Tuesday, 27 March 2012

Perginya Seorang Kekasih ALLAH~





Bermula lah satu kisah, yang terus-menerus ditangisi para pencintanya, dari zaman dulu, hingga kini.. =(

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah saw. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah saw. menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah saw..

Fatimah menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah lalu Baginda menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. 

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. 

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.


"Ummatii, ummatii, ummatiii?" – "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai dirinya sebagaimana Baginda mencintai kita?

Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Semoga kita hargai segala pengorbanan Rasulullah SAW.

~Kembara Cahaya Ilahi~
04 Jamadil Awal 1433 Hijrah

27 Mac 2012

Saturday, 24 March 2012

DIA sentiasa memberi peluang..



Lumrah manusia biasa yang sentiasa melakukan kesilapan, kesalahan. Kita bukanlah maksum, yang terpelihara daripada berbuat dosa. Kita ini sangat-sangat berbeza, untuk dibandingkan dengan Rasulullah SAW, yang sememangnya sesuai digandingkan sifatnya yang maksum, dengan darjat kemuliaan Baginda. Cuma, kita ini amat istimewa, kerana kita adalah umat Baginda, yang diberi keistimewaan yang lebih berbanding umat-umat yang terdahulu.

Saya, para ilmuwan, ustaz-ustaz, ulama'-ulama', para syeikh dan tok guru mana sekalipun, semuanya pernah berbuat dosa. Cuma yang membezakan antara semua manusia ialah, siapa yang paling kerap taubatnya dan paling bertaqwa pada DIA. Peluang itu sentiasa ada, untuk hamba-hamba yang mendambakan cinta-NYA, untuk kembali ke jalan yang benar.


Merujuk semula makna taubat itu sendiri, iaitu kembali, atau huraiannya, kembali taat pada ALLAH, dengan melakukan segala suruhan ALLAH, dan meninggalkan segala larangan-NYA. Sebesar mana sekali pun dosa yang kita lakukan, seluas lautan, namun jika kita bertaubat kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mengampunkan segala dosa yang telah kita lakukan.

Lupakah kita pada sifat ALLAH yang Maha Pemurah? Lupakah kita pada sifat ALLAH yang Maha Pengasih? Lupakah kita pada sifat ALLAH yang Maha Pengampun? Ruang dan peluang itu sentiasa ada,untuk hamba-hamba Nya yang ingin kembali dekat pada-NYA, cuma manusia-manusia ini yang mensia-siakan peluang yang berada di depan mata.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t. melebarkan tangan (sifat Maha PemurahNya) di malam hari untuk mengampunkan orang-orang yang membuat kemaksiatan di siang hari, dan Allah s.w.t. juga melebarkan tangan keampunanNya untuk mengampuni orang-orang yang membuat kemaksiatan di malam hari, sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat (datangnya hari Kiamat)". (Hadis riwayat Imam Muslim) 

ALLAH itu Maha Pengampun. DIA sentiasa menanti-nantikan hamba-hamba-NYA yang melakukan kesalahan, untuk diberi pengampunan. Allahurabbi. Wahai manusia, masih lekakah kalian dengan peluang yang ada? Kunci utama hanya ada diri masing-masing, sama ada untuk sedar, dan kembali taat pada-NYA, atau sebaliknya. Masih mahu sia-siakan peluang yang ada sehingga nafas berada di kerongkong? Pilihlah. Jika jalan itu yang kalian mahu.


 'Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut' 

Peluang sentiasa ada, untuk kita bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Saya ingin mengajak sahabat-sahabat, untuk bersama-sama muhasabah dan merebut peluang yang ada, dikesempatan masa yang ada. Kerana sekiranya si DIA sudah memanggil kita, maka tiada lagi yang dapat kita lakukan, untuk membuktikan kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW, kepada ALLAH SWT.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
1 Jamadil Awal 1433 Hijrah
24 Mac 2012

Saturday, 17 March 2012

Masa hadapan yang lebih jauh..



Kerjaya, keluarga atau harta.
Ingin kerja apa? Ingin berkahwin dengan siapa? Ingin rumah atau kereta yang bagaimana?
Mungkin itu antara persoalan yang timbul, apabila kita membangkitkan soal masa hadapan. Cuma yang membezakan dalam kalangan kita adalah, siapa yang memandang masa hadapan yang lebih jauh, iaitu akhirat.

