Memahami akan tuntutan sebenar Ikhlas
Apabila kita berbicara mengenai ikhlas. Maka ia tidak lari mengenai soal hati. Malah ianya sangat berkait rapat dengan hati. Kerana ikhlas ini akan lahirnya dari hati. Ikhlas adalah salah satu amalan hati. Ianya berada di baris hadapan permulaan dari amal-amal hati. Asbab diterimanya sesuatu amalan tersebut adalah bergantung pada ikhlas. Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas?
" Tidak ada noda yang mencampuri suatu amal, seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri sendiri sama ada secara jelas mahupun tersembunyi, kerana menghendaki harta rampasan, syahwat, kedudukan, harta benda, supaya dihormati atau disanjungi oleh orang ramai, tidak ingin dicela, mengambil kesempatan di hadapan orang-orang tertentu, menyimpan rasa dengki yang tersembunyi, melayani rasa dengki yang tidak kelihatan, kesombongan yang terselubung atau kerana alasan-alasan lain yang tidak terpuji, yang intinya menghendaki selain Allah SWT dengan suatu amal, siapa pun dan apa pun "
(Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam, Dr. Yusuf al-Qardhawi)
Seberapa ikhlas dan jujur kita dalam mengabdikan diri pada ALLAH?
Hati saya terketuk disaat mendengar kata-kata tarbiah dari Murabbi Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz apabila membicarakan megenai kisah seorang panglima perang, Qutaibah dan seorang alim ulama, Silah.
" Apabila Silah hendak menunaikan solat malam, dia akan mengambil pakaiannya yang berharga 1000 dinar lalu mewangikannya dan berkata, 'ALLAH, sesungguhnya Engkau Zat yang Maha Indah, dan Engkau menyukai keindahan. Sesungguhnya aku memakai pakaian ini, hanya kerana Mu semata-mata Ya ALLAH.' Lalu dia pun memakainya pada waktu malam dan apabila tiba waktu siang disimpannya pakaian itu.
Waktu dia nak solat malam seorang-seorang, pakaiannya berharga 1000 dinar. Tuan-tuan 1000 dinar bukan 1000 ringgit. Dinar ialah wang emas. Jangan tuan-tuan faham 100 dinar seperti 1000 ringgit. Beza nilainya. Apabila tibanya malam, dia akan memakai pakaian 1000 dinar, lalu dia berkata, 'Ya ALLAH, aku memakai pakaian yang cantik ini, semata-mata untuk Mu Ya ALLAH.' Ini yang dinamakan zuhud, ikhlas. Apabila siang menjelang, pakaian itu disimpan, dia pergi berperang. Bila habis berperang tibanya malam, dia sujud pada ALLAH, dia buang baju perang, dia pakai balik baju cantik , untuk Mu Ya ALLAH.
Namun kita terbalik. Bila pergi keluar cantik-cantik, bila sembahyang hodoh-hodoh. Kain pelikat yang sudah empat hari tak basuh itulah pakaian sembahyang. Kain telekung yang sudah 2 bulan tak basuh itulah pakaian sembahyang. Kain telekung yang cantik, yang bersulam-sulam disimpan didalam almari. Kain pelikat yang cantik-cantik disimpan didalam almari, yang dipakai sekarang kain pelikat yang buruk-buruk. Kopiah pun tidak dipakai bila sembahyang dirumah. Tapi pergi masjid pakai kopiah, bila duduk dirumah tak pakai kopiah, macam mana cerita. Datang ke masjid pakai baju cantik-cantik, duduk dirumah pakai baju pagoda bila sembahyang. Apa cerita kita ini? Zuhud dan ikhlas dimana nya?
Sepatutnya dirumah wangi-wangi, kita nak sembahyang. Sebab apa? Sebab dirumah kita sembahyang seorang-seorang. Lagi ALLAH lihat kita betul-betul. Sewaktu kita solat seorang-seorang, ALLAH akan lihat kita secara berseorang. Namun apabila kita bersolat secara beramai-ramai, ALLAH akan melihat kita secara beramai-ramai. Sewaktu kita solat secara berseorangan, sewaktu itulah kita ingin berhadapan dengan kekasih. Aku ingin berjumpa dengan kekasih, maka aku hendak persembahkan sebaik-baiknya. Ini yang kita patut fikirkan...."
Kita bertuhankan Manusia atau ALLAH?
