menjadi indah, dan menyenangkan.


"Cinta itu lebih tua daripada alam ini, kerana atas dasar cintalah TUHAN menciptakan alam ini." (Al-Mutanabbi)

Justeru, seseorang itu tidak hidup sebenarnya, jika hidupnya tidak mempunyai cinta.Kehidupan dan cinta mempunyai hubungan yang sangat erat.Tiadalah kehidupan itu tanpa cinta yang sebenarnya. Sebab itulah manusia biasa menyatakan bahawa cinta itu adalah fitrah.


"Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan dengan kekuatan, cinta bukan mengajar menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan, cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat." (Hamka)

Daripada bicara-bicara ini, pasti kita dapat melihat, betapa pentingnya cinta itu.Jika anda pernah membaca buku-buku karangan Habiburrahman El-Shirazy, seperti Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih , anda akan lebih menghayati betapa cinta itu penting dalam hayat seorang insan.


Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).(3:14)


Cinta itu lekatnya dalam hati dan jiwa. Untuk mendapat kehidupan yang indah, kita perlu hidupkan hati dan jiwa kita dengan rasa cinta yang memekar. Cuma, timbul persoalan disini, cinta apakah yang mesti kita hidupkan.??


Banyak orang apabila berbicara mengenai cinta, maka akan merujuk kepada cinta sesama manusia.Itulah cinta yang seringkali diagung-agungkan. Pada pandangan saya, rujukan itu sangta kurang tepat kerana cinta antara manusia itu adalah cinta dikelas pertengahan, belum 'high class'.


Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(3:31)

Cinta yang perlu kita agung-agungkan, dan yang perlu kita hidupkan, itulah dia, iaitu CINTA pada ALLAH SWT. Ya. Cinta itu kepunyaan ALLAH SWT. Oleh sebab itu cinta ini berkait rapat dengan kehidupan. Suka saya timbulkan persoalan kepada sahabat-sahabat, apakah definisi cinta menurut pandangan anda? Adakah dengan definisi cinta anda itu, membuatkan anda bahagia? Adakah dengan perjalanan cinta anda itu, anda rasa hidup anda bermakna? 


Maka saya ingin mengajak sahabat-sahabat, adakah anda ingin membuatkan kehidupan anda lebih bermakna?Adakah anda ingin cinta anda membuahkan bahagia? Bahagia dunia dan akhirat sekaligus? Apa kata kita pergi mencari cinta.Cinta yang sebenar-benar cinta.....


~Kembara Cahaya Ilahi~
30 Jamadil Awal 1433 Hijrah
22 April 2012

Sunday, 15 April 2012

Kerana merasa diri lebih mulia..




Kerana merasa diri lebih mulia..

Kerana merasa diri lebih mulia,
Kita merasa puasa kita lebih sempurna,
Malah memandang rendah pada yang menjamu selera,
Kerana merasa hebat menahan lapar dan dahaga.

Kerana merasa diri lebih mulia,
Kita merasa tahajjud kita terlalu istimewa,
Malah memandang sinis pada yang sedang lena,
Kerana merasa munajat kita lebih diterima.

Kerana merasa diri lebih mulia,
Kita bahagia dikelilingi sahabat sefikrah,
Malah memandang rendah pada yang melawan fitrah,
Kerana senang punya sahabat yang hadam erti ukhwah.

Oh, kerana merasa diri lebih mulia,
Kita senang berjalan dilitupi pakaian yang cukup syaratnya,
Malah jelek melihat mereka yang terbuka sini sana,
Kerana kita merasa diri lebih terpelihara.

Kerana merasa diri lebih mulia,
kita gembira melaksanakan kerja Islam sepanjang masa,
malah benci melihat sahabat yang berehat seketika,
kerana kita merasa diri lebih ikhlas dalam amal kerana-Nya.

Kerana merasa diri lebih mulia,
Kita ralit menatap buku tanpa jemu,
Malah jengkel dengan yang berhibur tanpa malu,
Kerana merasa ilmu kita sudah menderu-deru.