Manusia yang memandang masa hadapan, ialah manusia yang terbaik. Apabila dia memandang masa hadapan, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya dengan sebaiknya. Jika berhajat menjadi juruterbang, maka dia akan merancang sebaiknya supaya cita-citanya ke 'langit' itu tercapai. Jika dia berhajat untuk mempunyai kereta idamannya, maka dia akan merancang sebaiknya supaya dia berjaya mendapat kereta idamannya. Hendak masuk ke universiti yang disukai, maka dia akan bersungguh-sungguh memenuhi kelayakan yang dituntut oleh universiti tersebut.



Segala yang diinginkan pada masa hadapan, maka akan adanya perancangan dan usaha yang sebaiknya untuk memenuhi hajat masa hadapan itu. Maka disini letaknya kepentingan membuka mata untuk memandang bahawa akhirat adalah masa hadapan kita yang hakiki. Mengapa? Apabila kita memandang akhirat sebgai masa hadapan yang hakiki, maka kita akan merancang dengan teliti.

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-Ankabut, 64)
Kita sudah maklum, akhirat ini mempunyai dua cabang pengakhiran. Satu syurga, satu neraka. Neraka anda celaka, syurga anda bahagia . Saya yakin, semua orang tidak mahu celaka. Semua orang hendak bahagia. Semua orang suka bahagia selama-lamanya. Bagi manusia yang beriman, dan memandang bahawa akhirat  sebagai masa hadapannya, maka dia akan takut dirinya terjerumus ke lembah celaka, maka dia akan berhajat untuk ke syurga.


Persoalan utama, berapa ramai yang memandang akhirat sebagai masa hadapan kehidupannya? Hakikat hari ini, kita telah dipisahkan. Agama hanya dikatakan di masjid-masjid sahaja, pada musim tertentu. Apabila bicara soal akhirat, maka akan ada 'suara sumbang' yang mengatakan kita ini mundur, kolot. Islam tidak bersifat demikian.

Lupakah kita dengan rukun iman yang kita pegang selama ini. Beriman kepada ALLAH adalah permulaan keimanan kita dalam islam. Manakala akhirat adalah destinasi terakhir kita dalam perjalanan keimanan ini. Apabila kita bermula dengan beriman kepada ALLAH, maka kita wajib mengharapkan akhirat. Apabila kita memandang akhirat dan apa yang disediakan ALLAH kepada kita disana, di situlah kita merancang apa yang hendak kita lakukan dengan keimanan kita pada ALLAH tadi, hinggalah kita mencapa akhirat.



Hari ini, tidak demikian. Akhirat kita lontarkan di satu sudut yang jauh. Kita tidak bersedia untuknya. Orang yang tidak berdisiplin bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang pengotor bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang tidak adil bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang suka bergaduhan, suka menyakitkan hati orang lain bukanlah ciri pengejar akhirat. Orang yang berakhlak buruk, suka mencarut, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat.


Pengejar akhirat, akan memisahkan dirinya daripada kejahatan, keburukan dan hidupnya akan bahagia dengan ketenangan. Tidakkah manusia melihat? Akhirat perlu kita letakkan sebagai matlamat masa hadapan kita, cita-cita utama kita, agar kehidupan kita terbentuk dengan baik.Apabila akhirat menjadi cita-cita utama kita, ia akan mencakupi segalanya. Apa yang manusia rugikan diatas dunia ini jika dia pengejar akhirat? Tiada. Modal akhirat untuk akhirat adalah dunia.Pengejar akhirat, kehidupannya di dunia adalah kehidupan yang baik.

~Kembara Cahaya Ilahi~
24 Rabiul Akhir  1433 Hijrah
17 Mac 2012

Sunday, 11 March 2012

Ini kerana aku memikirkan akhirat mu..




Tidak ku jangka, 
mendapat sahabat yang soleh dan solehah seperti mu,
yang hadir dalam hidupku,
tetapi ku takut dengan perangai ku yang tidak soleh seperti mu,
menarik mu ke jalan hitam ku,
biarlah aku undur,
ini kerana aku memikirkan akhirat mu.


