Monday, 30 July 2012

Fasa pertama telah berlalu..


Diam tak diam, celik-celik mata, dah sudah masuk ke 11 Ramadhan. Ini bermakna 10 Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Sangat cepat masa berlalu. Rasa seperti baru sahaja memasuki bulan Ramadhan. Namun 10 hari itu bukanlah satu masa yang panjang jika ingin difikirkan. Hanya singkat sahaja. Sama ada kita biarkan 10 Ramadhan berlalu begitu sahaja meninggalkan kita, atau kita hargai, hayati sebenarnya seiring dengan peralihan hari demi hari, itu persoalannya. Mari kita tanya pada diri kita, 10 hari telah berlalu, apakah yang telah aku lakukan?

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al 'Asr 103: 1-3)
 Apakah yang telah kita lakukan dengan nikmat yang ALLAH beri?

ALLAH SWT telah mengurniakan kepada kita segala bagai nikmat, rezeki dimuka bumi. Contoh yang paling mudah untuk dimuhasabah ialah harta. Hara yang kita miliki, apakah yang telah kita lakukan selama 10 hari yang telah berlalu?

Adakah kita menyalurkannnya ditempat yang sepatutnya?
Adakah kita memperuntukkan sebahagian kita untuk infaq ke jalan ALLAH? 
Adakah kita memberi sedekah dibulan Ramadhan?

Atau kita hanya menghabiskan sebahagian wang kita di bazar Ramadhan semata-mata? Teringat kata-kata Prof Madya Mohd Najib Abdul Qadir dalam tazkirahnya tempoh hari. Katanya, " Orang ISLAM apabila masuk bulan Ramadhan, berduyun-duyun ke bazar Ramadhan. Pergi bazar Ramadhan, balik bazir. " Sememangnya hakikat itu yang kita perlu akui, seberapa banyak yang telah kita bazirkan sepanjang 10 hari yang lalu hanya di bazar Ramadhan?

Apakah yang telah kita lakukan dengan masa 10 hari?

Kita singkap kembali, kita muhasabah kembali. Dengan masa yang ada, jika dikira, 24jam sehari, jika didarab dengan 10 hari, 240 jam yang kita ada, apakah yang telah kita lakukan? Adakah kita benar-benar memanfaatkannya atau hanya berlalu begitu sahaja.?

Adakah kita mengisi masa 10 hari beribadah kepada-NYA?
Adakah kita hanya menghabiskan masa hanya dengan tidur sahaja sepanjang hari?
Adakah kita hanya menghabiskan masa hanya dengan menonton movie, game dan sebagainya?

Mari kita ingat kembali, apakah yang telah kita lakukan sepanjang 10 Ramadhan yang lalu.

Apakah yang telah kita lakukan dengan ibadah kita?

Umat islam kini perlu membuka minda dan bersama-sama muhasabah diri, apakah kita sedang melalui ibadah didalam bulan Ramadhan ini mengikut adat atau sememangnya untuk bukti ketakwaan kita kepada ALLAH SWT? Sekiranya kita hanya melalui bulan Ramadhan mengikut adat dan budaya, maka akan timbul satu golongan 'ahli sunat wal jumaat'. Siapakah golongan itu? Iaitu golongan yang hanya melakuakn ibadat sunat dan solat jumaat sahaja. Kita sama-sama tanya diri kita,

Apakah yang telah aku lakukan dengan Ibadah aku?
Adakah aku memperelokkan ibadah aku.?
Adakah aku menambah-baikkan amal ibadah aku?
Adakah aku berusaha 'top-up' ibadah sunat yang lain?

Ramadhan bukan sahaja bulan untuk memperbanyakkan ibadat, tetapi juga bulan mempercantikkan amalan.

Apakah yang telah kita lakukan dengan Al-Quran?

Bulan Ramadhan, merupakan bulan diturunkan Al-Quran. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang sangat masyhur dengan amalan tadarus dan khatam Al-Qurannnya. Sangat-sangat beruntung, orang yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran sepanjang Ramadhan ini. Namun,

Adakah kita sentiasa membasahi bibir denga alunan ayat Al-Quran?
Adakah kita membacanya dan mengambil ibrah daripadanya?
Adakah kita mengamalkan segala yang diperintahkan didalam Al-Quran?
Atau, apakah kita menyentuh dan membaca kitab suci ini sepanjang 10 hari yang berlalu?

Mari kita sama-sama muhasabah dan menimbal-balik semula amalan kita sepanjang 10 Ramadhan yang telah berlalu. Adakah ianya sama seperti bulan-bulan yang lain, atau berbeza? Kita sendiri yang punya jawapan. Jika kita masih sambil lewa dan ambil endah tak endah dengan kehadiran bulan mulia ini, mari sama-sama kita bangun, membuka mata 'hati'. Sama-sama kita perbaharui niat, amalan.

Peluang yang ada jangan dilepaskan.
Kita masih mempunyai baki 20 Ramadhan, untuk buktikan ketaqwaan kita terhadap Pencipta kita.
Bukan hanya dilabel 'si penghabis oksigen' didunia, tidak menyumbang apa-apa.
Takut-takut kita tidak diketemukan dengan Ramadhan yang akan datang.
Mari sama-sama kita rebut syurga yang dijanjikan.

