Lumrah manusia biasa yang sentiasa melakukan kesilapan, kesalahan. Kita bukanlah maksum, yang terpelihara daripada berbuat dosa. Kita ini sangat-sangat berbeza, untuk dibandingkan dengan Rasulullah SAW, yang sememangnya sesuai digandingkan sifatnya yang maksum, dengan darjat kemuliaan Baginda. Cuma, kita ini amat istimewa, kerana kita adalah umat Baginda, yang diberi keistimewaan yang lebih berbanding umat-umat yang terdahulu.
Saya, para ilmuwan, ustaz-ustaz, ulama'-ulama', para syeikh dan tok guru mana sekalipun, semuanya pernah berbuat dosa. Cuma yang membezakan antara semua manusia ialah, siapa yang paling kerap taubatnya dan paling bertaqwa pada DIA. Peluang itu sentiasa ada, untuk hamba-hamba yang mendambakan cinta-NYA, untuk kembali ke jalan yang benar.
Merujuk semula makna taubat itu sendiri, iaitu kembali, atau huraiannya, kembali taat pada ALLAH, dengan melakukan segala suruhan ALLAH, dan meninggalkan segala larangan-NYA. Sebesar mana sekali pun dosa yang kita lakukan, seluas lautan, namun jika kita bertaubat kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mengampunkan segala dosa yang telah kita lakukan.
Lupakah kita pada sifat ALLAH yang Maha Pemurah? Lupakah kita pada sifat ALLAH yang Maha Pengasih? Lupakah kita pada sifat ALLAH yang Maha Pengampun? Ruang dan peluang itu sentiasa ada,untuk hamba-hamba Nya yang ingin kembali dekat pada-NYA, cuma manusia-manusia ini yang mensia-siakan peluang yang berada di depan mata.
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t. melebarkan tangan (sifat Maha PemurahNya) di malam hari untuk mengampunkan orang-orang yang membuat kemaksiatan di siang hari, dan Allah s.w.t. juga melebarkan tangan keampunanNya untuk mengampuni orang-orang yang membuat kemaksiatan di malam hari, sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat (datangnya hari Kiamat)". (Hadis riwayat Imam Muslim)
ALLAH itu Maha Pengampun. DIA sentiasa menanti-nantikan hamba-hamba-NYA yang melakukan kesalahan, untuk diberi pengampunan. Allahurabbi. Wahai manusia, masih lekakah kalian dengan peluang yang ada? Kunci utama hanya ada diri masing-masing, sama ada untuk sedar, dan kembali taat pada-NYA, atau sebaliknya. Masih mahu sia-siakan peluang yang ada sehingga nafas berada di kerongkong? Pilihlah. Jika jalan itu yang kalian mahu.
'Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut'
Peluang sentiasa ada, untuk kita bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Saya ingin mengajak sahabat-sahabat, untuk bersama-sama muhasabah dan merebut peluang yang ada, dikesempatan masa yang ada. Kerana sekiranya si DIA sudah memanggil kita, maka tiada lagi yang dapat kita lakukan, untuk membuktikan kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW, kepada ALLAH SWT.
~ Kembara Cahaya Ilahi ~
1 Jamadil Awal 1433 Hijrah
24 Mac 2012
No comments:
Post a Comment