Seperti kata-kata Murabbi di atas, cuba kita sama-sama merenung, sebenarnya selama ini kita bertuhankan manusia atau ALLAH SWT? Jika kita bertuhankan manusia, maka benarlah kata murabbi. Apabila dengan manusia, segala-galanya kita mahukan selengkap mungkin, sebaik mungkin, sesempurna mungkin. Kita tidak akan bersifat sambil lewa, tidak ambil kesah, sekiranya kita benar-benar ikhlas dalam bertauhidkan ALLAH SWT.
Saya mengambil pendekatan satu analogi, yang mana sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Cuba bayangkan, sekiranya satu pasangan kekasih ini mahu ber'dating'. Maka si boyfriend dan si girlfriend akan mempersiapkan diri se'perfect' yang mungkin. Iyalah, mahu jumpa kekasih lah katakan. Si girlfriend akan menghabiskan berjam lamanya untuk menyiapkan diri sebelum berjumpa teman lelakinya. Namun apabila mahu bersolat, cuba kita bandingkan, perbezaan dari segi pemakaian dan juga masa yang kita peruntukkan dalam menyiapkan diri untuk keluar ber'dating' berbanding ber'dating' dengan kekasih abadi, ALLAH SWT.
" Keinginan agar orang lain mengetahui keistimewaan yang ada pada dirimu adalah bukti dari ketidaktulusan penghambaan mu." (Al-Hikam, Syeikh Ibnu Athaillah)
Di saat kita ingin bersolat secara berjemaah di masjid. Maka kita akan memakai pakaian yang cantik, wangi, kopiah akan dipakai dengan baik. Namun apabila kita solat secara sendirian, seperti kata Murabbi, kopiah tidak dipakai, malah kain pelikat yang dipakai juga sudah 4 hari tidak dibasuh. Mengapa berlakunya 'double standard' dalam kita menghambakan diri pada Nya? Ini kerana soal ikhlas, soal hati kita.
ALLAH kekasih hati yang abadi.
Kita akui, apabila kita mempunyai kekasih, kita akan cuba mahu memberikan segala yang terbaik buat kekasih kita. Kita cuba mengembirakan hatinya,jauh sekali untuk bersifat menghampakan dirinya. Begitu juga pada yang berhak, iaitu ALLAH SWT. Di saat kita merendahkan dahi bersujud dihadapan ALLAH, tergamakkah kita dengan hanya berpakaian kusut-masai, berbau hapak, serba serbi tidak lengkap berjumpa dengan Kekasih yang Agung?
Agak-agaknya apakah anggapan Kekasih Yang Agung melihat kita berkeadaan sedemikian? Agak-agaknya adakah pembelaan dan kasih sayang yang terbalas dengan cara kita mempersembahkan diri dihadapan ALLAH SWT? Kita sendiri mengetahui akan jawapannya...
Mari wahai yang berjiwa Hamba ALLAH.
Kita sama-sama perbetulkan cara kita, sifat kita, amalan kita.
Segala yang terbaik, hanya untuk Yang Terbaik, yakni ALLAH Taala.
Ikhlaskan hati, jujur pada diri.
Semua hanya untuk yang satu, Kekasih Hati, ALLAH SWT.
" Lenyapkan pandangan makhluk terhadap diri mu dengan pandangan ALLAH kepada mu. Dan lupakanlah perhatian mereka terhadap mu, kerana engkau sedar bahawa ALLAH memperhatikan mu. " (Al-Hikam, Syeikh Ibnu Athaillah)
~ Kembara Cahaya Ilahi ~
27 Syawal 1433 Hijrah
14 September 2012
Sahabat nabi bernama Ibnu Abbas ra adalah sahabat Nabi Muhammad SAW yang tekun dalm menjaga dan melayani Rasulullah SAW. Dia pernah secara khusus didoakan Rasulullah SAW. Pada usia sembilan tahun, Ibnu Abbas sudah menghafal Al-Quran dan menjadi imam di masjid.
Suatu hari, dia ditanya oleh para tabi'in mengenai apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan dunia. Jawab Ibnu Abbas, terdapat tujuh petunjuk kebahagiaan dunia, iaitu:
Qalbun Syakirun iaitu hati yang selalu bersyukur.
Memiliki jiwa syukur bererti menerima apa yang ada (qanaah) dengan redha sehingga tidak ada stress. Inilah nikmat bagi hati yang sentiasa bersyukur. Orang yang pandai bersyukur cerdas memahami sifat-sifat ALLAH SWT sehingga apa sahaja yang diberikan oleh ALLAH SWT, dia terpesona dengan pemberian dan keputusan ALLAH.