Salam Perjuangan dalam medan Ramadhan dari saya.
Teruskan Berjuang!

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
11 Ramadhan 1433 Hijrah

30 Julai 2012

Saturday, 21 July 2012

Salam Ramadhan Kareem

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.

Di kesempatan yang ada, admin blog Kembara Mencari Cahaya Ilahi ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah dibulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh barakah dan rahmat.
Mari sama-sama kita mengejar dan merebut peluang yang ada, sementara diberi peluang keemasan dalam bulan yang dibukakan pintu rahmat.
Cukup-cukup Ramadhan yang lalu yang kita sia-siakan.
Cukup-cukup Ramadhan lalu yang kita ambil mudahkan.
Cukup-cukup pahala yang kita lepaskan.
Mari kita perbaharui niat, setkan minda, untuk menjadi hamba yang betul-betul taat pada ALLAH.
Saya memohon maaf jika ada kenyataan atau entry yang saya nukilkan telah mengguris hati sahabat-sahabat yng membaca.
Tiada yang sempurna dari seorang syabab yang jahil, faqir dan banyak dosa ini.
Sama-sama kita tingkatkan amalan kita, mudah-mudahan ada bekalan yang kita bawa di 'sana' nanti.
Semoga mendapat darjat puasa khusus.
Semoga ALLAH redha atas segala usaha kita.
Mari kita buktikan pada Pencipta kita.

Salam Ramadhan Al-Mubarak.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
01 Ramadhan 1433 Hijrah
21 Julai 2012

Thursday, 19 July 2012

Mari rancang Ramadhan kita!



Sangat-sangat hampir saat yang kita nanti-nantikan. Terasa ianya 'melambai-lambai' ke arah kita. Sama ada kita bersedia menyambutnya, atau tidak, dan bagaimana cara kita menyambutnya, itu persoalannya. Semua perkara yang kita inginkan hasilnya berkualiti, cemerlang, perlukan persediaan, perancangan, penyusunan strategi yang terbaik. Begitu juga jika kita ingin mengharapkan ramadhan kita adalah yang terbaik, yang paling cemerlang, kita perlukan persediaan, perancangan dan juga strategi untuk menempuhnya.

Sudahkan anda merancang?

Suka untuk saya mengajak sahabat-sahabat untuk kita bersama-sama merancang dengan baik Ramadhan kita kali ini supaya ianya berjalan dengan baik sekali. Mungkin sebelum ini kita belum pernah melakukannnya, atau hanya menempuh bulan mulia dengan 'semberono', tanpa persediaan yang baik. Maka itu adalah satu kerugian yang besar untuk kita.

Maka mari kita merancang Ramadhan kali ini, dengan menyusun jadual Ramadhan kita. Ya, jadual. Ramadhan juga perlukan jadual, untuk kita sama-sama persiapkan diri untuk lebih bersedia untuk beribadah dalam bulan Ramadhan kali ini. Dengan adanya jadual, semoga ibadah kita lebih tersusun, lebih berstrategi, dan lebih mantap dari sebelum-sebelumnya.

Saya coretkan sedikit contoh buat sahabat-sahabat menyusun jadual Ramadhan kita. Saya yakin, pelbagai aktiviti yang ingin kita kejar terutama dalam bulan rahmat ini. Namun, kita perlu berstrategi, supaya ianya berjalan dengan lancar. Kita susun ianya dengan masa. Sebagai contoh :

Masa untuk baca Al-Quran = Setiap kali lepas Solat Fardhu, baca 4 muka surat. 
Masa untuk Solat Tarawih – Selepas solat sunat ba’diah Isya’, dan selepas baca Al-Quran 4 muka surat. 
Masa Solat Fardhu di Masjid – Pergi masjid 10 minit setiap sebelum masuk waktu solat. 
Masa untuk solat Dhuha – Setiap hari pukul 10.30 pagi. 
Sedekah Jariah – Hari Jumaat, semasa pergi Solat Jumaat 
Masa untuk Balajar – Sepanjang waktu persekolahan atau waktu kuliah, kita tumpukan perhatian. Jadi kita hanya perlukan sedikit waktu sahaja untuk belajar di rumah/asrama 
Masa untuk Riadhah – Setiap hari, atau hari minggu. Lepas Asar. Selama 30 minit. 
Masa untuk Iktikaf di Masjid – Setiap hari antara waktu Maghrib-Isya’. 
Masa untuk Qiamullail – Setiap hari, atau hari-hari tertentu (tentukan)
                                       Pukul 3.00 pagi hingga waktu sahur. 
Masa untuk Selawat+Istighfar 100X – 10 minit sebelum tidur.
Selepas berjaya melakukannya, kita 'tick', supaya ianya dilihat teratur. Jika tidak berjaya melakukannya, itu adalah masa untuk kita muhasabah. Supaya kita tidak terlepas untuk kali yang seterusnya. Mungkin sahabat-sahabat juga boleh menyusun jadual secara mingguan. Mengikut kesesuaian masa sahabat-sahabat. Yang penting, biar ianya istiqamah, hingga menuju Ramadhan yang kita impikan.

