Saturday, 12 May 2012

Arju dan 'Amal.


Dalam meniti kehidupan yang cukup mencabar, sesekali menuntut agar kita berhenti sejenak. Bukan berhenti daripada melakukan apa-apa, cuma cukuplah sekadar untuk muhasabah akan diri ini. Sudah terlalu jauhkah diri  kita ini daripada ALLAH?

Kita ini adalah hamba, yang tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat. Setiap masa, kita sentiasa terbuka melakukan kesalahan. Namun disebalik semua itu, masih ada ruang yang tersedia untuk kita kembali. Ya, cuba kita renungi sejenak, apakah kita ini benar-benar kembali kepada ALLAH?



"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21) 

Hari ini kita dapat melihat realiti kehidupan, yang mana semakin ramai yang kembali mencari TUHAN. Dari golongan artis, hinggalah orang biasa. Namun didalam semua itu, tidak dapat membawa kita melihat kepada 2 perkara yang cukup penting dan besar sebenarnya.

Pertama, ialah arju, manakala yang kedua ialah 'amal. Arju membawa makna mengharap kepada ALLAH, perkataan yang membawa maksud pengharapan dan sebuah perasaan untuk masuk ke dalam syurga dan senang apabila berada di alam kubur kelak.

Manakala 'amal pula ialah cita-cita. Ada yang menyebut sebagai 'thulul amal, yang membawa maksud panjang angan-angan. Ya. inilah sebenarnya perasaan yang ingin dan perlu dimiliki supaya kita boleh masuk ke dalam syurga. Itulah perasaan yang menghadirkan rasa kasih dan sayang kepada ALLAH. Perasaan yang mengharapkan ALLAH mencurahkan rahmat dan sayang-NYA kepada kita, hamba-Nya.


Namun cabarannya adalah bagaimana kita ingin menikmati perasaan arju? Jawapannya adalah kita melakukan amalan, maka barulah kita boleh berasa arju. Jika kita hendak masuk syurga tanpa amalan dan dengan hanya melakukan maksiat, itu lah namanya 'amal.


"Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami."
Ada orang yang sering melakukan maksiat, tetapi inginkan syurga. Ini adalah konsep yang salah. Maka itulah namanya 'amal. Bagi mendapat arju, mesti diselangi dengan ibadat. Menunaikan solat, taat dan takut kepada ALLAH SWT, maka nescaya datanglah pengharapan. Maka akan timbul perasaan untuk berdoa, " YA ALLAH, masukkan lah aku kedalam syurga Mu ya ALLAH.! "

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)
Malangnya, apa yang timbul dalam kalangan masyarakat hari ini hanyalah 'amal, yakni panjang angan-angan. Penulis mengajak sahabat-sahabat bayangkan, bagaimana seorang hamba itu ingin masuk syurga sekiranya masjid tidak pernah dihadiri? Bagaimana mungkin ingin masuk syurga sekiranya tidak pernah membaca Al-Quran? Bagaimana kelak kita ingin mendapat syafaat Rasulullah SAW, jika selawat kepada Baginda pun kita tidak amalkan?


Penulis juga sering 'thulul amal, hakikatnya~

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
20 Jamadil Akhir 1433 Hijrah
12 Mei 2012

No comments:

Post a Comment