Apabila berada dalam kesusahan, dia segera ingat akan sabda Rasulullah SAW iaitu:
"Jika kita sedang susah, perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita."
Apabila diberi kesenangan, dia bersyukur dengan memperbanyakkan amal ibadahnya, kemudian ALLAH akan mengujinya dengan kesenangan yang lebih besar lagi. Apabila dia tetap 'degil' dengan terus bersyukur, ALLAH mengujinya lagi dengan kesenangan yang lebih besar lagi. Berbahagialah orang yang pandai bersyukur!
Al-Azwaju Solehah iaitu pasangan hidup yang solehah.
Pasangan hidup yang soleh menciptakan suasana rumah dan keluarga yang soleh. Di akhirat kelak, suami sebagai imam keluarga dipertanggungjawabkan dalam mengajak isteri dan anaknya melakukan amal soleh semasa didunia. Berbahagialah menjadi isteri apabila memiliki suami yang soleh, pasti bekerja keras untuk mengajak isteri dan anaknya menjadi muslim yang soleh.
Demikian juga isteri solehah yang memiliki kesabaran dan keikhlasan yang luar biasa dalam melayani suaminya, walau seberapa buruk kelakuan suaminya. Oleh itu, berbahagialah menjadi suami yang soleh, yang memiliki isteri yang solehah.
Al-Auladun Abrar iaitu anak yang soleh.
Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: “Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu, kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu.”
Daripada hadis ini, kita mendapat gambaran awal bahawa amal ibadah kita ternyata tidak cukup untuk membalas cinta dan kebaikan ibu bapa kita. Namun peringkat minimum sebagai anak yang soleh adalah dengan berdoa, dimana doa anak yang soleh kepada ibu bapanya dijamin dikabulkan oleh ALLAH. Berbahagialah kita apabila memiliki anak yang soleh.
Al-Baitu Solehah iaitu suasana yang kondusif, islamik.
Persekitaran yang kondusif adalah kita boleh mengenal siapapun tetapi untuk menjadikannya sebagai sahabat karib kita, perlulah diteliti dengan memilih orang yang mempunyai nilai tambah pada iman kita. Dalam hadis, Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya selalu bergaul dengan orang yang soleh. Orang yang soleh selalu mengajak kita kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila kita membuat kesalahan.
Orang soleh adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan nikmat islam yang selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-ALLAH, cahaya tersebut akan ikut meyinari orang yang ada disekitarnya. Berbahagialah orang-orang yang selalu dikelilingi oleh orang-orang soleh.
Al-Malul Halal atau Harta yang halal.
Paradigma mengenai harta dalam Islam bulkanlah jumlah atau kuantiti harta yang banyak, tetapi sumber halal harta tersebut. Ini tidak bererti islam tidak menyuruh umatnya supaya kaya, juga jauh sekali menghalang umatnya untuk menjadi kaya. Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan.
“Kamu berdoa sudah bagus,” kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan.”
Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya. Berbahagialah orang yang sentiasa teliti menjaga hartanya yang halal.
Tafaqquh Fiddin iaitu Semangat untuk memahami agama
Semangat memahami agama diwujudkan dalam semangat memahami ilmu-ilmu agama Islam. Semakin kita belajar, semakin kita bersemangat untuk belajar lebih jauh lagi mengenai ilmu berkaitan sifat-sifat ALLAH dan ciptaan-NYA. Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu.
Semakin kita belajar semakin cinta kita kepada agama-Nya, semakin tinggi cinta kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hati kita. Semangat memahami agama menghidupkan hati kita. Hati yang hidup dalah hati yang selalu dipenuhi cahaya nikmat Islam dan nikmat Iman. Berbahagialah orang yang bersemangat memahami ilmu agama Islam.
Umur yang berkat.
Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin meningkt amal soleh, yang setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia mengenai masa mudanya, dia cenderung kecewa dengan ketuaannya. Di samping itu, fikirannya fokus pada bagaimana caranya menikmati sisa hidupnya. Dia sibuk berangan-angan terhadap nikmat dunia yang belum sempat dirasakannya, kecewa hatinya apabila dia tidak mampu menikmati apa yang diangankannya.
Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Hari tuannya diisi dengan 'bermesra' dengan Sang Maha Pengasih. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan dia penuh harapan untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah.Inilah semangat 'hidup' orang yang berkat umurnya. Berbahagialah mereka yang umurnya mendatangkan keberkatan.
~ Kembara Cahaya Ilahi ~
19 Syawal 1433 Hijrah
06 September 2012