Selamat Menghadapi Ramadhan dengan Berstrategi !
Mari Menjadi Muslim yang Produktif !

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
30 Syaaban 1433 Hijrah
19 Julai 2012
  

Friday, 13 July 2012

Saatnya semakin menghampiri..


Tinggal lebih kurang seminggu sahaja saat yang dinanti-nanti oleh semua umat Islam di dunia ini tiba. Buat di hujung dunia, di sebelah timur, barat, malah dimana-mana sahaja, semuanya menanti-nanti akan kedatangan bulan yang sangat mulia, yakni bulan Ramadhan. Bulan yang penuh barakah, mulia, penuh dengan rahmat, untuk kita sebagai hamba membuktikan adakah kita hamba yang mensyukuri nikmat yang diberikan oleh ALLAH SWT atau hanya sekadar menjadi 'si penghabis oksigen' di muka bumi. 
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” Surah Al-Baqarah ayat 185.
Bulan ini sangat-sangat istimewa, segala rahmat dan berkah dikurniakan ALLAH SWT untuk hamba-hambanya. Segala pintu-pintu taubat, pintu rezeki, pintu rahmat, pintu pahala dibuka sebesar-besarnya. Sama ada kita peduli atau tidak, itu persoalannya. Apa lagi yang diharapkan, melainkan belas ihsan dari ALLAH SWT untuk hamba-hambaNYA. Mari kita sama-sama mengecapi nikmat yang sangat istimewa ini.
 Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim. 
  “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
 Kedatangannya semakin menghampiri kita. Namun, adakah kita sudah bersedia menyambutnya dengan penuh persediaan? Mana mungkin sesuatu perkara itu menghasilkan sesuatu yang terbaik, jika tidak dilakukan persediaan rapi, persediaan yang bersungguh-sungguh.

"Barang siapa yang cemerlang pada permulaan, akan cemerlang pula pada kesudahannya."( Ibnu Atha'illah As-Sakandari)
Mana mungkin memperolehi keputusan yang baik didalam peperiksaan, jika tidak menelaah dan bersedia secukupnya sebelum 'exam'? Mana mungkin terus boleh mendirikan rumah tangga, jika tiada persediaan ilmu, wang, kelengkapan untuk berkahwin? Begitu juga untuk menyambut bulan yang mulia ini, perlunya persediaan yang rapi. Persoalannya, sudahkah kita bersedia?

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan, dan berkira-kira(bersungguh-sungguh memperhatikan amalnya) maka diampunkan untuknya segala dosanya yang telah lalu” Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasaai, Tirmizi, Abu Dawud dan Ahmad.
Langkah awal sepatutnya sudah bermula, ketika di bulan Rejab yang lalu dan ketika bulan Syaaban ini. Untuk mudah berqiamullai dibulan Ramadhan, sepatutnya telah mula membiasakan diri berqiamullail sebelum Ramadhan. Untuk menahan diri daripada nafsu jahat dan menahan perut di bulan Ramadhan, sepatutnya telah mula melatih diri berpuasa sebelum Ramadhan. Untuk melazimi diri 'melekat' di masjid di bulan Ramadhan, sepatutnya sudah lama kita membiasakan diri berada dimasjid sebelum Ramadhan.

Jika masih belum bersedia, bangun. Bangunlah kita dari mimpi. Jangan terlalu asyik dengan mimpi. Mari kita bersama-sama muhasabah diri. Mari kita bersama-sama mempersiapkan diri, menuju panggilan ilahi. Jadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna sekali!

" اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبَ وَ شَعْبَانَ وَ بَلِّغْنَا رَمَضَان " 
" Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadhan. " (Hadith riwayat at-Tabrani dan Ahmad)
 YA ALLAH, sampaikanlah kami kepada bulan yang mulia ini!

~ Kembara Cahaya Ilahi ~

23 Syaaban 1433 Hijrah
13 Julai 2012

Wednesday, 4 July 2012

Meraih Cinta-MU..



Ya ALLAH Ya TUHANku,
Aku berlindung dengan MU daripada ilmu yang tidak diamalkan
Aku berlindung dengan MU daripada ilmu untuk kemegahan
Jadikanlah ilmuku boleh memimpin diriku dan orang lain

Ya ALLAH ya TUHANku,
Aku mohon pada MU jiwa yang tenang lagi tenteram
Yang percaya pada pertemuan dengan MU
Dan redha atas segala keputusan MU
Usahlah KAU palingkan hatiku setelah KAU tunjuki
Dan berilah rahmat MU kerana KAU adalah yang Maha Pemberi

Ya ALLAH Ya TUHANku,
kukuhkanlah imanku dari kemungkinan terpesong
Berilah aku petunjuk dari jalan yang sesat
Jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya
Dan sebaik-baik amalku pada penghujung akhirnya
Dan sebaik-baik hariku adalah saat pada aku menemui MU

Amiin Ya Rabbal Alamin...

~Kembara Cahaya Ilahi~
14 Syaaban 1433 Hijrah
04 Julai 2012