Kerana merasa diri lebih mulia,
Kita leka perintah Tuhan Yang Esa,
Menjaga hati dari merasa selesa dengan hidup sempurna,
Takut-takut kita diheret ke Neraka,
Hanya kerana didunia,
Kita merasa lebih mulia!

~Kembara Cahaya Ilahi~
23 Jamadil Awal 1433 Hijrah
15 April 2012

Saturday, 7 April 2012

Redha akan kehilangan..




Manusia itu sifatnya berubah-ubah, dimana kadang-kala pendirian dirinya tidak tetap, mengikut situasi dan waqi' yang dihadapi seseorang itu. Tetapi itu tidaklah menjadi sesuatu yang luar biasa kerana manusia ini hanyalah HAMBA yang BIASA, yang imannya tidak tetap dan berbeza dengan para anbiya'. Perkara itu sudah sedia maklum buat semua hamba.

Cuma kadang kala kita perlu melihat, apa yang terjadi yang tidak menyebelahi kita, dari sudut pandang HAKIKAT. Dimana didalam dunia ini, tiada yang kekal, semuanya akan musnah, akan pergi, akan hilang, tidak bersifat kekal. Kerana manusia ini sukar sebenarnya menerima hakikat yang berlaku kepada dirinya. Alangkah indahnya sekiranya kita memahami erti redha itu sendiri.

Redha berasal dari kata radhiya-yardha yang bererti menerima suatu perkara dengan lapang dada tanpa merasa kecewa ataupun tertekan. Sedangkan menurut istilah, redha berkaitan dengan perkara keimanan yang terbahagi kepada dua iaitu, redha Allah kepada hamba-Nya dan redha hamba kepada Allah

”Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya.” (QS 98: 8).

Semua yang bernyawa di dunia ini, akan merasai mati. Semua yang bersifat cantik, akan hilang. Semua yang bersifat kukuh, akan musnah. Begitulah hakikat sebuah kehidupan. Tidak ada yang kekal, kerana semuanaya berada dalam percaturan Yang Maha Kekal, ALLAH SWT. Dari zaman dahulu kala, hingga lah yang akan datang, tidak ada yang kekal didunia ini. 

Sayang mana pun anda pada seseorang, cinta tinggi mana pun anda pada seseorang, dia tetap akan pergi, meninggalkan apa yang ada didunia, kerana apa? Kerana itulah hakikat kehidupan, yang perlu diterima oleh semua hamba yang bergantung harap pada redha-NYA semata-mata.

Betapa tinggi dan hebatnya kasih sayang dan cinta para sahabat kepada Rasulullah SAW, namun Baginda tetap meninggalkan umatnya. Namun keimanan dan kebergantungan para sahabat pada ALLAH SWT, para sahabat redha dengan pemergian Baginda, walaupun dengan hati yang sangat berat. Ini kerana para sahabat memahami, kasih sayang dan cinta mereka terhadap Baginda, tidak dapat menandingi kasih sayang dan cinta ALLAH SWT terhadap kekasih-Nya.

"Aku takjub dengan perihal orang yang beriman.. Semuanya ada kebaikan.. Tidak ada suatu kebaikan pun kecuali ianya untuk orang yang beriman.. Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur.. Maka itu baik baginya.. Apabila diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar.. Maka itu juga baik baginya.." ( Imam Muslim. )

Marilah kita menjadi orang yang beriman, yang mana sentiasa redha dengan segala ketentuan dan kehendak Yang Maha Mengatur, dengan dada yang lapang, dan berjiwa besar. Semua kehendak dan ketentuan-Nya, adalah yang terbaik, tidak ada yang terbaik daripada apa yang diberikan oleh Allah SWT.

Allah SWT sentiasa ada bersama hamba-hambaNYA, yang sentiasa redha akan ujian yang DIA berikan. Sama ada kita merasainya ataupun tidak, itu saja persoalannya. Terimalah hakikat, kehilangan itu pasti berlaku dalam perjalanan setiap hamba yang ingin meraih cinta ALLAH.

Sahabat,
Semua yang hadir, akan pergi jua. 
Dan yang pergi, tidak akan kembali.

~Kembara Cahaya Ilahi~
15 Jamadil Awal 1433 Hijrah
07 April 2012