Diri ini sedar,
akan kemampuan dan tahap kebaikan ku,
yang tidak layak dan tidak setanding dengan mu.
Bukan tidak aku hargai semua pengorbanan mu,
bukan aku mahu lupakan semua kenangan antara kita, 
bukan juga aku mahu lupakan persahabatan yang terjalin,
ini kerana aku memikirkan akhirat mu.


Ku harap situasi ini difahami,
kerana diri ini tidak mahu menjadi asbab tidak tercapainya,
matlamat tertinggi dalam perjalanan mu sebagai hamba-NYA.
Izinkan diri ini membuat keputusan yang terbaik untuk diri mu,  
kepentingan sahabatku diletakkan dihadapan,
walaupun diri ini yang merasai kepahitannya,
ini kerana aku memikirkan akhirat mu.



~ Kembara Cahaya Ilahi ~
18 Rabiul Akhir 1433 Hijrah
11 Mac 2012

Tuesday, 6 March 2012

Soal Hati vs Soal Mati



Apabila kita membicarakan soal hati, maka sinonimnya fikrah anak muda terus memikirkan tentang satu perkataan yang 'sangat indah' dalam alam remaja, iaitu CINTA. Ya. penulis juga akui perkara tersebut. Cinta adalah segala-galanya bagi orang yang sedang dilamun cinta. Sehingga sanggup menyeberangi lautan api demi cinta kepada kekasih yang diagung-agungkan. Tetapi sangat berbeza, apabila membicarakan soal mati kepada anak-anak muda. Ini kerana sesorang itu dianggap tidak 'up to date', kuno, 'tak sporting' dan sebagainya apabila berbicara saol mati dalam alam kehidupan untuk ber'enjoy' sepuasnya.

Fitrah manusia, untuk mencintai dan dicintai. Perkara itu tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun didunia ini, kerana perkara itu dipersetujui dan diakui oleh setiap insan tanpa perlu disoal kesahihannya. Manakala soal mati, jawapan yang sama juga akan diperolehi tanpa perlu ditanya. Kerana semua insan menerima bahawa semua yang hidup didunia, akan merasai kematian. Cuma yang membezakan antara kedua perkara tersebut, adalah soal penghayatannya.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).(3:14)

028. Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada-Nya-lah kamu dikembalikan? 
185. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

Terdapat banyak lagi dalil dan nas yang kukuh mengenai kedua-dua perkara ini, iaitu soal hati dan soal mati didalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Cuma perkara yang penulis cuba bangkitkan, iaitu soal penghayatan, dari aspek kacamata anak muda.

Tidak terlepas bagi anak-anak muda, untuk merasai soal hati mereka dilamun cinta. Malah cinta dan berkasih pada saat ketika 'darah muda' dilihat lebih 'syok', lebih mendalam penghayatannya, berbanding soal mati. Mungkin penulis merasakan untuk menulis mengenai perkara ini, mungkin setelah sedar dan terdetik, apabila seorang demi seorang anak muda yang sebaya dengan penulis, dipanggil oleh ALLAH Taala. Penulis juga bakal menyusul, mungkin esok, lusa atau selepas sahaja menulis entri ini. 

Jika dilihat pada situasi pada hari ini, soal hati menjadi tumpuan dan perkara utama oleh anak muda, disishkan soal ibu bapa, soal pelajaran, sehinggakan soal mati itu diletakkan hujung dan hanya terselit sedikit di kotak pemikiran mereka. Soal hati diberi penumpuan, hingga soal hati ini menyebabkan perkara-perkara yang perlu diaulakan, menjadi terumbang-ambing dan menimbulkan pelbagai masalah.

Penulis tidak mengatakan bahawa cinta, soal kasih sayang itu salah dan tidak boleh pada ketika diusia muda. Cuma diingatkan kembali, iaitu soal penghayatan. Penulis melihat soal hati itu TERLALU diberi penumpuan, atau fokus yang melebih oleh anak muda sekarang, sehingga melupakan soal yang satu lagi, iaitu soal MATI. 
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati."

