Sunday, 26 August 2012

Kalau dahi tidak mencecah sejadah di dunia




Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Sholawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justru ku menyeru sekalian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahat
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal bukan yang pergi
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Allah
Dan dibumbungi dengan langit Allah
Serta menikmati rezeki dari Allah

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak berarti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi segumpal daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai arti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
Sambutlah seruan "Hayya 'alas Solaah"
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan "Hayya 'alal Falaah"
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta, tahta, dan keluarga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.

~ kembara cahaya ilahi ~
08 Syawal 1433 Hijrah
26 Ogos 2012

Monday, 20 August 2012

Semoga ALLAH memakbulkan doa kita



Ya ALLAH Ya RAHMAN,
Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa,
Kami menadah tangan bermohon kepada mu Ya ALLAH,
Ampunkanlah dosa-dosa kami,
Sama ada dosa yang zahir mahupun dosa yang batin,
Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni kami, 
Sesungguhnya kami berada didalam keadaan kerugian Ya ALLAH.

Ya ALLAH Ya RAHMAN,
Kami banyak melakukan dosa dan kezaliman ke atas diri kami sendiri Ya ALLAH,
KAU ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Rahman, 
pada bulan yang penuh barakah ini Ya ALLAH.

Ya ALLAH Ya RAHMAN,
Kami bermohon pada Mu ya ALLAH,
Ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami Ya ALLAH,
Berikanlah kebaikan dan berikanlah kerahmatan kepada mereka berdua Ya ALLAH,
Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi sewaktu kami kecil Ya ALLAH.

Ya ALLAH Ya RAHMAN,
Berikanlah kebaikan kepada kedua ibu bapa kami ya ALLAH
Terimalah segala ibadat mereka,
Andainya mereka telah mendahului kami, kami bermohon kepada Mu Ya ALLAH,
Jadikanlah kubur-kubur mereka dari taman-taman syurga, 
Dan janganlah Engkau jadikan kubur-kubur mereka dari liang-liang api neraka Ya ALLAH.

Ya ALLAH Ya RAHMAN,
Jadikanlah kelurga kami keluarga yang sakinah dan keluarga yang diredhai oleh MU,
Jadikanlah anak-anak kami anak-anak yang soleh dan solehah,
Jadikanlah pasangan hidup kami pasangan yang memberikan kebaikan kepada kami didunia dan diakhirat.

Ya ALLAH Ya RAHMAN,
Berkatilah rezeki kami, 
Berkatilah rezeki kami Ya ALLAH,
Janganlah Engkau jadikan ianya fitnah kepada kami di alam barzakh dan di hari kiamat Ya ALLAH.

Ya ALLAH Ya RAHMAN, 
Berikanlah kesihatan kepada kami,
Mudah-mudahan kami dapat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan,
Dan panjangkanlah umur kami, mudah-mudahan kami dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun yang akan datang.

Amiin Ya Rabbal Alamin.

Doa Murabbi  Al-Fadhil Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz
27 Ramadhan 1433 Hijrah
12 Ogos 2012
Surau Nurul Jannah

Boleh dijadikan rujukan buat kita semua.
Semoga ALLAH menerima doa dan amalan kita semua.
InsyaALLAH.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
03 Syawal 1433 Hijrah
20 Ogos 2012

Saturday, 18 August 2012

Meraikan kemenangan fitrah


Alhamdulillah. Setinggi-tinggi syukur pada ALLAH, kerana masih memberi peluang dan ruang untuk terus bernafas sehingga ke akhir Ramadhan kali ini. Tidak ternilai kiranya, segala nikmat yang ALLAH kurniakan kepada hamba-hambaNYA didalam bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan sudah meninggalkan kita.

Bulan yang dahulunya sangat-sangat kita nantikan, telah meninggalkan kita. Sama ada kita masih berpeluang berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang atau tidak, ianya jawapan yang tidak mampu dijawab. Kerana itu Ramadhan yang telah berlalu, sekiranya kita tidak bersama disisinya, kesilapan yang besar telah kita lakukan. Ramadhan itu bersifat 'limited edition', yang mana keistimewaannya tidak dapat kita kecapi dan rasai didalam bulan yang lain.

Benar kata orang kebanyakkan, sesuatu yang berharga itu hanya akan kita rasai dan hargai saat ianya pergi, hilang. Begitu juga dengan Ramadhan, apabila tiba 10 malam yang terakhir, perasaan cinta terhadap Ramadhan baru berputik. Kini, perasaan itu hanya tinggal kenangan, kenangan yang indah saat dan detik istimewa dengan kekasih yang pergi bakal kembali, Ramadhan.

Berjayakah tarbiah Ramadhan selama 30 hari?

Mari kita muhasabah diri, berjayakah waktu yang singkat selama 30 hari yang kita lalui bersama-sama Ramadhan, membentuk akan ibadah kita, akhlak kita? Adakah perubahan yang berlaku ke atas diri kita, sama ada dari segi ibadahnya, perangainya, percakapannya. Persoalan itu dapat kita jawab didalam diri sendiri, apabila kita berhadapan dengan 'musuh' sebenar selama 11 bulan yang akan datang. Persediaan dan latihan yang telah kita lalui akan teruji, disaat kita berhadapan dengan musuh yang nyata, selama 11 bulan yang mendatang. 


Semoga kita sama-sama beristiqamah dalam meneruskan momentum Ramadhan, walaupun Ramadhan yang kita kasihi telah meninggalkan kita.

Bersama meraikan kemenangan fitrah.


Syawal telah menjelma, maka medan mujahadah yang telah kita lalui, telah sampai ke kemuncaknya, iaitu Hari Raya Eidul fitri. ‘Eidul Fitri bermaksud perayaan fitrah. Disambut meraikan mereka yang bertungkus lumus didalam medan Ramadhan, sebagai simbol bahawa mereka berjaya keluar daripadanya dalam keadaan dosa telah dibersihkan, seperti mana yang dijanji ALLAH SWT.

Namun timbulnya persoalan, adakah kita termasuk didalam golongan yang dimaksudkan 'meraikan kemenangan' itu? Sesuai dan selayaknya kah kita untuk meraikan kemenangan yang mana hanya layak bagi orang-orang yang sedaya upaya berusaha ingin mencapai kemenangan yang bermakna? Kita sahaja yang mampu memberikan jawapan, adakah kita layak atau tidak bersungguh dalam meraikan Hari Raya Eidilfitri.

Di kesempatan yang ada, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidilfitri buat semua sahabat follower dan pembaca blog yang tidak seberapa ini.
Ampun dan maaf andai ada tulisan saya yang difikirkan sebagai menguris hati, mengutuk atau mengata golongan-golongan tertentu.
Saya hanya manusia biasa, lagi faqir dan jahil.
Semoga ALLAH menerima amalan saya, dan sahabat-sahabat semua.
Taqabbalallahu minna wa minkum.
Kullu 'am wa antum bi khair.

~ Kembara Cahaya Ilahi ~
01 Syawal 1433 Hijrah
18 Ogos 2012