Tinggal lebih kurang seminggu sahaja saat yang dinanti-nanti oleh semua umat Islam di dunia ini tiba. Buat di hujung dunia, di sebelah timur, barat, malah dimana-mana sahaja, semuanya menanti-nanti akan kedatangan bulan yang sangat mulia, yakni bulan Ramadhan. Bulan yang penuh barakah, mulia, penuh dengan rahmat, untuk kita sebagai hamba membuktikan adakah kita hamba yang mensyukuri nikmat yang diberikan oleh ALLAH SWT atau hanya sekadar menjadi 'si penghabis oksigen' di muka bumi.
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” Surah Al-Baqarah ayat 185.Bulan ini sangat-sangat istimewa, segala rahmat dan berkah dikurniakan ALLAH SWT untuk hamba-hambanya. Segala pintu-pintu taubat, pintu rezeki, pintu rahmat, pintu pahala dibuka sebesar-besarnya. Sama ada kita peduli atau tidak, itu persoalannya. Apa lagi yang diharapkan, melainkan belas ihsan dari ALLAH SWT untuk hamba-hambaNYA. Mari kita sama-sama mengecapi nikmat yang sangat istimewa ini.
Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.Kedatangannya semakin menghampiri kita. Namun, adakah kita sudah bersedia menyambutnya dengan penuh persediaan? Mana mungkin sesuatu perkara itu menghasilkan sesuatu yang terbaik, jika tidak dilakukan persediaan rapi, persediaan yang bersungguh-sungguh.
"Barang siapa yang cemerlang pada permulaan, akan cemerlang pula pada kesudahannya."( Ibnu Atha'illah As-Sakandari)Mana mungkin memperolehi keputusan yang baik didalam peperiksaan, jika tidak menelaah dan bersedia secukupnya sebelum 'exam'? Mana mungkin terus boleh mendirikan rumah tangga, jika tiada persediaan ilmu, wang, kelengkapan untuk berkahwin? Begitu juga untuk menyambut bulan yang mulia ini, perlunya persediaan yang rapi. Persoalannya, sudahkah kita bersedia?
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan, dan berkira-kira(bersungguh-sungguh memperhatikan amalnya) maka diampunkan untuknya segala dosanya yang telah lalu” Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasaai, Tirmizi, Abu Dawud dan Ahmad.Langkah awal sepatutnya sudah bermula, ketika di bulan Rejab yang lalu dan ketika bulan Syaaban ini. Untuk mudah berqiamullai dibulan Ramadhan, sepatutnya telah mula membiasakan diri berqiamullail sebelum Ramadhan. Untuk menahan diri daripada nafsu jahat dan menahan perut di bulan Ramadhan, sepatutnya telah mula melatih diri berpuasa sebelum Ramadhan. Untuk melazimi diri 'melekat' di masjid di bulan Ramadhan, sepatutnya sudah lama kita membiasakan diri berada dimasjid sebelum Ramadhan.
Jika masih belum bersedia, bangun. Bangunlah kita dari mimpi. Jangan terlalu asyik dengan mimpi. Mari kita bersama-sama muhasabah diri. Mari kita bersama-sama mempersiapkan diri, menuju panggilan ilahi. Jadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna sekali!
" اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبَ وَ شَعْبَانَ وَ بَلِّغْنَا رَمَضَان "
" Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadhan. " (Hadith riwayat at-Tabrani dan Ahmad)YA ALLAH, sampaikanlah kami kepada bulan yang mulia ini!
~ Kembara Cahaya Ilahi ~
23 Syaaban 1433 Hijrah
13 Julai 2012
No comments:
Post a Comment