Tidak kira umur, bangsa, agama mahupun pangkat, setiap insan akan melalui perkara tersebut apabila telah tiba masa  yang ditetapkan. Kanak-kanak, remaja, anak muda, malah golongan tua akan melalui detik yang sangat menakutkan apabila dipanggil oleh-NYA kelak. Ingatlah, khusus untuk anak-anak muda, bahawa soal MATI juga perlu diberi penumpuan dan fokus yang tinggi, malah melebihi soal hati. Kerana fokus yang tinggi terhadap soal mati ketika muda, akan menyelamatkan kita seandainya kita ditakdirkan mati diumur tua. Ini kerana amalan yang tersedia mengiringi fokus utama kita tadi, iaitu SOAL MATI.

Berfikir lah soal cinta, hati, seandainya anda ingin memilih itu sebagai jalan hidup anda ketika diusia muda, tetapi biarlah berpada-pada. Kerana bimbang, sekiranya keMATIan itu terlebih dahulu menjemput kita, kita masih sedang terbuai mimpi mengenai soal hati, tanpa membuat persediaan tentang soal MATI. Itu perkara yang sangat-sangat dibimbangkan oleh penulis. 



"Ini hakikatnya. Samada kamu ingat ataupun terlupa, kamu akan mati..kamu akan mati..Selepas kamu meninggal dan disemadikan, kamu akan dihakimi. Kamu akan bangkit berdiri untuk dihakimi oleh Yang Maha Menghakimi, Allah Azza Wajalla. Dia  (Allah) akan mengimbas kembali, mengingatkan kembali, menyoal kembali setiap hari yang kamu pernah lalui, setiap jam, tiap detik, tiap waktu. Dia akan menyoal kamu, Dia akan menghakimi kamu! Apabila kamu dah ingat semula apa yang kamu lakukan dulu, maka di sinilah (neraca) yang akan menentukan arah kamu ketika meniti di Sirat nanti. Samada ke Syurga, atau jatuh ke dalam api Neraka. Inilah yang patut kita renungkan dan perhatikan sekarang. Bila kamu dah faham tentang ini (mati dan hari kebangkitan) dan percaya ianya pasti akan berlaku, hati akan mulai tersedar kembali dan mahu patut taat kepada Allah semula. Rasa untuk mentaati Allah inilah yang kita mahukan, ia tercetus dari gerun dan takut. ( Gerun pada azab Allah, takut pada Allah )." ~ Habib Al-Jufri ~

Penulis mengajak sahabat-sahabat, untuk bersama kita mengagungkan soal MATI, dan dikurangkan pengagungan pada soal HATI. 
Kehidupan sebagai seorang yang single tidak dapat tidak, mesti mengingati mati setidak-tidaknya sekali dalam 24 jam. Tidak perlu fokus pada soal hati, tapi fokuslah pada soal mati. Soal hati belum tentu jadi, tapi soal mati pasti terjadi! Soal hati sangat banyak teka-teki, tetapi soal mati sudah ada jawapan yang pasti!

Wallahu'alam~
#
Khas untuk seorang sahabat, kerana penulis juga bakal menyusul menemui-NYA selepas ini. Penulis tidak memilih untuk terlalu fokus pada soal hati, tetapi penulis
 memilih untuk terlalu fokus pada perkara yang kedua itu, iaitu SOAL MATI.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
13 Rabiul Akhir 1433 Hijrah
06 Mac 2012


Saturday, 3 March 2012

Air mata seorang lelaki..




Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana kecewa dengan cinta wanita,
Maka hilanglah sifat pemimpinnya.

Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana kecewa dengan dunia,
Maka hilanglah sifat redhanya.

Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana tidak sanggup melihat kesusahan orang tuanya,
Maka terbitlah sifat belas ehsannya.

Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana terluka,
Maka hilanglah sifat kekuatannya.

Air mata seorang lelaki,
Andai mengalirnya kerana takutkan Allah S.W.T,
Maka bergembiralah,
Kerana air mata yang sedikit itu mampu,
Memadamkan api neraka kelak.

Rasulullah S.A.W telah bersabda:
"Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Telah bersabda Rasulullah S.A.W:
" Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu,
sebelum tidak ditemunya air mata.


~Kembara Cahaya Ilahi~
10 Rabiul Akhir 1433 Hijrah

03 Mac 2012